
Kalau ada satu malam yang bakal membuatkan perhatian industri muzik Malaysia beralih ke Borneo, 26 September ini adalah tarikhnya.
Bukan sekadar kerana Anugerah Industri Muzik (AIM25) kembali meraikan karya dan insan yang mewarnai perjalanan muzik tanah air, tetapi kerana untuk pertama kalinya dalam sejarah, pentas anugerah muzik paling berprestij itu meninggalkan kebiasaan dan memilih Kuching, Sarawak sebagai lokasi sambutan Jubli Peraknya.
Bayangkan satu pentas yang menghimpunkan Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Akim Ahmad, Hael Husaini, Hafiz Suip, Marsha Milan, HUJAN, Adira Suhaimi dan deretan nama besar lain, dalam satu malam yang sama. Dalam masa yang sama, generasi baharu seperti Rezza Shah, Ary Hussin, Qal G dan Yusuf Kassim turut diberikan ruang untuk membuktikan bahawa masa depan muzik Malaysia sedang menunggu untuk mengambil tempat.
Itu belum termasuk barisan penyampai anugerah yang turut menghimpunkan nama nama popular daripada pelbagai cabang industri hiburan, selain kehadiran artis Indonesia, Fajar Noor yang memberikan sentuhan serantau kepada edisi kali ini dengan kata lain, AIM25 bukan sekadar malam untuk mengira siapa menang dan siapa kalah.
Tetapi ia sebuah malam berprestij yang membawa bersama 25 tahun perjalanan muzik Malaysia, mempertemukan legenda dengan generasi baharu dan, paling penting, membuka satu lembaran baharu apabila Sarawak buat pertama kalinya menjadi tuan rumah kepada acara berprestij ini.
Lebih menarik, skala sambutan Jubli Perak ini turut disokong oleh kerajaan dan pemain industri menerusi sokongan kewangan serta kerjasama strategik yang memperlihatkan betapa besarnya kedudukan AIM dalam ekosistem muzik dan kreatif negara.
Jadi, apabila lampu pentas Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) dinyalakan pada malam 26 September nanti, yang bakal berlangsung bukan sekadar sebuah majlis anugerah. Malaysia sedang menyaksikan satu detik sejarah AIM, dengan barisan bintang yang sudah diumumkan, persoalannya sekarang bukan lagi sama ada AIM25 bakal meriah atau tidak.
Persoalannya, mampukah malam Jubli Perak ini menjadi antara edisi AIM yang paling diingati?
AIM25 Sarawak: Pentas Jubli Perak Himpunkan Bintang Besar Dan Generasi Baharu

Antara perkara yang paling mencuri perhatian menjelang AIM25 ialah barisan pengacara dan penghibur yang bakal menghidupkan pentas utama.
Malam kemuncak akan dikendalikan oleh pasangan selebriti Awal Ashaari dan Scha Alyahya bersama personaliti TVS, Sheera Abang Mansur.
Gabungan tiga figura ini dijangka memberikan warna tersendiri kepada malam anugerah, terutama dengan AIM25 yang hadir dalam skala lebih besar bersempena sambutan Jubli Perak.
Dalam pada itu, pentas AIM25 bakal dihiasi persembahan daripada barisan artis terkenal termasuk Adira Suhaimi, Anggrek, Akim Ahmad, Alena Murang, Amir Masdi, Azlan Typewriter, Bunga, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Estranged, Fajar Noor, Firdhaus, Hael Husaini, Hafiz Suip, HUJAN, Luqman Podolski, Marsha Milan dan Mimifly.
Kehadiran nama nama tersebut memperlihatkan bagaimana AIM25 cuba merangkum pelbagai generasi dan karakter dalam satu pentas.
Tidak kurang menarik ialah penampilan Fajar Noor dari Indonesia yang membawa dimensi serantau kepada edisi kali ini. Kehadiran artis dari luar Malaysia itu secara tidak langsung memperlihatkan bahawa sambutan Jubli Perak AIM bukan hanya berkisar tentang nostalgia, sebaliknya turut membuka ruang kepada hubungan muzik yang lebih luas di rantau ini.
Pada masa sama, empat finalis kategori Artis Baharu Terbaik iaitu Rezza Shah, Ary Hussin, Qal G dan Yusuf Kassim turut diberikan ruang untuk membuat persembahan di pentas utama.
Langkah itu penting kerana anugerah seperti AIM bukan sekadar tempat meraikan nama yang sudah kukuh, tetapi juga platform untuk memperkenalkan generasi yang bakal menentukan hala tuju muzik Malaysia pada masa akan datang.
Malah, kepelbagaian barisan persembahan ini menjadi antara kekuatan utama AIM25. Daripada muzik pop hingga rock, daripada nama legenda kepada bakat yang sedang membina tapak, kesemuanya bakal berkongsi satu pentas pada malam bersejarah tersebut.
Bukan Sekadar Anugerah, AIM25 Satukan Wajah Industri Hiburan Malaysia

