
Ada lagu yang dicipta untuk menjadi sebahagian daripada sebuah album, tetapi akhirnya menemukan jalannya sendiri.
Begitulah kisah di sebalik “Lepaskan”, single terbaharu yang mempertemukan Yonnyboii dan Kaka Azraff dalam sebuah karya yang bukan sahaja sarat dengan emosi, malah mempunyai perjalanan yang cukup panjang sebelum akhirnya dilahirkan sebagai duet.
Menariknya, lagu berkenaan pada asalnya tidak pernah dirancang untuk menjadi sebuah single duet. “Lepaskan” tercetus ketika Yonnyboii dan Kaka Azraff berada di studio bagi menghasilkan album MPT milik Kaka yang dilancarkan pada Februari 2026.
Dari Studio Album Kaka, “Lepaskan” Akhirnya Temui Takdir ‘Duet’

Menurut Kaka, “Lepaskan” lahir secara spontan ketika dia berada di studio Yonnyboii. Tiada konsep yang terlalu ketat ketika mereka memulakan proses penulisan. Sebaliknya, perbualan dan idea yang tercetus ketika berada di studio membawa mereka kepada melodi serta lirik yang akhirnya membentuk lagu tersebut.
“Lepaskan sebenarnya terjadi secara spontan. Masa tu Kaka di studio Yonny dan kami memang tak datang dengan satu konsep yang terlalu rigid. Bila mula berbual dan masuk dalam proses menulis, melodi dan lirik tu macam keluar sendiri,” kongsi Kaka.
Sejak awal lagi, tajuk “Lepaskan” mempunyai kaitan rapat dengan emosi yang ingin disampaikan. Bagi Kaka, perkataan tersebut bukan sekadar sebuah frasa yang sedap didengar, sebaliknya mencerminkan proses dalaman untuk melepaskan perkara yang terlalu lama disimpan.
Walaupun mempunyai potensi tersendiri, lagu tersebut tidak sempat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan untuk album MPT. Pada ketika itu, “Lepaskan” seolah olah perlu menunggu masa yang lebih sesuai untuk menemui pendengar.
Yonnyboii bagaimanapun melihat sesuatu yang berbeza, daripada membiarkan karya tersebut tersimpan begitu sahaja, dia mempertimbangkan beberapa kemungkinan termasuk mendapatkan penyanyi lain sebelum akhirnya memilih untuk mengambil sendiri bahagian tersebut dan menjadikan lagu berkenaan sebagai sebuah karya duet bersama Kaka.
“Saya rasa lagu ni ada banyak potensi dan saya tak nak ia sekadar jadi satu lagi lagu dalam album. Saya rasa lagu ni layak untuk dikeluarkan sebagai single, jadi saya ambil lagu ni dan buat ia berlaku,” jelas Yonnyboii.
Apabila Yonnyboii Masuk, Sisi Rapuh Kaka Azraff Mula Bernafas

Kekuatan “Lepaskan” bukan hanya terletak pada gabungan dua nama besar dalam satu rakaman, tetapi pada bagaimana suara dan perspektif kedua dua penyanyi tersebut saling melengkapi.
Kaka melihat kehadiran Yonnyboii sebagai satu elemen yang mengubah tenaga lagu secara keseluruhan. Jika dibawakan secara solo, terdapat bahagian tertentu yang terasa terlalu berat dari sudut emosi. Namun, kehadiran Yonny memberikan ruang untuk emosi itu bergerak dan berkembang.
“Bila lagu ni jadi duet, energy dia terus berubah. Kehadiran Yonny bagi satu lagi perspektif kepada lagu ni, bukan sekadar dari segi vokal tapi dari segi emosi. Ada bahagian yang bila Kaka nyanyikan seorang diri, terasa sangat berat. Tapi bila Yonny masuk, macam ada ruang untuk Kaka ‘bernafas’ dan membalas emosi yang dia bawa,” kata Kaka.
Pendekatan tersebut turut membuka sisi Kaka yang mungkin tidak selalu ditonjolkan dalam karya atau persembahannya sebelum ini.
Lebih dikenali dengan persembahan yang bertenaga dan karakter yang kuat di atas pentas, Kaka memilih untuk hadir dalam “Lepaskan” dengan sisi yang lebih rapuh dan jujur. Lagu ini tidak cuba menjadikan dirinya sebagai seseorang yang sentiasa kuat atau kebal terhadap kehidupan.
Sebaliknya, dia memilih untuk mengakui bahawa ada waktunya seseorang boleh berasa penat, terluka dan kalah, sebelum perlahan lahan mencari kekuatan untuk bangun semula.
“Ini bukan lagu tentang Kaka nak nampak kuat. Sebaliknya, ia tentang mengakui yang kita pernah penat, pernah terluka, pernah rasa kalah. Tapi dalam keadaan tu pun kita masih cuba untuk berdiri,” ujarnya
Yonnyboii Bawa “Lepaskan” Ke Fasa Baharu Sebelum Album Penuh Ajak Pendengar Ke Angkasa

