
Selama lebih tiga dekad, Anugerah Industri Muzik menjadi pentas yang melahirkan detik bersejarah buat industri muzik tanah air. Daripada kemenangan lagu-lagu ikonik sehinggalah kemunculan bakat baharu yang akhirnya menjadi nama besar, AIM kekal sebagai simbol pengiktirafan paling berprestij di Malaysia.
Kini, sempena sambutan Jubli Perak, AIM25 bersedia membuka lembaran baharu apabila buat pertama kalinya dianjurkan di Kuching, Sarawak dengan TVS dilantik sebagai Penyiar Rasmi dan Rakan Kongsi Penganjur.
Lebih daripada sekadar meraikan ulang tahun ke 25, edisi kali ini membawa misi memperluaskan landskap muzik Malaysia menerusi kerjasama strategik, pengiktirafan budaya Borneo serta sokongan terbesar kerajaan kepada industri kreatif negara.
Malah, dengan sokongan kerajaan, penyertaan Sarawak sebagai tuan rumah dan penglibatan TVS sebagai penyiar utama, AIM25 dilihat bersedia mencipta satu lagi detik bersejarah dalam perjalanan industri muzik tempatan.
AIM25 Cipta Sejarah Apabila Pertama Kali Berlangsung di Kuching Sarawak

Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) secara rasmi mengumumkan penganjuran Anugerah Industri Muzik ke 25 yang bakal berlangsung pada 26 September 2026 di Borneo Convention Centre Kuching. Pemilihan Sarawak sebagai lokasi penganjuran buat julung kalinya menjadikan edisi kali ini cukup istimewa kerana ia bertepatan dengan sambutan Jubli Perak anugerah muzik paling berprestij di Malaysia.
Sejak diperkenalkan pada tahun 1993, AIM menjadi platform utama mengiktiraf kecemerlangan karya seni, kreativiti dan pencapaian penggiat muzik tanah air. Selepas 24 edisi berlangsung di Semenanjung Malaysia, penganjuran di Kuching membawa mesej bahawa industri muzik negara kini berkembang secara lebih inklusif dengan mengiktiraf kekuatan bakat dari seluruh Malaysia.
Justeru, bagi meraikan evolusi industri muzik yang semakin pelbagai, AIM25 turut memperkenalkan dua kategori baharu iaitu Lagu Borneo Terbaik dan Lagu Perayaan Terbaik.
Kategori Lagu Borneo Terbaik diwujudkan bagi mengangkat karya yang meraikan budaya, bahasa, warisan dan identiti masyarakat Sabah serta Sarawak. Manakala Lagu Perayaan Terbaik pula memberi penghargaan kepada lagu yang menjadi sebahagian daripada sambutan pelbagai perayaan masyarakat Malaysia sekali gus memperkukuh semangat perpaduan.
Pengenalan kategori tersebut mencerminkan komitmen AIM untuk terus relevan dengan perkembangan industri muzik tempatan sambil memastikan setiap lapisan budaya negara mendapat ruang yang sewajarnya di pentas pengiktirafan nasional.
Sokongan Kerajaan dan Dana Lebih Besar Perkukuh Masa Depan Industri Muzik Malaysia

Edisi Jubli Perak turut menyaksikan peningkatan signifikan daripada aspek sokongan kerajaan terhadap pembangunan industri muzik negara.
Kementerian Komunikasi menerusi Dana Kandungan Kreatif yang diuruskan oleh MyCreative Ventures meningkatkan jumlah peruntukan kepada RM950,000 berbanding RM700,000 pada AIM24.
Daripada jumlah itu, sebanyak 15 kategori utama bakal menerima geran bernilai RM50,000 setiap satu, manakala pemenang kategori Album Terbaik akan menerima geran khas berjumlah RM200,000.
Inisiatif tersebut bertujuan menggalakkan penghasilan kandungan kreatif berkualiti tinggi yang bukan sahaja mampu memenuhi pasaran tempatan, malah berpotensi menembusi pasaran antarabangsa.
Dalam masa sama, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Sarawak turut menyalurkan geran sebanyak RM1 juta bagi menyokong penganjuran AIM25.
Sokongan itu memperlihatkan kesungguhan Sarawak untuk terus muncul sebagai destinasi utama acara seni, budaya dan hiburan berskala besar di Malaysia.

