
Ada satu fasa dalam hidup apabila kita mula sedar, sebanyak mana pun usaha dicurahkan, masih ada orang yang memilih untuk tidak menghargainya.
Lebih menyakitkan apabila segala kesetiaan yang diberikan akhirnya dibalas dengan kekecewaan, pengkhianatan dan sebuah hubungan yang membuatkan diri sendiri mempersoalkan sama ada kita sebenarnya pernah menjadi yang terbaik atau tidak.
Namun, bagi Lil J, patah hati tidak semestinya berakhir dengan tangisan. Sebaliknya, diharungi dengan gelak tawa, ambil pengajaran dan teruskan sahaja kehidupan daripada terus meratapi nasib, Lil J memilih untuk melihat situasi tersebut daripada sudut yang lebih ringan.
Pendekatan itulah yang dibawa artis hip-hop berbilang bahasa tersebut menerusi single terbaharunya, “Senjittah”.
Menariknya, lagu ini tidak hadir sebagai sebuah karya perpisahan yang tenggelam dalam kesedihan, sebaliknya mengubah pengalaman pahit dalam hubungan menjadi sebuah kisah yang santai, lucu, berani dan penuh tenaga.
Lil J Ubah Persepsi ‘Patah Hati’ Menerusi Sebuah Lagu Sindiran Yang Menghiburkan

Menurut Lil J, pengalaman patah hati merupakan sesuatu yang boleh difahami oleh ramai orang, tetapi cara seseorang menghadapinya tidak semestinya sama.
Menerusi “Senjittah”, Lil J memilih jalan yang sedikit berbeza dengan menyelitkan unsur humor dalam kisah yang pada asalnya cukup serius.
“Patah hati ialah pengalaman yang dilalui ramai orang, dan selalunya kita hanya mendengar tentang betapa peritnya pengalaman itu. Saya mahu melihatnya daripada sudut yang berbeza.
Ada kalanya, kita perlu menoleh ke belakang, mentertawakan apa yang berlaku, mengambil pengajaran daripadanya dan terus melangkah. Itulah idea utama di sebalik ‘Senjittah’,” kata Lil J.
Pendekatan tersebut menjadikan lagu ini lebih daripada sekadar kisah tentang hubungan yang berakhir. Ia turut menyentuh tentang keberanian untuk mengenali tanda tanda amaran dalam sesebuah hubungan sebelum seseorang terlalu jauh mengorbankan masa, tenaga dan kebahagiaan diri.
Lebih penting, mesej yang cuba diketengahkan Lil J bukan tentang membenci bekas pasangan, tetapi tentang belajar menghargai diri sendiri.
“Kita perlu cukup menyayangi diri sendiri untuk mengetahui bila tiba masanya untuk pergi. Kita tidak seharusnya mengorbankan kebahagiaan, masa dan tenaga demi seseorang yang tidak menghargai kita.
Ia mungkin sukar, tetapi kita perlu mengenali petandanya dan mula memandang ke hadapan,” jelasnya.
Konsep lagu ini dibangunkan oleh Lil J bersama DJ Biggie, manakala produksinya diterajui DJ Biggie dan DJ Freazz.
Gabungan idea dan produksi tersebut kemudian membentuk sebuah karya yang sengaja diletakkan dalam suasana lebih rancak supaya isu kecurangan tidak disampaikan dengan nada terlalu berat.
“Sebaik sahaja mendengar rentaknya, saya tahu kami perlu menghasilkan sesuatu yang berbeza. DJ Biggie mencadangkan supaya kami mengangkat tema patah hati, tetapi menyampaikannya dengan cara yang lucu.
Pendekatan itu terasa segar dan memberi ruang kepada kami untuk mengubah pengalaman yang sukar menjadi sesuatu yang menghiburkan serta positif,” katanya.
Senjittah Album Tamil Pertama Lil J, Sarat Gabungan Bahasa Dan Budaya

