
Pulau Pinang bukan sekadar menjadi lokasi sebuah konsert buat Ella. Malam tadi, negeri kelahirannya menjadi saksi kepada kepulangan seorang legenda yang diraikan bukan sahaja kerana perjalanan seninya, tetapi juga kerana enam dekad kehidupan dan lebih 30 tahun mewarnai industri muzik tanah air.
Setia SPICE Arena bergema dengan suara ribuan peminat apabila Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi Permata Biru berlangsung dengan jayanya dalam suasana penuh nostalgia, emosi dan penghargaan.
Lebih bermakna, konsert anjuran Hitman Solutions dan Rockqueen itu mencatatkan kejayaan sold out, menjadikan kepulangan ratu rock ke Pulau Pinang satu pengalaman yang jauh lebih besar daripada sekadar persembahan muzik.
Selepas kali terakhir mengadakan persembahan di Pulau Pinang menerusi Jilid Akhir Ella Puteri Kota pada 2023, Ella akhirnya kembali ke negeri yang menyimpan sebahagian daripada akar kehidupannya.
Kali ini, kepulangannya hadir bersama sambutan ulang tahun ke 60 yang diraikan di hadapan peminat yang terus setia mengikuti perjalanan panjangnya sebagai seorang anak seni.
Baginya, malam tersebut mempunyai makna yang tersendiri kerana Pulau Pinang merupakan tempat beliau dilahirkan dan menjadi sebahagian daripada kisah awal kehidupannya.
“Pulau Pinang sentiasa mempunyai tempat yang sangat istimewa di hati saya kerana di sinilah saya dilahirkan. Jadi apabila kita namakan konsert ini ‘Homecoming’, ia benar benar membawa maksud pulang ke tempat awal permulaan,” ujar Ella.
Ella Homecoming Pulau Pinang Jadi Sambutan Ulang Tahun Ke 60 Yang Istimewa

Kepulangan beliau menjadi semakin bermakna apabila beliau bukan sahaja diraikan oleh peminat dari Pulau Pinang dan negeri negeri utara, malah turut menerima kehadiran peminat dari negeri lain serta Sumatera, Indonesia.
Arena yang penuh itu seolah-olah menjadi gambaran jelas bahawa karya ratu rock itu masih mempunyai tempat istimewa dalam hati pendengar merentasi generasi.
Malah, kemeriahan sudah bermula sebelum konsert apabila Ella meluangkan masa meraikan ulang tahun kelahirannya bersama sekumpulan pemegang tiket terpilih.
Detik tersebut memberikan sisi yang lebih dekat kepada sambutan berkenaan apabila peminat bukan sekadar datang menonton persembahan, tetapi turut berpeluang meraikan hari istimewa bersama penyanyi kesayangan mereka.
“Lebih istimewa, saya dapat meraikan hari jadi bersama mereka yang dekat serta orang orang yang saya sayangi. Melihat arena penuh malam ini merupakan satu hadiah yang sangat bermakna buat saya,” katanya.
Apabila lampu arena mula dipadamkan, suasana bertukar menjadi lautan nostalgia apabila Ella menghidangkan deretan lagu yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan muziknya.
Antara lagu yang dipersembahkan termasuk Rama Rama, Kesal, Bayangan, Cinta Selembut Sutera, Retak, Tiada Tangis Lagi, Kasih dan Pedih.
Setiap lantunan bukan sekadar menghidupkan semula memori peminat lama, malah memperlihatkan bagaimana muzik Ella terus menemui pendengar daripada generasi berbeza.
Nyanyian penonton yang bergema di seluruh Setia SPICE Arena menjadi antara gambaran paling jelas bahawa karya yang lahir puluhan tahun lalu masih mampu berdiri kukuh dalam landskap muzik hari ini.
Dato’ Ramli Sarip Dan Ziana Zain Cipta Detik Paling ‘Memorable’

Jika kepulangan Ella sendiri sudah cukup menjadi tarikan utama, kehadiran Dato’ Ramli Sarip dan Ziana Zain pula menjadikan malam tersebut lebih istimewa.
Kemunculan Dato’ Ramli Sarip menghidupkan satu pertemuan antara dua nama besar dalam sejarah muzik rock Malaysia.
Beliau membawakan Istilah Bercinta dan Teratai sebelum meneruskan momentum dengan bergandingan bersama Ella menerusi Kembara Kita.
Sorakan penonton yang memenuhi arena ketika kedua dua figura tersebut berkongsi pentas menjadi antara momen paling mencuri perhatian sepanjang konsert.