Jika Kaka membawa sisi vulnerable dalam “Lepaskan”, Yonnyboii pula melihat lagu ini sebagai sebahagian daripada refleksi terhadap perjalanan dirinya sendiri.
Baginya, proses melepaskan bukan sekadar meninggalkan sesuatu yang menyakitkan, tetapi turut melibatkan keberanian untuk mengakui kesilapan lalu dan memilih untuk tidak terus terperangkap di dalamnya.
“Untuk saya, ‘Lepaskan’ lebih kepada cuba mengatasi masa lalu dan kesilapan yang pernah saya buat. Ia tentang bergerak ke hadapan, kekal berada dalam masa sekarang dan sentiasa melihat ke arah masa depan,” katanya.
Pandangan tersebut menjadikan “Lepaskan” lebih daripada sekadar sebuah lagu tentang perpisahan atau kehilangan. Ia turut boleh ditafsirkan sebagai proses berdamai dengan diri sendiri.
Pada masa sama, karya ini memperlihatkan arah muzik Yonnyboii yang semakin berkembang. Dari segi bunyi, “Lepaskan” menampilkan pendekatan pop yang segar dengan sentuhan inspirasi K pop, namun masih mengekalkan identiti Melayu.
Yonnyboii yang turut terlibat sebagai penulis dan komposer bersama Kaka melihat pendekatan tersebut sebagai sesuatu yang berbeza daripada karya pop yang pernah dihasilkannya sebelum ini.
“Saya rasa bunyi lagu ni agak berbeza daripada lagu lagu pop yang pernah saya buat sebelum ini, sebab itu saya bangga dengan arah yang kami ambil,” tambahnya.

Menariknya, perjalanan “Lepaskan” juga hadir sebagai pembuka kepada sesuatu yang lebih besar buat Yonnyboii.
Lagu ini menjadi sebahagian daripada perjalanan menuju album terbaharunya yang kini sedang dipersiapkan. Dua lagi single telah disiapkan dan bakal diperkenalkan kepada pendengar dalam masa terdekat.
Bagi Yonnyboii, album tersebut bukan sekadar himpunan lagu yang dikumpulkan menjadi satu projek muzik. Sebaliknya, dia mahu pendengar merasai keseluruhan pengalaman yang cuba dibina menerusi album berkenaan.
“Saya nak orang bukan sekadar dengar lagu lagu ni sebagai single. Saya nak mereka tutup mata dan betul betul experience album tu. Saya nak bawa mereka dalam satu adventure, bayangkan saya bawa anda pergi ke angkasa, ke universe, dan kita berseronok di sana. Itu pengalaman yang saya nak album ni berikan,” kongsinya.
Sementara menantikan pengembaraan muzik Yonnyboii yang lebih besar itu, “Lepaskan” terlebih dahulu membawa pendengar kepada satu perjalanan yang lebih peribadi. Tentang menerima apa yang pernah berlaku, memaafkan perkara yang masih membebankan hati dan akhirnya memilih untuk tidak membawa semua luka ke masa depan.
“Kita tak semestinya perlu membawa semua benda yang pernah menyakitkan kita ke masa depan. Ada benda yang kita perlu terima, ada benda yang kita perlu maafkan, dan ada benda yang kita cuma perlu lepaskan.
Tak semestinya hari ni terus sembuh. Yang penting, bagi diri sendiri ruang untuk sembuh dan terus berdiri, walaupun perlahan,” kata Kaka.
Kini, “Lepaskan” daripada Yonnyboii dan Kaka Azraff boleh didengarkan Havoxians di semua platform penstriman digital, menjadi sebuah karya yang lahir daripada proses panjang, hampir tersimpan begitu sahaja, sebelum akhirnya menemukan bentuk yang mungkin paling tepat untuknya sebagai sebuah duet.