Di sebalik kisah patah hati yang menjadi nadi “Senjittah”, single ini sebenarnya membawa makna yang lebih besar dalam perjalanan seni Lil J.
Lagu tersebut merupakan single pertama daripada album Tamil sulungnya yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. Projek berkenaan menjadi ruang buat Lil J kembali mendekati akar budayanya, selain meneroka bunyi dan penceritaan yang berbeza daripada karya terdahulu.
Bahasa Tamil akan menjadi teras utama album tersebut, namun Lil J tidak mengetepikan elemen bahasa Inggeris. Beberapa lagu bakal menampilkan gabungan kedua dua bahasa, sekali gus mencerminkan identitinya sebagai artis hip-hop berbilang bahasa.
Bagi Lil J, penggunaan lebih daripada satu bahasa dalam muzik bukan sekadar percubaan untuk menghasilkan sesuatu yang berbeza. Ia merupakan sebahagian daripada identiti dirinya dan cara beliau melihat hip-hop sebagai sebuah genre yang mampu merapatkan jurang antara masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
“Saya sangat teruja kerana ini merupakan album Tamil pertama saya. ‘Senjittah’ ialah pengenalan pertama kepada perjalanan tersebut.
Album ini akan menampilkan gabungan bahasa Tamil dan Inggeris kerana pada pandangan saya, percampuran bahasa menjadikan muzik lebih menarik dan mencerminkan semangat kepelbagaian budaya dalam hip-hop,” katanya.
Menariknya, tumpuan Lil J terhadap album Tamil tidak bermakna perjalanan muziknya dalam bahasa Melayu dan Inggeris akan terhenti.
Sebaliknya, artis tersebut masih mahu menghasilkan karya dalam ketiga tiga bahasa dan terus membuka ruang untuk bekerjasama dengan lebih ramai artis daripada latar belakang berbeza.
“Walaupun sedang mengusahakan album Tamil, saya tetap mendapati diri saya menulis lagu lagu Melayu secara semula jadi.
Saya ingin menghasilkan lebih banyak muzik berbahasa Melayu dan bekerjasama dengan artis-artis Melayu pada masa hadapan. Saya tidak mahu mengehadkan diri kepada satu bahasa atau satu jenis muzik sahaja,” ujarnya.
Keterbukaan itu memberikan gambaran bahawa Lil J tidak melihat bahasa sebagai batasan dalam penghasilan muzik. Sebaliknya, kepelbagaian bahasa menjadi sebahagian daripada kekuatan yang boleh membentuk identiti muziknya sendiri.
Lil J Janji Lebih Banyak Bunyi Segar Menerusi Album Tamil dan Terus Berkarya Dalam Tiga Bahasa

Jika “Senjittah” menjadi pintu pertama kepada album berkenaan, pendengar nampaknya boleh menjangkakan lebih banyak sisi berbeza daripada Lil J menerusi karya seterusnya.
Album tersebut dirancang untuk meneroka pelbagai emosi, suasana dan gaya muzik. Selepas memperkenalkan projek menerusi kisah patah hati yang disampaikan dengan humor, Lil J mahu memberikan gambaran lebih luas tentang kemampuan seninya menerusi lagu-lagu yang bakal menyusul.
Single kedua juga kini dalam pembikinan dan dijangka menawarkan sesuatu yang segar serta berbeza.
Dalam masa sama, Lil J turut terbuka untuk mengembangkan “Senjittah” menerusi versi remix atau alternatif. Walaupun belum ada perancangan rasmi berkaitan perkara tersebut, idea itu menunjukkan masih terdapat ruang untuk lagu berkenaan berkembang selepas pelancarannya.
Apa yang lebih menarik ialah fokus Lil J kini bukan semata mata untuk mengeluarkan lebih banyak lagu, tetapi membina sebuah katalog muzik yang benar benar mencerminkan siapa dirinya sebagai seorang artis.
“Saya tidak mahu mengehadkan diri kepada satu bahasa atau satu jenis muzik sahaja,” katanya.
Bagi Havoxians yang pernah berada dalam hubungan yang membuatkan mereka rasa tidak cukup, “Senjittah” mungkin hadir sebagai satu peringatan bahawa meninggalkan sesuatu yang tidak lagi membawa kebahagiaan bukan bermakna kalah.
Single terbaharu Lil J, “Senjittah”, kini boleh didengarkan di semua platform penstriman sebagai pembuka kepada perjalanan album Tamil pertamanya yang bakal menampilkan gabungan bahasa Tamil dan Inggeris, selain meneruskan eksplorasi muziknya dalam bahasa Melayu.