
Stadium Nasional Bukit Jalil bukan sekadar penuh, sebaliknya gegak gempita dengan sorakan peminat yang hadir sebagai tanda sokongan kepada satu-satunya figura ‘Ratu Rock Negara’.
Sebanyak 55,000 jiwa berhimpun pada satu malam yang dikenang sebagai detik paling monumental lakaran sejarah muzik tanah air menerusi “Majlis Tertinggi Rockqueen” (MTR) yang berlangsung baru-baru ini.
Ia bukan sekadar konsert, tetapi sebuah deklarasi agung bahawa takhta Ratu Rock Malaysia kekal teguh dan semakin kukuh meski usia Ella bakal menginjak ke angka 60-an. Namun, pada malam bersejarah itu, Ella tidak hanya menyanyi tetapi berjaya membuktikan sesuatu!
55,000 Jiwa Saksi Satu Deklarasi Cinta Lagenda Rock Tanahair

Suasana stadium berubah dramatik, apabila 30 koir kanak-kanak membuka pentas sebelum kemunculan Ella dengan lagu “Rama Rama”.
Sekaligus Stadium Nasional Bukit Jalil bergema dengan sorakan peminat seakan satu pengisytiharan dan simbolik bahawa Ratu Rock masih teguh memerintah.
Konsert yang berlangsung lebih tiga jam itu menyaksikan 35 lagu dipersembahkan tanpa kompromi tenaga. Deretan karya ikonik seperti “Baldu Biru”, “Dua Insan Bercinta”, “Layar Impian” dan “Peace Love Rindu” bukan sahaja dinyanyikan, tetapi dihidupkan kembali dengan susunan produksi berskala mega.
Kemuncak pada malam itu tidak kurang hebatnya apabila lagu keramat “Standing In The Eyes Of The World”, dinyanyikan beramai-ramai bersama 55,000 penonton dengan iringan piano oleh pencipta asalnya, Dato’ Wah Idris.
Malah, momen ikonik itu menjadi luar biasa apabila Ella mengelilingi stadium menaiki trak, diiringi barisan atlet dunia kebanggaan negara seperti Datuk Nicol David, Ridzuan Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Farah Ann Abdul Hadi.
Ia bukan sekadar persembahan. Ia adalah simbol penyatuan muzik dan semangat kebangsaan Malaysia di persada dunia.
Ella, atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, meluahkan rasa syukur atas sokongan luar biasa tersebut.
“Malam ini bukan tentang saya seorang. Ini tentang kita semua — tentang cinta, tentang rindu yang menyatukan hati.” Dan jelas, mesej itu sampai.
Ikon Rock Rentas Generasi, Tenaga Melangkaui Usia!

Apa yang menjadikan MTR luar biasa bukan hanya pada angka kehadiran, tetapi pada stamina dan karisma seorang legenda yang tidak pernah pudar.
Di usia menginjak 60-an, Ella tampil bertenaga sepanjang 35 lagu — satu pencapaian yang bukan semua artis mampu lakukan. Setiap langkah, setiap nota tinggi, setiap interaksi dengan peminat membuktikan bahawa aura seorang ikon tidak ditentukan oleh angka usia.
Penampilan istimewa Amir Masdi, Sam Bunkface, Tam Spider dan The Boys (Ella & The Boys) menambahkan warna pada malam tersebut. Namun kejutan terbesar pastinya kemunculan Amy Search dan Joe Flizzow yang mencetuskan sorakan luar biasa dan menjadi antara detik paling tular.
Segmen penghormatan khas kepada legenda seperti Datuk Ramli Sarip dan Dato’ M. Nasir pula menghubungkan sejarah dengan masa depan, menerusi satu naratif yang menyentuh hati, sarat makna dan penuh beremosi.
Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal menyifatkan kejayaan ini sebagai hasil dedikasi pasukan dan sokongan tidak berbelah bahagi peminat.
“Apa yang berlaku malam ini membuktikan bahawa legasi Ella bukan sekadar nostalgia, tetapi kekuatan yang masih relevan dan hidup,” katanya.
Tambahnya, MTR bukan sekadar konsert ulang tahun sebaliknya ia adalah peringatan bahawa ikon sejati tidak pernah lapuk ditelan zaman.
Ella Konsisten Guna Platform Hiburan Jadi Wadah ‘Kemanusiaan’

Di sebalik gemerlap produksi dan sorotan lampu, MTR turut membawa misi yang lebih besar. Apabila lebih RM100,000 berjaya dikumpulkan untuk disalurkan kepada pertubuhan kebajikan terpilih, termasuk melalui kerjasama dengan Persatuan Cinta Gaza Malaysia, Yayasan Kebajikan Negara dan Yayasan Kebajikan Artis Tanahair.
Ini selari dengan semangat solidariti dan kemanusiaan yang menjadi teras “Peace, Love & Rindu”, bukan sekadar dirasai, tetapi diterjemahkan dalam bentuk tindakan.
Selain itu, sokongan padu turut hadir daripada pelbagai rakan strategik industri seperti Perbadanan Stadium Malaysia, Era FM, Sinar FM, Mix FM, Lite FM, Gegar FM, Astro Gempak, Meletop, Hlive serta Visit Malaysia 2026.
Sinergi ini menjadikan MTR sebuah produksi mega yang benar-benar menyatukan ekosistem industri hiburan tanah air.
Gelombang “Majlis Tertinggi Rockqueen” tidak berhenti di sini. Konsert ini bakal diteruskan ke Singapura pada 9 Mei 2026 di The Star Theatre membawa bersama semangat yang lebih membara ke pentas Antarabangsa.
Jika Bukit Jalil menjadi saksi sejarah, Singapura pula bakal menyaksikan bagaimana sebuah legasi terus menyala tanpa tanda akan padam.