
Nama pengasas Opah Strawberry, Zamzam Zulaikha Abu Shah atau lebih mesra dikenali sebagai Kak Ika Opah Strawberry kebelakangan ini menjadi bualan hangat di media sosial selepas beberapa kenyataannya mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.
Daripada video menaiki motosikal di Cameron Highlands sehinggalah kepada dakwaan mengaitkan golongan B40, isu tersebut akhirnya membuatkan usahawan berkenaan tampil membuka mulut bagi menjelaskan perkara sebenar.
Tidak mahu keadaan terus menjadi tanda tanya, menerusi satu kenyataan panjang tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pihak yang terasa hati dengan komen yang ditingalkan sebelum ini.
Malah, usahawan tersebut turut mengakui ada balasan komen yang dilakukan menggunakan bahasa kurang sesuai dan mengambil tanggungjawab penuh terhadap perkara itu.
Dalam masa sama, beliau turut menafikan dakwaan kononnya dia menghina atau memperlekehkan golongan B40 seperti yang tular di media sosial.
Kak Ika Opah Strawberry Usul Permohonan Maaf Akui Khilaf, Terkasar Bahasa

Menerusi kenyataan yang di laman sosial miliknya, dia menjelaskan sedar ketika menulis beberapa balasan komen kasar terhadap pengguna media sosial sebelum ini tidak sepatutnya berlaku.
Menurutnya, perkara itu berlaku susulan perkongsian video sewaktu berada di atas motosikal di Cameron Highlands yang menjadi sorotan ramai.
Kak Ika bagaimanapun engganmenuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya mengakui kesilapan sendiri dalam cara berkomunikasi dan memberi respons.
“Saya ingin memohon maaf kepada beberapa akaun yang telah menerima balasan komen daripada saya dengan bahasa yang kasar pada posting video saya semasa berada di atas motosikal di Cameron Highlands.
“Saya mengakui bahawa balasan tersebut tidak sepatutnya ditulis sedemikian rupa dan saya bertanggungjawab sepenuhnya atas cara saya membalas komen komen tersebut,” jelasnya.
Tambahnya lagi, dia juga telah mengambil langkah menghubungi beberapa akaun terbabit secara peribadi menerusi mesej di Threads dan TikTok bagi mengutarakan permohonan maaf.
Namun katanya, sebahagian mesej tersebut masih berada dalam ruangan permintaan mesej dan belum dibuka oleh penerima.
Nafi Kutuk Golongan B40, Ini Maksud Sebenar Sewaktu Live

Dalam kenyataan sama, beliau turut menjawab isu paling hangat diperkatakan iaitu dakwaan dirinya mengeluarkan kenyataan yang menyentuh perasaan golongan B40.
Menurut usahawan itu, kenyataan yang tular berhubung “bangsa-bangsa yang masuk” sesi siaran langsung (live) berkenaan sebenarnya merujuk kepada akaun luar negara yang sering memasuki live miliknya.
Jelasnya, ia berkaitan Treasure Coin atau Treasure Box yang disediakan untuk pengikutnya, namun didakwa sering diambil oleh akaun dari luar negara sehingga menyebabkan pengikut sendiri sukar mendapat peluang.
“Malangnya, sebahagian rakaman yang tersebar telah dimanipulasi oleh media media tentang B40 sedangkan saya tidak mengaitkannya.
“Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan berterusan, saya akan turut berkongsi rakaman sesi LIVE tersebut dimana saya menyebut Vietnam/Thailand, bukan B40,” katanya.
Tegasnya lagi, kenyataan tersebut bukan ditujukan kepada mana-mana kumpulan masyarakat di Malaysia.
Malah, dia sendiri bukan dilahirkan di dalam dulan emas, serta amat memahami kehidupan yang bermula dari bawah dan tidak pernah mempunyai niat untuk menghina mana-mana golongan.
“Saya tidak lahir dalam keluarga yang berada, oleh itu saya tidak berniat untuk menghina, merendahkan atau memperlekehkan golongan B40 dan perkara tersebut bukanlah maksud sebenar kenyataan yang saya sampaikan,” ujarnya.
Kontroversi Satu Pengajaran Besar, Akui Lebih Waspada Selepas Ini

Dalam pada itu, dia turut menjelaskan kelewatannya tampil memberi kenyataan berhubung isu berkenaan adalah kerana sedang membuat persiapan untuk melaksanakan ibadah umrah pada 7 Jun lalu.
Selepas pulang ke tanah air, dia baru memilih untuk menjelaskan segala-galanya agar isu tersebut tidak terus menimbulkan salah faham dalam kalangan orang ramai.
Meski menolak keras dakwaan menghina golongan B40, dia tetap menerima segala teguran yang dititipkan oleh warganet.

Menurutnya, apa yang berlaku menjadi satu pengajaran besar untuk dirinya dalam mengutamakan cara penyampaian lebih dijaga pada masa akan datang.
“Walaubagaimanapun, saya menerima segala teguran dan menganggap perkara ini sebagai satu pengajaran besar untuk saya menjadi lebih berhati-hati dalam cara berkomunikasi pada masa hadapan,” katanya.
Menutup kenyataan tersebut, besar harapan dirinya agar penjelasan ini dapat menjernihkan semula keadaan selepas kontroversi yang berlaku.
Sekadar info, Havoxians dia kini memilih untuk mmbuang yang keruh dan ambil yang jernih dengan kembali memberi fokus kepada keluarga, pekerja, pelanggan serta perniagaan yang telah diusahakannya selama ini.