
Selepas 10 tahun membawa haluan masing-masing, lima sahabat kembali dipertemukan dalam sebuah pertemuan yang masih menyimpan pelbagai persoalan. Apakah yang membawa mereka kembali bersama selepas sekian lama terpisah dan apakah yang bakal berlaku apabila mereka berkumpul semula?
Persoalan itu menjadi tumpuan menerusi teaser pertama filem Rajakkal yang baru dipertontonkan secara umum. Teaser berkenaan memberikan gambaran awal tentang kisah pertemuan semula sekumpulan sahabat, namun tidak mendedahkan secara terperinci konflik utama yang menjadi nadi penceritaan.
Menerusi potongan babak yang dipaparkan, penonton diperkenalkan kepada beberapa watak utama filem berkenaan. Malah, teaser tersebut turut memberikan gambaran tentang suasana filem itu yang bakal menemui penonton di layar perak awal bulan hadapan.
Teaser Rajakkal Perkenalkan Lima Sahabat Selepas 10 Tahun Terpisah

Filem Rajakkal mengangkat tema persahabatan menerusi kisah lima individu yang kembali bertemu selepas sedekad tidak bersama. Disamping mengetengahkan hubungan antara sahabat yang pernah rapat, tetapi akhirnya membawa kehidupan dan haluan masing-masing.
Filem cereka sulung terbitan Shaiz Films ini ditulis dan diarahkan oleh C. Martin Raj. Barisan pelakon utamanya terdiri daripada Irfan Zaini yang membawa watak Kutty, Ravin Rao Santheran sebagai Puli, Thevaguru Suppiah sebagai Saami serta mendiang Parvin Nair Surendran sebagai Gaja.
Martin turut berlakon sebagai Papa bagi melengkapkan kumpulan lima sahabat yang menjadi fokus utama penceritaan.
Menariknya, pihak produksi memilih untuk mengekalkan elemen tanda tanya dalam teaser berkenaan. Penonton hanya diberikan beberapa petunjuk melalui babak yang dipaparkan, sekali gus membuka ruang untuk mereka membuat andaian sendiri sebelum menonton filem tersebut.
Pemergian Parvin Nair Berikan Makna Berbeza Kepada Filem Rajakkal

Di sebalik tema persahabatan yang diketengahkan, Rajakkal turut membawa makna peribadi kepada pengarah dan pasukan produksi selepas pemergian pelakon Parvin Nair Surendran.
Menurut C. Martin Raj, filem tersebut pada asalnya dibangunkan dengan hasrat untuk menghasilkan sebuah cerita mengenai persahabatan dan kenangan.
Bagaimanapun, pemergian Parvin menjadikan karya berkenaan lebih bermakna buat mereka yang terlibat dalam pembikinannya.
“Ketika kami memulakan Rajakkal, kami mahu menghasilkan sebuah cerita tentang persahabatan dan kenangan. Tetapi selepas kehilangan Parvin, filem ini sendiri menjadi sesuatu yang akan sentiasa dekat di hati kami,” kata Martin.
Beliau turut berkongsi bahawa Parvin merupakan sahabat kepada seluruh pasukan produksi dan memberikan komitmen sepenuhnya dalam menjayakan watak Gaja.
“Parvin ialah sahabat kami dan dia memberikan sepenuh hati untuk menghidupkan watak Gaja. Saya berharap penonton dapat mengenali sedikit tentang dirinya melalui watak itu.
Bagi kami yang mengenalinya, filem ini juga memberi peluang untuk kami melihat sahabat kami sekali lagi,” kongsinya.
Perkongsian itu sekaligus memperlihatkan hubungan rapat antara para pelakon dan pasukan produksi sepanjang penghasilan filem berkenaan.
Malah, watak Gaja yang dibawakan Parvin turut menjadi sebahagian daripada kenangan yang terus kekal menerusi karya ini.
Filem ini bukan sahaja menjadi platform untuk mengetengahkan bakat Parvin, malah turut menjadi satu bentuk penghargaan terhadap sumbangannya sepanjang terlibat dalam projek tersebut.
Shaiz Films Jadikan Rajakkal Filem Cereka Sulung Dengan Tema Persahabatan

Menurut Shaiz Films, Rajakkal merupakan langkah pertama syarikat berkenaan dalam penerbitan filem cereka. Pemilihan tema persahabatan dilihat sebagai pendekatan yang dekat dengan pengalaman kehidupan ramai, khususnya mengenai hubungan yang sering terjejas akibat kesibukan harian.
Penerbit Eksekutif, Thulasy Paramanandam berkata, pihaknya mahu menghasilkan sebuah filem yang mempunyai hubungan dengan pengalaman peribadi penonton.
Menurut beliau, ramai individu mempunyai sahabat yang sudah lama tidak ditemui walaupun perancangan untuk berjumpa sering dibuat.
“Untuk filem pertama kami, kami mahukan sebuah cerita yang dekat dengan penonton.
“Kebanyakan kita ada kawan yang selalu kita kata mahu jumpa. Mesej sudah dihantar, rancangan sudah dibuat, tetapi kesibukan hidup sering menghalang. Rajakkal membawa sahabat-sahabat ini bersama semula.
Saya berharap selepas menontonnya, ada yang akhirnya menghantar mesej, ‘Jom, kita jumpa,’” kata Thulasy.
Persahabatan menjadi tema yang mudah difahami kerana setiap individu mempunyai pengalaman tersendiri dalam membina dan mengekalkan hubungan dengan orang sekeliling.
Pada masa sama, penerbitan Rajakkal memperlihatkan usaha Shaiz Films untuk memulakan perjalanan dalam industri perfileman menerusi sebuah karya yang berteraskan hubungan manusia.

Selepas pengenalan teaser pertama, penonton boleh menantikan perkembangan seterusnya menerusi treler rasmi yang bakal menyusul. Pihak produksi masih belum mendedahkan keseluruhan jalan cerita, sekali gus menjadikan perkembangan promosi seterusnya antara perkara yang dinantikan.
Terbitan bersama Shaiz Films dan Dee Jam Studio serta diedarkan oleh Komet Productions, filem Rajakkal bakal menemui penonton di pawagam pada 10 Disember 2026.
Sekadar info Havoxians, filem berbahasa Tamil dengan sarikata Bahasa Malaysia ini menampilkan Irfan Zaini, Ravin Rao Santheran, Thevaguru Suppiah, mendiang Parvin Nair Surendran dan C. Martin Raj sebagai barisan pelakon utama.