
Puteri Gunung Ledang The Muzikal (PGLTM) belum pun sempat membuka tirai, tetapi bahang fenomenanya sudah tercetus lebih awal.
Hanya dua jam selepas jualan tiket kepada umum dibuka, keseluruhan musim pementasan muzikal ikonik itu telah habis terjual! Lebih mengejutkan, pada jam 10 malam, seramai lebih 22,000 orang masih berada dalam senarai menunggu dalam talian selepas tiket yang ditawarkan tidak lagi berbaki.
Angka itu bukan sekadar menggambarkan sambutan yang tinggi. Ia memperlihatkan betapa kuatnya daya tarikan sebuah karya yang sudah berusia dua dekad dan masih mampu membuat penonton berebut untuk kembali ke dunia kisah cinta dan legenda Puteri Gunung Ledang.
Fenomena tersebut juga hadir pada ketika generasi baharu semakin terdedah kepada pelbagai bentuk hiburan digital. Namun, Puteri Gunung Ledang The Muzikal membuktikan bahawa karya seni persembahan tempatan yang mempunyai nilai sejarah, identiti dan jiwa tersendiri masih mampu mencetuskan keterujaan luar biasa.
Lebih menarik, sebahagian daripada mereka yang menunggu bukan sekadar peminat lama. Ada juga generasi baharu yang bakal mengenali dunia Puteri Gunung Ledang buat kali pertama.
Tiket Puteri Gunung Ledang The Musical ‘Sold Out’ Sepantas Kilat

Pementasan semula Puteri Gunung Ledang The Muzikal pada 2026 mencatatkan satu pencapaian luar biasa apabila semua tiket untuk keseluruhan musim berjaya dijual dalam tempoh hanya dua jam selepas jualan umum dibuka.
Pada jam 10 malam, lebih 22,000 orang masih berada dalam barisan menunggu secara dalam talian walaupun tiket telah habis terjual.
Permintaan yang begitu besar memberikan gambaran jelas bahawa jumlah penonton yang mahu menyaksikan pementasan ini jauh melebihi kapasiti tempat duduk yang tersedia.
Bagi Tiara Jacquelina, pengarah dan pencipta bersama produksi asal, sambutan tersebut merupakan sesuatu yang amat mengharukan dan di luar jangkaan.
“Sejujurnya, saya sendiri hampir kehilangan kata kata melihat apa yang berlaku malam ini. Dua puluh tahun selepas kami pertama kali membawa Puteri Gunung Ledang ke pentas, mengetahui bahawa rakyat Malaysia masih menyimpan cerita ini begitu dekat di hati mereka dan kini ada pula generasi baharu yang begitu teruja mahu mengenalinya, sangat menyentuh hati saya,” katanya.
Menurut Tiara, dua dekad lalu pasukan produksi hanya mampu berharap agar PGL menjadi sebuah karya yang terus dikenang oleh rakyat Malaysia.
Namun, sambutan yang diterima hari ini menjadi bukti bahawa hubungan penonton dengan karya tersebut masih kuat.
“Dua puluh tahun lalu, kami hanya mampu berharap PGL akan menjadi sesuatu yang dikenang oleh rakyat Malaysia. Malam ini, rakyat Malaysia mengingatkan kami bahawa mereka tidak pernah melupakannya,” ujarnya.
Lebih daripada kejayaan jualan tiket, Tiara melihat fenomena tersebut sebagai satu isyarat penting terhadap perkembangan teater dan seni persembahan tempatan.
“Bagi saya, ini bukan sekadar cerita tentang PGL. Ini satu petanda yang sangat menggalakkan untuk teater Malaysia dan seni persembahan negara. Ia menunjukkan bahawa penonton kita dahagakan cerita kita sendiri, bakat kita sendiri dan produksi tempatan yang lahir daripada kreativiti rakyat Malaysia,” tambahnya.
Dua Dekad Berlalu, Puteri Gunung Ledang Kembali Dengan Generasi Penonton Baharu
Selepas hampir dua dekad meninggalkan pentas, Puteri Gunung Ledang The Muzikal kini kembali dengan nafas baharu di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre, JCPAC, Sunway Square.
Kepulangan itu bukan sekadar mengembalikan sebuah produksi yang pernah mencipta sejarah. Ia turut membuka ruang untuk generasi baharu mengenali karya yang pernah menjadi antara judul penting dalam perkembangan muzikal tempatan.
Bagi Tiara, antara perkara paling bermakna mengenai pementasan kali ini ialah bagaimana PGL terus diwariskan daripada satu generasi kepada generasi berikutnya.
