
Bukan semua artis sanggup berkongsi pentas milik mereka, malah jarang sekali artis memutuskan untuk turun padang dan terlibat secara langsung demi ‘bakat muda’.
Namun, itulah yang dilakukan Amir Masdi apabila penyanyi ini begitu ‘humble’ langsung tidak lokek berkongsi pentas bersama Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) — sebuah orkestra sekolah yang kini berada di landasan untuk menempa nama di pentas dunia!
Selepas mencipta kejutan di Vienna dengan merangkul Anugerah Emas World Orchestra Festival 2025, langkah SPWinds tidak terhenti di situ.
Orkestra ini kini sedang giat menuju fasa lebih besar — membina pendedahan profesional, mengasah disiplin persembahan pentas serta menyiapkan fizikal dan mental seorang juara yang bersedia mencabar dunia.
Justeru, di sinilah peranan Amir Masdi menjadi signifikan — bukan sekadar nama besar untuk menarik perhatian, tetapi sebagai pemangkin yang membuka pintu industri kepada generasi pemuzik muda yang sedang dibentuk agar mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah untuk bersaing di peringkat global.
Amir Masdi Pemangkin Inspirasi SPWinds, Dari Vienna ke Pentas Global

Sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa pembangunan bakat murid, SPWinds kini menjalinkan kerjasama strategik bersama Amir Masdi, penyanyi yang dikenali dengan kekuatan vokal, disiplin kerja dan kejujuran seni.
Amir bukan sahaja tampil sebagai artis jemputan, malah memainkan peranan penting dalam menyokong perjalanan seni dan pembelajaran muzik SPWinds secara berperingkat dan berfokus.
Mengulas mengenai penglibatannya, Amir Masdi menyatakan rasa terharu dan bangga dapat berkongsi pentas bersama pemuzik muda yang disifatkannya sebagai penuh disiplin dan dedikasi.
“Saya berbesar hati untuk menganjurkan konsert sulung saya bersama SPWinds.
Dedikasi dan disiplin para pemuzik mudanya amat menginspirasikan, dan saya berharap dapat menyokong perjalanan mereka melalui muzik secara bermakna,” ujarnya.
Menurut perspektif SPWinds, kerjasama ini dilihat sebagai satu nilai tambah yang besar dan amat bermakna buat mereka.
Jelasnya, pendedahan secara langsung kepada dunia muzik profesional memberi peluang kepada murid untuk memahami realiti industri seni secara terus.
Lebih menarik, kolaborasi ini tidak menjejaskan teras utama pendidikan SPWinds. Sebaliknya, ia memperkukuh misi orkestra tersebut dalam menjadikan seni muzik sebagai medium pendidikan berimpak tinggi yang membentuk murid berdaya saing, berkeyakinan dan bersedia untuk mencabar pentas global.
Misi SPWinds Ke Belanda 2026, Disokong Ibu Bapa & Komuniti Dari Akar Umbi

Kerjasama bersama Amir Masdi ini juga dilihat sebagai langkah strategik SPWinds dalam persiapan menghadapi World Music Contest (WMC) 2026 yang dijadualkan berlangsung pada Julai 2026 di Kerkrade, Belanda — satu pertandingan berprestij yang menghimpunkan orkestra terbaik dari seluruh dunia.
Usaha pengumpulan dana bagi menyokong misi antarabangsa ini digerakkan oleh Kumpulan Sokongan Ibu Bapa SPWinds (KSIB) di bawah naungan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Seri Puteri.
Tambahnya, inisiatif ini membuktikan bahawa kejayaan SPWinds bukan dibina secara bersendirian, sebaliknya hasil sokongan padu ekosistem sekolah, ibu bapa dan komuniti.
Presiden KSIB, Shah Rizal Jazib, menegaskan bahawa fokus utama kolaborasi ini adalah kemenjadian murid sebagai teras kejayaan.
“Keutamaan kami adalah kemenjadian murid SPWinds. Kolaborasi ini merupakan satu pencapaian penting buat SPWinds.
Penglibatan Amir Masdi mengukuhkan visi artistik kami dalam persediaan ke arah platform antarabangsa pada masa hadapan, dengan sokongan berterusan daripada ibu bapa dan komuniti melalui KSIB dan PIBG,” jelasnya.
Sebagai sebahagian daripada usaha ini, satu konsert khas akan dianjurkan dan semua hasil kutipan konsert akan disalurkan sepenuhnya kepada SPWinds.
Selain itu, pihak SPWinds turut mengalu-alukan kerjasama sektor swasta, sumbangan individu serta tajaan korporat bagi memastikan misi ke pentas dunia dapat direalisasikan dengan jayanya.
Havox Team difahamkan tiket konsert akan mula dijual pada 30 Januari 2026, menerusi laman web TICKETEMPIRE dengan harga bermula dari RM178 hingga RM378.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Pn. Lina Rashid (019-275 8571) atau Pn. Shahriyah (019-435 2090).
Kolaborasi ini bukan sekadar sebuah konsert, tetapi simbol kepercayaan bahawa seni mampu membentuk masa depan, apabila artis profesional serta bakat muda disatukan di pentas yang sama, lahirlah satu legasi yang berpotensi mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.