Tidak kurang istimewa apabila Ziana Zain turut tampil dengan membawakan lagu ikonik Madah Berhelah sebelum bergandingan bersama Ella menerusi medley Senja Nan Merah dan Nuri. Gabungan dua penyanyi wanita dengan identiti vokal tersendiri itu memberikan warna berbeza kepada persembahan, selain mencetuskan satu lagi detik nostalgia buat penonton.
Pertemuan Ella, Dato’ Ramli Sarip dan Ziana Zain pada satu pentas akhirnya menjadikan Homecoming bukan sekadar cerita tentang seorang penyanyi yang pulang ke negeri kelahiran. Ini telah berubah menjadi sebuah perayaan terhadap legasi muzik Malaysia.
Peace.Love.Rindu Bawa Makna Lebih Besar Daripada Sebuah Konsert

Di sebalik sorakan, muzik dan nostalgia, Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming turut membawa mesej kemasyarakatan menerusi kempen Peace.Love.Rindu.
Melalui inisiatif tersebut, RM2 daripada setiap tiket yang terjual disalurkan kepada salah satu daripada tiga organisasi kebajikan berdasarkan pilihan pembeli tiket.
Sumbangan bagi kategori Peace disalurkan kepada Angkatan Belia Islam Malaysia Pulau Pinang, manakala kategori Love diberikan kepada Yayasan Kebajikan Negara dan kategori Rindu pula disalurkan kepada Yayasan Kebajikan Artis Tanahair.
Pendekatan tersebut menjadikan pengalaman menonton konsert mempunyai nilai tambahan apabila sebahagian daripada pembelian tiket turut diterjemahkan kepada sumbangan kepada masyarakat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, kejayaan konsert yang mencatatkan sold out membuktikan kekuatan Ella dan karya artis tempatan dalam menyatukan peminat daripada pelbagai generasi.
“Ella merupakan sebahagian penting daripada sejarah muzik Malaysia. Apa yang kita lihat malam ini bukan sekadar sebuah konsert, tetapi bagaimana muzik tempatan terus mempunyai kekuatan untuk menyatukan generasi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Projek Khas Hitman Solutions, Keeran D., melihat perkembangan Majlis Tertinggi Rockqueen sebagai sebuah pengalaman yang semakin dekat dengan peminat.
“Majlis Tertinggi Rockqueen kini bukan lagi sekadar sebuah persembahan. Ia telah menjadi satu pengalaman yang turut dimiliki oleh peminat Ella,” katanya.
Bagi Homecoming, pengalaman itu akhirnya menemukan semua elemen yang tepat. Ella pulang ke tempat kelahirannya, ulang tahun ke 60 diraikan bersama peminat, dua legenda muzik tampil berkongsi pentas dan sebuah arena dipenuhi mereka yang masih percaya bahawa lagu lagu lama mempunyai jiwa yang tidak pernah lapuk.
Apabila malam berakhir, Pulau Pinang bukan sekadar meninggalkan kenangan tentang sebuah konsert yang sold out. Tetapi negeri kelahiran Ella menjadi saksi kepada sebuah kepulangan yang penuh makna.
Ella pulang bukan sekadar pulang untuk menyanyi, Ella pulang untuk diraikan dan pada malam itu, Pulau Pinang meraikan seorang anak kelahirannya sebagai legenda yang masih mempunyai tempat istimewa di hati peminat.
Sekadar info Havoxians, Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi Permata Biru dianjurkan oleh Hitman Solutions dan Rockqueen dengan kerjasama Angkatan Belia Islam Malaysia Pulau Pinang, Yayasan Kebajikan Negara dan Yayasan Kebajikan Artis Tanahair.
Konsert ini turut disokong oleh rakan radio rasmi ERA FM, SINAR FM, MIX FM dan LITE FM, rakan media Astro Gempak, rakan hotel Iconic Marjorie Hotel serta Tourism Malaysia.