
Bukan mudah untuk mengatasi rasa gugup meski selepas 17 tahun berdiri di pentas sama. Namun bagi Hafiz Suip, setiap kali melangkah masuk ke studio rakaman, debaran sama masih terasa seolah-olah dia penyanyi baharu yang menunggu penilaian pertama.
Juara Akademi Fantasia Musim ke-7 itu mengakui perasaan tersebut kembali terasa ketika merakamkan single terbaharunya, Yang Engkau Mahukan. Lagu ciptaan Ajai itu bukan sekadar karya baharu dalam katalog muziknya, tetapi refleksi kepada fasa hidup yang lebih matang dan penuh muhasabah.
Dalam industri yang sarat dengan kemunculan penyanyi solo lelaki generasi baharu, Hafiz tidak menafikan wujudnya tekanan dan ekspetasi tinggi. Namun kegugupan itu bukan tanda rapuh, sebaliknya bukti bahawa dia masih meletakkan sepenuh hati pada setiap karya yang dihasilkan.
Lagu Tentang Diri Sendiri, Bukan Sekadar Naratif Cinta
Diterbitkan oleh Sheikh Qalam Records Sdn Bhd bersama Sony Music Malaysia, Yang Engkau Mahukan merupakan ciptaan sepenuhnya oleh komposer tersohor, Ajai. Kolaborasi ini bukanlah yang pertama, namun kali ini naskah ini nyata berbeza.
Hafiz secara terbuka menyatakan bahawa lagu ini adalah refleksi kisah diri sendiri dan perjalanan hidup yang sedang dilaluinya. Walaupun tidak menyentuh secara terperinci, tetapi cukup untuk memberi bayangan bahawa setiap bait dan melodi menyimpan makna peribadi yang tersendiri.
Lagu ini tidak memaksa peminat memahami secara spesifik, sebaliknya membenarkan setiap individu menemukan makna mereka sendiri dalam kehidupan masing-masing.
Jelas Hafiz, tekanan yang dihadapi dalam hidup bukan sebatas keyakinan diri, sebaliknya tanggungjawab untuk tidak menghampakan peminat yang setia menunggu kemunculan single baharu darinya.
Sedar akan ekspektasi bagi setiap karya yang terhasil pasti ada dan di sinilah lahirnya sebuah debaran yang jujur lahir dari sanubari.
Hafiz Ajai ‘Bertapa’ Di Studio, Cari Kunci Emosi Tepat

Di sebalik hasil akhir terlihat lancar, proses penghasilan lagu ini sememangnya mengambil masa agak lama tanpa tergesa-gesa. Hafiz dan Ajai memilih untuk ‘bertapa’ di studio, berbincang mengenai hala tuju muzik serta konsep keseluruhan sebelum melangkah ke peringkat rakaman.
Menariknya, rakaman vokal terpaksa dilakukan sebanyak dua kali. Bukan kerana kelemahan, tetapi demi mencari kesesuaian ‘key’ suara yang benar-benar menyerlahkan karakter vokalnya.
Ajai menjelaskan, dia kemudian menaikkan satu nada dan di situlah lahir dinamik vokal yang lebih tepat serta bersesuaian dengan kematangan suara Hafiz kini.
Menurut Ajai, penyanyi itu hadir ke studio dalam keadaan bersedia. Kematangan Hafiz dalam aspek teknikal serta pemilihan bunyi yang lebih segar turut dipuji. Penghayatan yang begitu mendalam menjadikan nyanyian kali ini lebih terarah dan berada dalam kawalan baik.
“Dia memahami melodi dan lirik dengan baik, sekali gus memudahkan proses rakaman,” ujar Ajai.
Proses keseluruhan mengambil masa kira-kira sebulan, bermula daripada perbincangan konsep sehingga melodi dimuktamadkan.
Ajai menyifatkan lagu ini sebagai kategori galau yang matang. Tidak sekadar merintih, tetapi membawa lapisan emosi yang lebih halus menusuk kalbu.
Fasa Baharu, Keyakinan Baharu Hafiz Suip

Kemunculan Yang Engkau Mahukan juga hadir dalam waktu yang signifikan buat Hafiz. Penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu baru sahaja mendirikan rumah tangga buat kali kedua pada 13 Februari lalu. Perubahan dalam kehidupan peribadi pastinya memberi warna berbeza kepada perjalanan seninya.
Namun menariknya, Hafiz tidak menjadikan status baharu itu sebagai bahan promosi. Sebaliknya, dia memilih untuk membiarkan karya berbicara setulusnya agar lagu ini tidak dijual atas tiket sensasi semata, tetapi atas nilai kualiti sebenar.
Yang Engkau Mahukan sudah pun tersedia di semua platform digital utama sejak 16 Januari lalu. Namun, tidak sekadar mengejar angka penstriman, apa yang ingin dicapai Hafiz adalah lebih sederhana, agar mesej lagu itu sampai, menyentuh hati dan tersemat dalam jiwa setiap pendengar.
Dan barangkali, itulah sebenarnya yang Hafiz mahukan.