
Anda peminat BASS? Siapa sangka, di sebalik wajah manis dan tubuh genit yang sentiasa mencuri perhatian lensa kamera, Bella Astillah sebenarnya sudah pun memasuki usia awal 30-an.
Setiap kali tampil di khalayak, personalitinya yang lembut, kulit yang bersih dan aura remajanya membuat ramai terhenti seketika — betul ke Bella ibu kepada dua cahaya mata atau pelajar universiti yang baru tamat pengajian? Kalau orang kata Bella ini ‘frozen in time’, memang tepat!
Lebih menghiburkan, kehidupan peribadi Bella yang kini semakin stabil dan diambang kebahagiaan, selepas satu episod hitam berakhirnya perkahwinan bersama penyanyi Singapura, turut membuatkan peminat lega dan semakin menyayangi Bella.
Hubungannya dengan Ahli Parlimen Muar, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman — yang menjadi pasangan paling hangat dibicarakan tahun ini, hingga netizen tidak sudah-sudah memadankan mereka.
Malah, julukan “BASS” yang diberikan peminat bukan sekadar suka-suka! Gelaran ini lahir apabila netizen melihat mereka berdua seperti pasangan drama Korea versi Malaysia.
YB Syed Saddiq seorang matang dan berketrampilan, manakala Bella pula seorang yang comel, penuh kelembutan dan mempunyai aura yang menyinar.
Pendek kata, chemistry mereka cukup untuk buat timeline media sosial ‘meletup’ setiap kali muncul video mahupun gambar BASS bersama.
Namun, di balik wajah polos dan senyuman manis itulah, Bella sebenarnya seorang wanita yang cukup berdisiplin dalam menjaga kesihatan, kecantikan dan kestabilan emosi.
Dalam sesi temubual eksklusif bersama Havoxian, Bella menyingkap rahsia tentang apa yang membuatkan dirinya kekal muda, segar dan mempesona—tanpa perlu trik luar biasa atau rahsia mahal.
Cantik Dari Dalam! Bella Pilih Hidup Tenang Bebas ‘Drama’

Ramai beranggapan kecantikan Bella datang dari genetik keluarga semata-mata. Tetapi Bella dengan pantas membetulkan persepsi itu. Katanya, genetik hanya bonus! Paling penting untuk kelihatan cantik adalah cara bagaimana seseorang mampu menjaga kestabilan emosinya.
“Pertama sekali kena kurangkan tekanan. Kita hendak pakai badan ini lama,” ujar Bella dengan nada yang membuat sesiapa pun terasa insaf seketika.
Kata-kata yang mungkin terlihat ringkas, namun mesej yang disampaikan padat dan jelas daripada seseorang yang pernah melalui fasa hidup penuh getir dan mencabar.
Kesannya? Aura baharu Bella kini semakin terpancar — lebih matang, lebih yakin, tetapi tetap dengan kelembutan yang menjadi identitinya sejak dulu. Tidak hairanlah ramai yang berkata, Bella hari ini jauh lebih bersinar daripada Bella yang dahulu.
‘Simple Girl Era’ Tetapi Kecantikan Buah Hati BASS Meletup!

Kalau orang lain sibuk membeli produk kecantikan, Bella pula memilih pendekatan minimalis. Katanya, tubuh hanya perlukan makanan yang baik, masa berkualiti dan rutin hidrasi yang konsisten untuk kekal awet muda.
“Pilih makanan yang menyihatkan. Kalau hendak ‘cheat day’ pun sekali sekala,” katanya.
“Ya, Bella juga manusia. Ada kalanya teringin juga untuk menikmati makanan sedap. Cuma tidak setiap hari,” ujarnya lagi. Disiplin ini yang membuatkan Bella kekal kecil molek dan bertenaga.
Tambah Bella, masa berkualiti bersama anak-anak pula menjadi antara ‘skincare’ paling berkesan buat Bella.
Aktiviti riadah bersama Ayden dan Ara bukan sahaja membuat tubuhnya bergerak, tetapi juga menjadikan jiwanya lebih stabil. Bila hati bahagia, wajah pun berseri—itu mantra Bella.
“Dan satu perkara yang Bella tidak pernah kompromi dalam menjaga kesihatan adalah minum air kosong secukupnya. Kurangkan air bergula atau bersoda,” katanya.
Jelasnya, ini mungkin nasihat paling klise, tetapi Bella telah membuktikan bahawa hidup dengan perkara yang paling asas sebenarnya lebih berkesan.
Bella Pegang Teguh Prinsip Jaga Diri Daripada ‘Mental Breakdown’

Bahagian paling menarik dalam perbualan bersama Bella ialah sikapnya yang semakin tegas dan enggan berkompromi dalam menjaga kesihatan mental.
Bella kini berada dalam fasa hidup di mana dia tidak lagi mahu memberi ruang kepada apa-apa yang mengganggu ketenangannya.
“Kita berhak menghindari diri daripada orang yang membuat mental ‘down’. Itu kebahagiaan kita,” katanya dengan penuh yakin.
Di sinilah ramai peminat melihat evolusi diri Bella. Daripada wanita yang pernah melalui episod getir dalam hidup, kini dia tampil lebih kuat, lebih bijak memilih batas, dan lebih menjaga dirinya sendiri.
Keputusan itu jelas terpancar melalui wajahnya yang semakin tenang—dan refleksi jelas mengapa Bella kelihatan semakin muda.
Dengan kerjaya yang semakin berkembang, hubungan yang stabil dan sokongan peminat yang tidak pernah putus, Bella Astillah terus membuktikan bahawa kecantikan sebenar datang apabila seseorang berani menjaga dirinya sepenuhnya.
Mungkin sebab ini, pesona Bella bukan sahaja berjaya memikat mata, tetapi sekaligus mampu menyentuh banyak hati.