
Ada lagu yang sekadar dimainkan untuk mengisi ruang sunyi, tetapi ada juga karya yang datang membawa satu gelombang sehingga mampu menyatukan orang asing dalam satu tenaga yang sama.
Bayangkan berada di tengah lantai tarian bersama ratusan manusia yang datang daripada latar belakang berbeza. Tiada siapa peduli anda siapa, bahasa apa yang anda gunakan atau dari mana anda berasal. Dalam beberapa minit, semuanya bergerak mengikut rentak yang sama.
Itulah semangat yang cuba dibawa menerusi WOOSA, sebuah karya elektronik yang bukan hanya mahu menjadi lagu kegemaran di festival atau kelab muzik, sebaliknya membawa mesej tentang melepaskan tekanan dan menikmati momen yang sedang berlangsung.
Menariknya, karya ini turut menjadi permulaan kepada langkah besar ANY PEOPLE, duo kreatif bebas dan platform budaya yang diterajui KCPlays bersama Bryan Gounaramo apabila mereka bergabung tenaga dengan artis elektronik Sweden dan nama berpengaruh dalam arena Afro house antarabangsa, Vidojean.
WOOSA Satukan Sentuhan Afro House Antarabangsa Dengan Identiti Kreatif Asia Tenggara

Dilancarkan secara global pada 12 Jun 2026, WOOSA merupakan sebuah pengenalan kepada visi yang cuba dibawa ANY PEOPLE melalui Alameyo Records.
Lebih daripada sekadar mengejar angka penstriman, karya ini hadir sebagai satu kenyataan bahawa muzik mampu menjadi jambatan budaya.
Menariknya, sentuhan elektronik Vidojean ini sudah mendapat perhatian pendengar antarabangsa apabila digabungkan bersama perspektif Asia Tenggara daripada ANY PEOPLE sekaligus menghasilkan sebuah karya yang lebih segar.
Gabungan elemen soul indie, Afro house dan elektronik alternatif menjadikan WOOSA bergerak di antara dua dunia iaitu karya yang sesuai untuk suasana lantai tarian yang mempunyai emosi dan cerita tersendiri.

Menurut Vidojean dan Oliver Loenn, kekuatan sebenar lagu tersebut datang daripada sebuah muzik yang mampu membuatkan manusia keluar sejenak daripada tekanan hidup.
“Saat terbaik di lantai tarian adalah apabila semua orang melupakan segala-galanya selama beberapa minit dan menikmati WOOSA,” kata mereka.
Idea ini yang menjadi asas kepada keseluruhan karya yang bukan hanya untuk didengar tetapi untuk dirasai bersama.
Inspirasi Daripada Bad Boys Kepada Mantra Untuk Tenang Ketika Dunia Terlalu Bising

Di sebalik rentak yang mudah melekat dalam kepala, WOOSA sebenarnya bermula daripada satu konsep mudah iaitu belajar untuk melepaskan.
Judulnya pula diinspirasikan daripada frasa popular dalam filem Bad Boys yang sering digunakan sebagai cara untuk kembali tenang ketika berada dalam tekanan. Daripada satu ungkapan ringkas, ia kemudian diterjemahkan menjadi sebuah pengalaman muzik yang membawa pendengar untuk memperlahankan hidup seketika dan menikmati apa sahaja yang sedang berlaku.
Kekuatan lagu ini diuji menerusi set DJ Vidojean di beberapa lokasi seluruh dunia apabila reaksi pendengar menunjukkan sesuatu yang lebih besar sedang berlaku.
Penggunaan vokal yang mudah diingati serta susunan muzik yang direka untuk mencipta euforia bersama, WOOSA berjaya mencetuskan situasi di mana penonton yang tidak mengenali antara satu sama lain akhirnya menyanyikan rangkap lagu yang sama sebagai satu komuniti.
Bagi KCPlays dan Bryan Gounaramo, tarikan karya tersebut terletak pada kejujuran serta konsep lagu berkenaan.
“Apa yang kami sukai tentang WOOSA ialah betapa mudahnya idea untuk menghasilkanya. Mesej, tarikan dan perasaan semuanya berfungsi bersama dengan cara yang semulajadi dan asli,” ujar mereka.
Dari Petaling Jaya Ke Pentas Global, ANY PEOPLE Buka Bab Baharu Alameyo Records

Bagi meraikan permulaan perjalanan WOOSA, ANY PEOPLE bersama Alameyo Records turut menganjurkan Parti Media Mixer WOOSA bertempat di 1MORE Pizza, Taman Paramount.
Acara tersebut menghimpunkan media, DJ, pencipta kandungan, artis serta pemain industri untuk mendengar secara eksklusif serta memberi gambaran awal tentang hala tuju karya kreatif mereka.
Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran artis Afro fusion DEEKiD yang melengkapkan pengalaman muzik pada hari tersebut.
Berkongsi pandangannya mengenai daya tarikan WOOSA, DEEKiD menyifatkan karya itu mempunyai elemen spontan yang membuatkan pendengar mudah terhubung melaluinya.
“Ia adalah salah satu rekod yang membuatkan orang ramai tersenyum sebelum mereka sedar bahawa mereka sedang menyanyi bersama,” katanya.
Dengan WOOSA sebagai pembukaan Alameyo Records, ANY PEOPLE jelas tidak hanya mahu menghasilkan muzik bersifat hiburan sementara. Sebaliknya, mereka mahu membina ruang kreatif yang menghubungkan manusia melalui bunyi, budaya dan pengalaman.
Malah, dalam dunia yang semakin penuh dengan kandungan pantas dan trend yang berubah setiap hari, mungkin karya seperti WOOSA mengingatkan kadangkala perkara paling kuat dalam muzik bukan hanya bunyinya, tetapi momen yang tercipta ketika semua orang merasainya bersama Havoxians.