
Bukan semua perubahan dalam perjalanan seorang penyanyi bermula dengan keputusan besar yang boleh dilihat orang. Kadangkala, perubahan itu bermula apabila seseorang berani duduk di belakang meja, membuka ruang kepada idea sendiri dan memilih untuk mencuba sesuatu yang belum pernah dilakukan sebelum ini.
Bagi Nabila Razali, langkah tersebut hadir menerusi karya terbaharunya, Cukup Sampai Sini (CSS), yang bukan sahaja membawa kisah tentang keberanian memilih diri sendiri, malah menjadi titik penting apabila penyanyi itu buat pertama kalinya terlibat secara langsung dalam proses mencipta lagu.
Malah, Nabila kini mengorak langkah lebih jauh dengan menjadi pencipta lagu bersama Justin Seow Seng Tack, selain menulis keseluruhan lirik untuk Cukup Sampai Sini.
Nabila Razali Berani Keluar Zon Selesa, Tulis Lagu Sendiri Buat Kali Pertama

Selepas melalui pelbagai fasa dalam perjalanan seni, Nabila mengakui penglibatannya dalam proses penciptaan Cukup Sampai Sini memberi pengalaman baharu yang cukup bermakna.
Buat pertama kali, beliau bukan sekadar masuk ke studio untuk merakam sebuah lagu yang telah tersedia. Sebaliknya, Nabila turut terlibat dalam proses membentuk identiti karya tersebut sejak peringkat awal.
Idea yang hadir kemudiannya dikembangkan bersama Justin Seow Seng Tack melalui perbincangan mengenai bunyi dan karakter lagu.
“Ini merupakan kali pertama saya menulis lagu sendiri dan pengalaman itu sangat menarik untuk saya. Bila saya dapat idea, saya teruskan proses ini bersama Justin Seow Seng Tack. Kami banyak berbincang tentang apa yang sesuai dari segi bunyi dan karakter lagu,” jelas Nabila.
Jelas Nabila dia mahu menghasilkan sebuah karya yang mempunyai mesej kuat tanpa menjadikannya terlalu berat. Justeru, Cukup Sampai Sini diberikan pendekatan muzik yang lebih menyeronokkan, santau dan mudah diterima.
Pendekatan tersebut turut membawa Nabila kembali kepada karakter muzik yang pernah menjadi antara sisi popular dalam perjalanan seninya menerusi lagu seperti Vroom Vroom dan Pematah Hati.
“Saya memang nak lagu ini kuat dari segi mesej, tetapi pada masa yang sama saya tak mahu ia terlalu berat. Dari segi muzik, saya rasa macam kembali kepada era lagu lagu seperti ‘Vroom Vroom’ dan ‘Pematah Hati’, sebab saya juga banyak menerima permintaan daripada pendengar yang mahukan saya tampil dengan genre seperti ini semula,” katanya.
Bagi Nabila, cabaran sebenar adalah menghasilkan lagu yang mempunyai keseimbangan antara muzik yang mudah melekat, lirik yang jelas dan cerita yang dekat dengan pengalaman pendengar.
“Saya mahu bila mereka dengar lagu ini, mereka bukan sahaja boleh menikmati muziknya, tetapi juga rasa macam, ‘Eh, ini macam cerita saya,” ujarnya.
Dari Kisah Kecewa Kepada Keberanian Pilih Diri Sendiri

Walaupun tajuk Cukup Sampai Sini secara langsung memberikan gambaran tentang satu titik penghentian, Nabila tidak melihat karya tersebut sebagai lagu perpisahan.
Sebaliknya, lagu ini membawa kisah tentang seseorang yang akhirnya menyedari bahawa terlalu lama memberi ruang dan peluang, hingga hampir mengorbankan diri sendiri.
Situasi ini tidak hanya relevan dalam hubungan percintaan, boleh juga dikaitkan dengan persahabatan, pekerjaan dan hubungan lain yang membuatkan seseorang terlalu lama bertahan sehingga terlupa untuk menghargai diri sendiri.
“Kita semua pernah sampai satu tahap dalam hidup di mana kita terlalu banyak memberi peluang, terlalu banyak cuba untuk faham orang sampai terlupa menghargai diri sendiri,” ujar Nabila.
Bagi beliau, perkataan “cukup” tidak semestinya mencerminkan kebencian atau keinginan untuk membalas dendam. Sebaliknya, satu bentuk kesedaran bahawa seseorang juga mempunyai batas yang perlu dihormati.
“Cukup Sampai Sini bagi saya adalah tentang satu momen apabila kita sedar bahawa sudah cukup. Ada masanya, kita perlu berani untuk berkata, ‘it’s enough’ dan memilih untuk melangkah pergi,” jelasnya.
Mesej tersebut menjadi semakin jelas menerusi bahagian “NO MORE, NO MORE” yang menjadi antara pernyataan paling tegas dalam lagu berkenaan.
Bagi Nabila, bahagian tersebut menggambarkan satu keputusan untuk berhenti memberi ruang kepada alasan dan drama yang sama berulang kali.
“Kadangkala kita takut nak cakap ‘no’ dan terlalu jadi yes man. Saya suka bila bahagian itu dinyanyi ramai ramai sebab ia macam satu manifest no more excuses, no more drama, no more bagi peluang,” luahnya.
Justin Seow Bantu Nabila Razali, Tanpa Hilang Identiti

