
Ia bukan gosip. Bukan spekulasi. Dan kali ini, bukan lagi teka-teki.
Selepas lama menjadi bualan peminat dan pemerhati industri hiburan Indonesia, teka-teki itu akhirnya terjawab. El Rumi dan Syifa Hadju kini rasmi bertunang, menandakan hubungan mereka melangkah ke fasa paling serius setakat ini.
Malah, detik istimewa tersebut telah berlangsung pada Rabu, 21 Januari 2026, menerusi sebuah majlis tertutup yang hanya dihadiri keluarga serta sahabat terdekat.
Pertunangan kedua public figure ini mencuri perhatian bukan kerana sensasi, tetapi kerana pendekatan pasangan ini yang memilih untuk bergerak dalam sebuah hubungan dua gati yang penuh tenang dan matang.
Tanpa pendedahan berlebihan atau drama media sosial, El dan Syifa mengikat janji secara sederhana namun penuh makna — satu langkah yang jarang dilihat dalam dunia hiburan serba pantas hari ini.
Dari Lamaran ‘Romantis’ Switzerland Kepada Ikatan Pertunangan
Perjalanan cinta pasangan ini mula mencuri tumpuan sejak momen lamaran romantis El Rumi kepada belahan jiwanya di Lauterbrunnen, Switzerland pada 2 Oktober 2025.
Lamaran cukup romantik, berlatarbelakangkan pemandangan keindahan semulajadi Switzerland yang memukau, serta Syifa yang terlihat anggun dalam persalinan gaun minimalis berona putih.
Satu detik indah yang kemudiannya tular, sekaligus menjadi antara momen romantik selebriti paling diingati peminat ‘Elsyifa’ tahun lalu, apabila Syifa Hadju akhirnya menyatakan persetujuan dan ‘Said Yes’ sebgaai tanda menerima lamaran tersebut.
Lamaran itu menjadi isyarat jelas kesediaan El Rumi untuk membawa hubungan hati mereka ke tahap yang lebih serius dan bermakna.
Sepanjang lebih setahun bersama, pasangan ini telah memilih untuk menjaga privasi, namun tetap memperlihatkan keserasian dan sokongan yang stabil antara satu sama lain — cukup untuk membuat peminat ‘approved’ dan terus mengikuti setiap perkembangan hubungan mereka.
Pertunangan Intim El Rumi & Syifa Hadju, Penuh Makna

Majlis pertunangan yang berlangsung di Jakarta diadakan dalam suasana hangat dan elegan, dengan dekorasi bertemakan earth tone yang mencerminkan keperibadian pasangan ini. Syifa tampil anggun dengan busana elegan, manakala El kelihatan segak dalam persalinan sepadan.
Kehadiran keluarga kedua-dua belah pihak serta sahabat terdekat menambahkan suasana penuh emosi dan penuh dengan restu.
Antara yang turut menjadi perhatian ialah cincin pertunangan Syifa, yang dianggarkan bernilai sekitar RM 22,7272 (950 Juta Rupiah). Cincin tersebut dilihat sebagai simbol komitmen, kesungguhan dan keyakinan El terhadap masa depan bersama Syifa sebagai suami isteri.
‘El & Syifa Family’ Persediaan Menuju Alam Perkahwinan

Walaupun pertunangan baru sahaja berlangsung, El Rumi dan Syifa Hadju secara terbuka memberi bayangan bahawa perancangan ke arah perkahwinan sudah mula dibincangkan.
Menerusi saluran YouTube “El & Syifa Family”, pasangan ini berkongsi sedikit sebanyak tentang kehidupan harian serta perancangan masa depan mereka.
Saluran yang dilancarkan pada awal Januari 2026 itu menerima sambutan memberangsangkan dalam tempoh singkat, mencerminkan minat besar peminat terhadap fasa baharu kehidupan mereka.
Pertunangan El Rumi dan Syifa Hadju akhirnya bukan sekadar berita hiburan, tetapi refleksi cinta moden — dibina dengan perancangan, restu keluarga dan kesediaan memikul tanggungjawab bersama.
Dengan berlangsungnya pertunangan ini, tumpuan kini beralih kepada satu persoalan yang semakin kuat berlegar di kalangan peminat — bilakah tarikh keramat penyatuan dua jiwa, pernikahan El Rumi dan Syifa Hadju akan diumumkan?
Sama ada memilih majlis tertutup atau meraikan cinta mereka bersama khalayak, satu perkara pasti: perjalanan pasangan ini masih belum berakhir, dan bab seterusnya pastinya dinanti.
Sekadar recap, El Rumi dan Syifa Hadju membina hubungan mereka dengan cara yang jarang dilihat — tenang, berlapik dan penuh kesabaran. Tanpa perlu sorotan berlebihan, cinta mereka berkembang dari hari ke hari, diperkukuh dengan kepercayaan dan kefahaman.
Dari lamaran romantis di Switzerland hingga detik pertunangan yang diraikan sederhana, setiap langkah terasa jujur dan bermakna.
Kini, dengan ikatan pertunangan yang termeterai, pasangan ini menutup fasa cinta ‘senyap’ dan melangkah ke bab baharu yang lebih matang. Bukan tentang siapa paling menonjol, tetapi tentang memilih satu sama lain, pada waktu yang tepat.