Pengerusi RIM dan AIM, Rosmin Hashim berkata sambutan Jubli Perak kali ini membawa makna yang cukup besar buat seluruh industri muzik tanah air.
“AIM25 amat bermakna kerana kita meraikan Jubli Perak anugerah muzik paling berprestij di Malaysia. Sepanjang 24 edisi yang lalu, AIM terus mengiktiraf dan menghormati bakat, kreativiti serta dedikasi cemerlang para penggiat muzik kita, sambil turut berevolusi seiring dengan landskap industri muzik Malaysia yang sentiasa berubah,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Komunikasi, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Sarawak, TVS serta CATS FM atas kerjasama yang disifatkan mampu menjadikan AIM25 sebagai sambutan paling bersejarah sepanjang penganjurannya.
Selain itu, penyerahan pencalonan AIM25 dibuka bermula 16 Julai sehingga 6 Ogos 2026 bagi lagu dan album yang diterbitkan antara 1 Januari hingga 31 Disember 2025.
Seperti kebiasaan, proses penjurian akan dikendalikan panel profesional industri muzik yang diketuai oleh Ajai sebagai Ketua Hakim sebelum diaudit oleh juruaudit bebas bagi memastikan ketelusan keputusan.
TVS Penyiar Rasmi AIM25, Bawa Kemeriahan Jubli Perak ke Seluruh Negara

Satu lagi pengumuman yang mencuri perhatian ialah pelantikan TVS sebagai Penyiar Rasmi dan Rakan Kongsi Penganjur AIM25.
Kerjasama ini bukan sahaja membolehkan malam kemuncak AIM25 disiarkan kepada penonton seluruh negara, malah memperkukuh kedudukan TVS sebagai antara pemain utama dalam landskap penyiaran hiburan Malaysia.
Ketua Pegawai Media TVS, Mohamad Sardon Zainal berkata pelantikan tersebut merupakan satu penghormatan besar kepada stesen televisyen itu.
“TVS berbesar hati dinamakan sebagai Penyiar Rasmi dan Penganjur Bersama AIM25. Edisi Jubli Perak ini yang julung kalinya diadakan di Sarawak merupakan detik membanggakan bagi kami sebagai stesen penyiaran tempatan yang akan membawa sambutan muzik Malaysia ini kepada penonton di seluruh negara,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa TVS akan menerbitkan program khas Hits 122 Edisi AIM25 yang mula bersiaran pada 18 Julai 2026 setiap Sabtu jam 8.30 malam selama 13 episod.
Program tersebut bakal menampilkan kisah penggiat muzik tempatan serta perkembangan industri muzik sebagai pemanas badan menuju malam kemuncak AIM25.
Penonton boleh mengikuti siaran AIM25 menerusi saluran TVS di MYTV, Unifi TV, Astro serta platform penstriman TVS Inspire.
Menariknya, dengan gabungan sambutan Jubli Perak, penganjuran pertama di Sarawak, penambahan kategori baharu, peningkatan dana kerajaan serta kerjasama strategik bersama TVS, AIM25 dilihat bakal membuka lembaran baharu dalam sejarah industri muzik Malaysia.
Malah, ia bukan sekadar meraikan karya terbaik, malah menjadi simbol kesatuan budaya, inovasi dan masa depan muzik tempatan yang semakin berkembang.
Pada masa sama, peminat muzik tanah air juga boleh mula menantikan karya-karya yang bakal bersaing pada edisi kali ini, termasuk lagu yang berpotensi mencipta impak besar sepanjang tahun kelayakan.
Selain itu, sekadar info Havoxians, AIM25 dijangka menjadi pentas terbaik untuk menyaksikan siapakah yang bakal membawa pulang pengiktirafan paling berprestij dalam industri muzik Malaysia.