“Setinggi tinggi penghargaan dan terima kasih saya kepada semua peminat yang telah membawa PGL bersama mereka selama ini. Ada yang bersama kami dua puluh tahun lalu dan kini mahu membawa anak anak pula untuk menontonnya. Pada masa yang sama, ada generasi muda yang baru pertama kali akan mengenali dunia PGL. Bagi saya, itulah antara perkara paling indah tentang kepulangan ini,” ujarnya.
Karya yang pernah dikenali oleh penonton generasi terdahulu kini berpeluang mencipta memori baharu bersama penonton yang mungkin belum pernah menyaksikan pementasan asal.
Dalam masa sama, Tiara turut menghargai keyakinan Jeffrey Cheah Performing Arts Centre terhadap potensi karya tersebut untuk dihidupkan semula.
“Saya amat berterima kasih kepada Jeffrey Cheah Performing Arts Centre kerana percaya bahawa kisah ini wajar dihidupkan semula di pentas, dan khususnya kepada Melissa Teoh yang menghubungi saya dan menjadi pencetus kepada seluruh perjalanan ini,” tambahnya.
Sambutan tiket yang luar biasa, jelas membuktikan bahawa nostalgia bukan satu-satunya faktor yang mendorong penonton mendapatkan tiket. Fenomena ini turut memperlihatkan keinginan terhadap pengalaman teater secara langsung dan karya tempatan yang mempunyai identiti tersendiri.
Puteri Gunung Ledang The Musical 2026: Sold Out Bukan Penamat, Mungkinkah Ada Sambungan?
Walaupun keseluruhan musim telah habis terjual, kejayaan tersebut tidak bermakna kerja pasukan produksi sudah selesai.
Sebaliknya, tekanan untuk memberikan persembahan terbaik kini semakin besar.
Tiara mengakui bahawa tumpuan utama pasukan ketika ini adalah memastikan kepercayaan yang diberikan penonton melalui pembelian tiket dapat dibalas dengan sebuah persembahan yang benar benar luar biasa.
“Buat masa ini, saya cuba untuk tidak terlalu terbuai dengan angka angka ini. Tanggungjawab saya sangat mudah: kami mesti menyampaikan yang terbaik. Dan bukan sekadar memenuhi apa yang penonton ingat atau jangkakan, kami mesti melangkaui jangkaan itu,” tegasnya.
Pasukan produksi kini giat menjalani latihan menjelang pembukaan musim pada 31 Oktober 2026. Tiara kembali menerajui pementasan ini sebagai pengarah bersama barisan kreatif Enfiniti untuk membawa generasi baharu pelakon ke pentas.
Namun, persoalan yang lebih besar kini muncul. Apa yang akan berlaku kepada ribuan peminat yang tidak berjaya mendapatkan tiket?
Walaupun tiada pementasan tambahan disahkan buat masa ini, Tiara mengakui bahawa pihaknya menyedari kekecewaan mereka yang terpaksa melihat tiket habis ketika masih menunggu dalam barisan dalam talian.
“Kepada semua yang menghabiskan malam menekan ‘refresh’, menunggu dalam barisan dan akhirnya masih tidak berjaya mendapatkan tiket, saya benar-benar minta maaf, dan pada masa yang sama amat terharu dan berterima kasih kerana anda begitu mahu bersama kami. Kami nampak anda. Kami dengar anda,” katanya.
Lebih menarik, kemungkinan perjalanan PGL tidak berhenti selepas musim pementasan ini turut mula terbuka.
Tiara mendedahkan bahawa sudah ada beberapa pihak yang mendekati pasukan produksi dan terdapat perbincangan awal mengenai kemungkinan membawa PGL melangkaui musim ini, termasuk minat dari beberapa negeri lain di Malaysia.
Bagaimanapun, tiada perkara yang boleh disahkan buat masa ini kerana fokus utama pasukan adalah memastikan pementasan 2026 mencapai tahap yang diharapkan.
“Penonton sudah memberikan kepercayaan mereka kepada kami. Sekarang giliran kami untuk membuktikan bahawa kami layak menerima kepercayaan itu. Kami tidak sabar untuk menyambut anda semua kembali ke Ledang,” katanya.
Malah, tiket yang habis terjual hanya dalam tempoh dua jam dan lebih 22,000 orang masih menunggu ketika jualan ditutup, Puteri Gunung Ledang The Muzikal sekali lagi membuktikan bahawa sebuah karya yang benar-benar dekat dengan jiwa penonton mampu merentas zaman.
Dua puluh tahun selepas kemunculan pertamanya, PGL bukan sekadar kembali ke pentas. Ia kembali sebagai sebuah fenomena apabila keseluruhan musim pementasan telah habis terjual.
Sekadar info Havoxians, Puteri Gunung Ledang The Muzikal akan dipentaskan dari 31 Oktober hingga 15 November 2026 di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre, JCPAC, Sunway Square.