
Malik Choo Temui Evolusi Baharu Menerusi ‘Move On’
Penyanyi yang sedang meningkat naik, Malik Choo, mengakui single terbaharunya berjudul ‘Move On’ lahir daripada pengalaman peribadi yang sukar dilupakan. Karya ini bukan sekadar lagu, sebaliknya menjadi cerminan emosi serta refleksi perjalanan kariernya sebagai seorang anak seni.
Menurut Malik, menerusi single ketiganya ini, dia mahu tampil dengan sisi berbeza berbanding dua single terdahulu, ‘Suka Kamu’ dan ‘Apa Saja’. Jika sebelum ini Malik sinonim dengan imej cute dan lovey-dovey, ‘Move On’ memperlihatkan keberaniannya membawa emosi yang lebih sarat, berat dan matang kepada peminat.
“Move On ni dah tak ada lovey-dovey, dah tak comel. Sekarang dia jadi lebih agresif. Ini juga lagu pertama saya yang ada koreografi, jadi itu perbezaan utama berbanding dua single sebelum ini,” jelas Malik.
Ketika ditemu bual secara eksklusif bersama Havox, Malik mendedahkan bahawa ‘Move On’ merupakan satu turning point penting yang bukan sahaja melibatkan kehidupan peribadi, malah perkembangan kariernya sebagai seorang artis.
“Pernah juga ada satu hubungan peribadi yang saya rasa semua orang pernah alami, di mana kita jumpa seseorang yang beri kesan sangat mendalam sampai susah untuk ‘move on’ dan lepaskan untuk satu jangka masa dalam hidup,” kongsinya jujur.
Tambah Malik, konsep ‘move on’ yang dibawa tidak terhenti setakat kisah percintaan semata-mata.
“Move On bukan hanya tentang kehidupan peribadi saya, tapi juga refleksi kepada perkembangan karier. Dengan unsur itu dan beberapa elemen lain, kami cuba hasilkan sesuatu yang berbeza supaya Malik Choo boleh keluar daripada sisi cute dan lovey-dovey. Lagu ini diharapkan jadi satu kejutan buat peminat.”
Kerjasama Bersama Altimet Perkukuh Keyakinan

Dalam temu bual sama, Malik turut berkongsi keselesaan bekerjasama dengan legenda rap tanah air, Altimet, yang disifatkannya sebagai seorang mentor berpengalaman. Menurut Malik, hubungan kerja mereka bermula secara santai sebelum berkembang menerusi lagu ‘Kita Jaga Kita’.
Kerjasama tersebut bukan sahaja membina keyakinan, malah membuka ruang untuk Malik terus selesa bekerjasama dengan Altimet dalam beberapa single seterusnya termasuk ‘Move On’.
Keluar Zon Selesa, Berserah Dengan ‘Move On’

Menerusi ‘Move On’, Malik turut mencabar diri untuk keluar dari zon selesa dengan membawakan genre R&B yang lebih agresif, berbeza daripada lagu-lagu berentak manis, cinta dan manja sebelum ini.
“Kita nak cuba move kepada genre yang lebih agresif. Mana tahu Malik boleh bawa dan kita tengok hasilnya macam mana. Pada masa hadapan, mungkin akan ada genre lain untuk saya explore dan keluar dari zon selesa,” jelasnya.
Selepas memberikan sepenuh komitmen terhadap karya yang sangat dekat dengan dirinya itu, Malik mengakui kini hanya mampu berserah agar ‘Move On’ mendapat tempat istimewa di hati peminat.
“Bahagian paling dekat dengan saya ialah pre-korus ‘Mungkin ada hari ada pengganti…’ yang memberi perasaan sangat berserah. Itu memang luahan hati saya, di mana saya rasa sudah berusaha dan kini hanya berserah.”
Malik berharap lagu ini mampu menyentuh jiwa pendengar dan membuatkan mereka dapat relate dengan maksud di sebalik ‘Move On’, sambil menegaskan bahawa setiap pendengar bebas mentafsir lagu tersebut berdasarkan pengalaman masing-masing.
Konsisten Berkarya Dalam Dunia Digital

Konsep ‘move on’ yang diketengahkan menerusi single ini turut mencerminkan cabaran Malik sebagai seorang pengkarya dalam era digital. Berkongsi pandangannya mengenai dunia penciptaan kandungan, Malik menekankan kepentingan disiplin dan konsistensi walaupun berdepan hari yang mencabar.
Menurutnya, sesiapa yang memilih jalan sebagai pencipta konten atau seni perlu memberikan komitmen sepenuhnya tanpa terlalu bergantung kepada mood semata-mata. Pendekatan ini selari dengan mesej ‘Move On’ yang menggalakkan keberanian untuk terus bergerak ke hadapan tanpa menoleh ke belakang.
Sebagai penutup sesi one-to-one bersama Havox, Malik Choo turut menyanyikan petikan lagu ‘Move On’ secara live, sekali gus memperlihatkan semangat dan komitmen baharu yang dibawanya untuk tahun mendatang.
Untuk rekod, Malik Choo merupakan penyanyi rap tri-bahasa tanah air yang fasih berbahasa Cina, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Berasal dari Kuala Lumpur, Malik memulakan karier sebagai DJ sebelum aktif menyanyi di platform digital.
Di bawah bimbingan Altimet serta naungan SVLTAN Management dengan kerjasama Sony Music Entertainment Malaysia, Malik kini mengukuhkan identitinya sebagai penyanyi solo menerusi tiga single sepanjang 2025.