
Ada ketakutan yang datang daripada apa yang kita lihat, namun ada juga ketakutan yang jauh lebih mengganggu kerana ia datang daripada sesuatu yang diwarisi, disimpan dan tidak mampu ditolak.
Itulah pengalaman yang cuba dibawa menerusi filem seram terbaharu, Khadam apabila naskhah arahan Shamyl Othman itu akhirnya dipertontonkan buat pertama kali kepada penggiat industri, selebriti, media dan tetamu jemputan pada Malam Tayangan Perdana yang berlangsung penuh atmosfera malam tadi.
Selepas beberapa minggu mencetuskan rasa ingin tahu menerusi teaser, poster rasmi, treler serta lagu tema Tak Berlagu nyanyian Ernie Zakri, Khadam nyata hadir bukan sekadar mempertaruhkan elemen seram biasa, sebaliknya membawa penonton menyelami persoalan lebih besar tentang keluarga, pengorbanan dan beban sebuah warisan yang tidak pernah diminta.
Reaksi awal selepas tayangan turut memberi bayangan bahawa Khadam mempunyai kekuatan tersendiri apabila ramai tetamu memuji keberanian filem ini menggabungkan elemen seram, psikologi dan drama keluarga dalam satu penceritaan yang lebih matang.
Malah, kekuatan lakonan, rekaan bunyi dan cara filem ini membina ketegangan tanpa terlalu bergantung kepada formula seram konvensional menjadi antara perkara yang mencuri perhatian sepanjang tayangan perdana tersebut.
Malam Gala Khadam Bawa Penonton Masuk Ke Dunia Gelap Penuh Misteri Dan Emosi

Bukan sekadar acara karpet merah, Malam Tayangan Perdana Khadam turut direka bagi membawa tetamu merasai sendiri dunia yang dibina dalam filem tersebut.
Ruang acara dihidupkan dengan reka bentuk bunyi yang menggabungkan elemen hujan, guruh serta lapisan audio menyeramkan bagi mencipta suasana penuh misteri sebelum penonton memasuki pawagam.
Persembahan khas Ernie Zakri menerusi lagu tema rasmi Khadam berjudul Tak Berlagu turut menjadi antara momen yang memberi impak emosi kepada tetamu sebelum menyaksikan kisah Melor di layar besar.
Berlatar tahun 1950 an, Khadam mengikuti perjalanan Melor lakonan bintang Indonesia, Aghniny Haque, seorang ibu yang cuba melindungi keluarganya daripada saka yang diwarisi turun temurun.
Namun semakin kuat Melor cuba mempertahankan insan tersayang, semakin besar harga yang perlu dibayar sehingga dia mula kehilangan kawalan terhadap kehidupannya sendiri.
Menurut pengarah Shamyl Othman, idea utama Khadam hadir daripada keinginannya meneroka sebuah ketakutan yang sangat dekat dengan budaya dan kepercayaan masyarakat Melayu.
“Dalam budaya Melayu, terdapat dua jenis pewarisan, satu berbentuk zahir iaitu pusaka dan satu lagi berbentuk ghaib iaitu saka, satu entiti yang diwarisi turun-temurun dan dipercayai berperanan melindungi serta membantu tuan empunyanya.
“Namun saka yang diwarisi tidak boleh ditolak. Kita sama ada menerimanya dan menjadi tuannya, atau berdepan dengan risiko keluarga diporak-perandakan olehnya,” jelas Shamyl.
Khadam Angkat Kisah Saka Dengan Perspektif Berbeza Dalam Filem Seram Malaysia

Walaupun membawa kisah mengenai saka, Khadam tidak hanya menjadikan entiti ghaib sebagai tarikan utama. Sebaliknya, filem ini menggali persoalan lebih mendalam mengenai pilihan manusia, trauma generasi dan sejauh mana seseorang sanggup berkorban demi keluarga.
Bagi Shamyl, ketakutan sebenar dalam Khadam bukan hanya terletak kepada kewujudan saka, tetapi akibat yang berlaku apabila manusia memilih untuk bersekutu dengan sesuatu yang membawa kemusnahan.
Kekuatan emosi filem ini turut diperkukuhkan menerusi lakon layar Fariza Azlina Isahak yang membina konflik melalui kesunyian, penderitaan dalaman dan perjuangan seorang ibu.
Watak Melor yang kehilangan suara secara fizikal dan simbolik menjadikan visual serta emosi sebagai medium utama untuk membawa penonton memahami kesakitan yang dilalui karakter tersebut.
Selain Aghniny Haque yang membuat penampilan sulung dalam produksi filem Malaysia, Khadam turut menampilkan Datuk Remy Ishak sebagai Awang, selain barisan pelakon hebat termasuk Siti Khadijah Halim, Karl’ El, Zarra Zhaff dan kemunculan istimewa Jun Lojong sebagai Nek Mak.
Gabungan pelakon berpengalaman dan bakat baharu ini menjadikan Khadam sebuah naskhah yang bukan sahaja kuat dari sudut seram, malah memberi ruang kepada setiap karakter untuk meninggalkan kesan tersendiri.
Kenapa Khadam Jadi Filem Wajib Tonton Di Pawagam Tahun Ini?

Bagi Penerbit Eksekutif, Datuk Ahmad Izham Omar, Khadam dibangunkan dengan matlamat menghasilkan sebuah filem Malaysia yang mampu bersaing dari segi kualiti pembikinan tanpa menghilangkan identiti budaya tempatan.
“Kualiti sentiasa menjadi keutamaan kami dalam setiap aspek pembikinan Khadam. Daripada pembangunan skrip, pengarahan, rekaan produksi, muzik, pasca produksi hinggalah pemilihan pelakon, setiap keputusan dibuat dengan teliti bagi memastikan hasil akhirnya memenuhi standard yang kami tetapkan sejak hari pertama.
“Kami mahu menghasilkan sebuah karya yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi mampu meninggalkan kesan yang mendalam kepada penonton serta membuktikan bahawa cerita tempatan juga mempunyai keupayaan untuk dipersembahkan pada tahap yang tinggi,” katanya.
Diterbitkan oleh Red Communications dan Komet Productions, Khadam turut mendapat sentuhan kerjasama serantau bersama Magma Entertainment, VMS Studios Indonesia, Sil Metropole Organisation Ltd Hong Kong, Applause Entertainment India, Primeworks Studios serta Golden Screen Cinemas dengan sokongan FINAS.
Skala kerjasama tersebut membuktikan usaha membawa sebuah kisah yang berakar daripada budaya Melayu ke tahap lebih besar dengan standard produksi yang lebih tinggi.

Melihat kepada reaksi positif selepas malam gala, Khadam bukan sekadar hadir untuk menakutkan penonton di dalam pawagam. Sebaliknya, filem ini membawa sebuah persoalan yang kekal bermain dalam fikiran selepas lampu pawagam menyala semula.
Sejauh mana seseorang sanggup berkorban demi melindungi keluarga sendiri?
Dengan gabungan elemen seram budaya, drama emosi, persembahan lakonan mantap serta produksi berskala besar, Khadam meletakkan dirinya sebagai antara filem tempatan yang wajar diberi perhatian tahun ini.
Untuk pengetahuan Havoxians, Khadam kini menemui penonton di lebih 120 pawagam seluruh negara bermula 11 Jun 2026 menerusi edaran GSC Movies dengan Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran bersama sebelum diperluaskan ke pasaran serantau termasuk Singapura dan Indonesia.