Kemuncak sesebuah malam anugerah bukan hanya bergantung kepada siapa yang membuat persembahan, tetapi juga siapa yang muncul untuk menyampaikan penghargaan kepada para pemenang.
Bagi AIM25, barisan penyampai anugerah turut menampilkan gabungan personaliti yang cukup pelbagai.
Antara yang bakal mengambil tempat di pentas ialah Amir Jahari, Wany Hasrita, Nisa Kasnon, Anggrek, Azeva, Fattah Bolh, Salam, Aina Abdul, Kaka Azraff, Yonnyboii, Melissa Francis, Luqman, Iman Troye, HUJAN, Noraniza Idris, Lah Ahmad, Hazama, Dr. Soo Wincci, Rabbit Mac, Handy Gui, Stacy dan Mila Jirin.
Kehadiran mereka daripada pelbagai cabang hiburan memberikan gambaran bahawa AIM25 bukan sekadar sebuah acara penyampaian trofi, sebaliknya menjadi titik pertemuan besar buat komuniti muzik dan hiburan Malaysia.
Apa yang menjadikan edisi ini lebih istimewa ialah konteks sambutan Jubli Perak itu sendiri.
Dua puluh lima tahun merupakan tempoh yang panjang dalam industri muzik yang sentiasa berubah. Artis datang dan pergi, genre berkembang, teknologi mengubah cara muzik dihasilkan dan didengar, manakala cita rasa pendengar turut bergerak mengikut zaman.
Namun, AIM terus menjadi antara simbol penting dalam usaha mengiktiraf karya serta pencapaian penggiat muzik tempatan.
Dalam konteks itu, AIM25 seolah olah membawa satu mesej yang cukup jelas bahawa perjalanan muzik Malaysia tidak pernah statik.
Kepelbagaian nama yang berada di pentas kali ini juga mencerminkan perkara tersebut. Ada wajah yang sudah lama menjadi sebahagian daripada sejarah muzik negara, ada yang sedang berada di puncak kerjaya dan ada pula yang baru sahaja mengetuk pintu industri.
Itulah semangat yang seharusnya dibawa oleh sebuah sambutan Jubli Perak.
Sokongan RM1.95 Juta Kukuhkan Penganjuran AIM25 Di Kuching

Di sebalik kemeriahan karpet merah dan persembahan bintang, penganjuran AIM25 di Sarawak turut memperlihatkan tahap sokongan yang diterima daripada kerajaan serta pemain industri.
AIM25 menerima Geran Acara Pelancongan berjumlah RM1 juta daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak bagi menyokong penganjuran edisi bersejarah ini di Kuching.
Pada masa sama, Kementerian Komunikasi turut menyediakan peruntukan sebanyak RM950,000 menerusi Dana Kandungan Kreatif yang akan disalurkan kepada sejumlah 16 pemenang AIM25 melalui MyCreative Ventures.
Jumlah keseluruhan sokongan berkenaan mencecah RM1.95 juta, sekali gus memperlihatkan keyakinan terhadap kepentingan AIM sebagai salah satu acara utama dalam ekosistem muzik dan kreatif negara.
AIM25 turut mendapat sokongan penaja rasmi iaitu AirAsia sebagai Syarikat Penerbangan Rasmi, Orkid sebagai Air Minuman Rasmi dan Borneo Convention Centre Kuching sebagai Lokasi Rasmi.

Selain itu, AirBorneo, Kuala Cola, Maxim, Grand Margherita Hotel, Riverside Majestic Hotel, Riverside Majestic Astana Wing dan Sheraton Kuching tampil sebagai rakan strategik yang membantu menyokong kelancaran penganjuran.
Bagi memastikan kemeriahan AIM25 dapat dirasai lebih meluas, ERA, HITZ, MY FM dan RAAGA di bawah Astro Radio serta CATS FM turut menjadi Rakan Radio Rasmi.
Sokongan merentas sektor ini membawa makna yang lebih besar daripada sekadar penajaan. Ia menunjukkan bagaimana acara muzik berskala nasional mampu menjadi ruang pertemuan antara industri hiburan, sektor korporat, kerajaan dan sektor pelancongan.
Pemilihan Sarawak sebagai lokasi pula memberikan satu lagi dimensi kepada AIM25. Selain meraikan muzik, penganjuran ini turut membuka peluang untuk memperkenalkan Kuching sebagai destinasi yang mampu menjadi tuan rumah acara hiburan bertaraf nasional.
Apabila semua elemen tersebut disatukan, AIM25 mempunyai ramuan untuk menjadi lebih daripada sekadar satu malam penyampaian anugerah. Tetapi perayaan perjalanan muzik Malaysia selama suku abad, sambutan terhadap bakat yang sedang berkembang dan pengiktirafan terhadap kepelbagaian suara yang membentuk industri muzik negara hari ini.
Jadi Havoxians yang berada di bumi kenyalang pada 26 September nanti, perhatian industri hiburan dijangka beralih ke Borneo Convention Centre Kuching apabila nama-nama besar dan generasi baharu berkumpul dalam satu pentas.
Karpet merah bermula jam 8.00 malam, manakala malam kemuncak akan berlangsung pada jam 9.00 malam dan disiarkan secara langsung ke seluruh negara menerusi TVS Saluran 122 serta TVS Inspire.