Sekadar info, selain menjadi pencipta lagu bersama Nabila, Justin turut bertindak sebagai penerbit muzik dan penyusun karya tersebut.
Malah, kerjasama mereka bukan sekadar menghasilkan melodi, tetapi turut melibatkan perbincangan untuk mencari karakter bunyi yang sesuai dengan arah baharu Nabila. Di sinilah peranan Justin Seow Seng Tack menjadi penting dalam pembentukan Cukup Sampai Sini.
Nabila mahu membawa pendengar daripada rasa kecewa kepada rasa lebih positif, iaitu keberanian untuk bangkit dan meneruskan kehidupan.
“Bila kita dengar lagu tentang kecewa, selalunya kita bayangkan sesuatu yang sangat sedih dan galau. Tapi untuk lagu ini, saya tak mahu ia jadi begitu.
Saya nak bawa perasaan kecewa itu kepada sesuatu yang lebih positif bagaimana kita boleh bangkit, kuatkan diri dan terus bergerak ke depan,” jelasnya.
Menurut Nabila, pendekatan Justin membantu karya tersebut mempunyai tenaga yang lebih ringan tanpa menghilangkan emosi utama yang mahu disampaikan.
“Saya sangat suka cara Justin menghasilkan muzik untuk lagu ini sebab dia berjaya beri karakter yang lebih ringan dan bertenaga, tanpa menghilangkan emosi dan mesej yang saya mahu sampaikan,” katanya.
Kerjasama itu juga memperlihatkan bagaimana Nabila kini semakin berani menentukan arah kreatifnya sendiri.
“Sekarang saya rasa saya lebih kenal diri saya. Kalau dulu saya asyik fikir apa yang orang cakap pasal diri saya atau apa yang orang fikir dan harapkan, tapi sekarang saya lebih berani dan tahu apa yang saya nak sampaikan sebagai seorang artis,” Tambahnya.
Cukup Sampai Sini, Ruang Untuk Nabila Tampil Santai Dan Berani

Perubahan kreatif Nabila tidak terhenti pada muzik dan lirik. Ia turut diteruskan menerusi muzik video yang tampil dengan konsep sekolah menengah penuh warna dan karakter.
Pemilihan konsep tersebut membolehkan Nabila membawa sisi yang lebih santai dan menyeronokkan, selain mengangkat pengalaman zaman persekolahan yang dekat dengan kehidupan ramai orang.
Daripada cinta pertama, persahabatan, karakter pelajar sehinggalah kepada kisah individu yang akhirnya berani mengatakan cukup, keseluruhan dunia visual Cukup Sampai Sini dibentuk untuk melengkapkan mesej lagu.
“Saya nak sesuatu yang menyeronokkan. Saya percaya ramai anak anak muda boleh kaitkan diri mereka dengan suasana sekolah.
Ada crush, persahabatan dan perhubungan. Jadi kita nampak elemen elemen yang berwarna warni dan ceria,” jelas Nabila.
Muzik video tersebut turut menampilkan 12 cameo daripada barisan pempengaruh dan selebriti termasuk Ain Edruce, Yaya Zahir, Siti Khadijah, Adriana Adnan, Riena Diana, Lunia Ara, Syieda, Tengku Ratu, Eusoff, Kahoe Hon, Fadhli Masoot, Aimien dan Irfan Hifny.
Setiap individu diberikan karakter berbeza bagi mewujudkan suasana sekolah yang lebih hidup, manakala Nabila sendiri membawa watak “The One Who Had Enough”.
“Saya suka tengok personaliti seseorang, tenaga yang mereka berikan dan vibes yang mereka bawakan. Saya tak nak semua orang nampak sama. Ada yang bawa karakter pelajar popular, yang bijak, ada class clown, yang kelakar dan ada yang misteri,” katanya.
Penglibatan barisan cameo tersebut turut memberikan pengalaman yang menyeronokkan sepanjang penggambaran apabila sebahagian daripada mereka hadir dengan idea dan karakter tersendiri.
Pada akhirnya, Cukup Sampai Sini menjadi gambaran kepada fasa baharu Nabila Razali sebagai seorang artis yang semakin berani mengenali dirinya sendiri.
Bagi Havoxians yang mahu melihat sisi baharu Nabila Razali, Cukup Sampai Sini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital sejak 11 September 2026.
Lagu terbitan Nabila Razali Entertainment, Malika Entertainment & Management serta edaran Sony Music Entertainment Malaysia itu turut disertai muzik video rasmi yang mula ditayangkan di YouTube pada 22 September 2026.