
Dalam dunia ‘pre wedding’ melibatkan trend setter iaitu selebriti yang semakin dihujani konsep moden dan minimalis, langkah berani diambil Jennifer Coppen dan Justin Hubner untuk tampil berbeza hingga mencuri perhatian ramai. Bukan sekadar cantik di mata, malah cukup kuat untuk membuatkan netizen terpukau dengan pesona merpati dua sejoli dalam balutan busana tradisional.
Apabila foto-foto tersebut dikongsi Jennifer menerusi laman Instagram miliknya hari ini, perhatian tidak hanya tertumpu kepada kemesraan mereka, tetapi juga kepada pemilihan konsep tradisional Jawa yang semakin jarang diketengahkan oleh pasangan muda masa kini. Dalam arus visual moden yang serba ringkas, pendekatan ini hadir sebagai satu pernyataan berani yang tidak semua berani lakukan.
Lebih menarik, sesi ini bukan sekadar soal estetika semata mata. Ia hadir sebagai kesinambungan kepada pertunangan rasmi mereka pada penghujung tahun lalu, sekali gus memberi bayangan bahawa hubungan ini sedang menuju ke fasa yang lebih serius. Apa yang sebelum ini sekadar spekulasi kini dilihat semakin menghampiri realiti.
Namun begitu, kekuatan sebenar sesi pre wedding ini bukan hanya terletak pada visualnya yang memukau, tetapi juga pada aura yang dibawa oleh kedua dua mereka yang tampak tenang, matang dan penuh makna. Setiap potret seolah olah merakam lebih daripada sekadar gambar, tetapi sebuah perjalanan emosi yang membawa mereka hingga ke titik ini.
Pre Wedding Adat Jawa Jennifer Coppen Tampil Elegan dan Berkelas

Jennifer tampil anggun dalam persalinan kebaya hitam yang dihiasi sulaman emas mewah, dipadankan dengan kain batik yang melengkapkan keseluruhan penampilan klasiknya. Solekan wajah yang tegas serta sanggul berhias melati memberikan sentuhan autentik pengantin Jawa, manakala paes di dahi dan aksesori emas menyerlahkan elemen tradisi yang cukup kuat.
Di sisi lain, Justin Hubner membuktikan bahawa elemen budaya boleh disatukan dengan gaya moden tanpa kelihatan janggal. Pemain pertahanan pasukan kebangsaan Indonesia ini mengenakan sut hitam lengkap bersama kemeja putih dan bow tie, namun masih mengekalkan identiti tradisional melalui pemakaian kain batik serta blangkon.
Gabungan dua gaya ini bukan sahaja mencipta keseimbangan visual, malah memperlihatkan keserasian mereka sebagai pasangan berbeza latar tetapi bertemu pada nilai yang sama.
Pre Wedding Jennifer Coppen dan Justin Hubner Sarat Dengan Emosi

Lebih daripada sekadar busana, suasana keseluruhan sesi fotografi ini turut memainkan peranan penting dalam menghidupkan naratif cinta mereka. Latar dekorasi etnik dengan ukiran kayu artistik, pencahayaan hangat serta elemen flora di sekeliling memberikan nuansa intim yang cukup terasa.
Lampu gantung berona keemasan menambah lagi sentuhan romantis, menjadikan setiap potret seolah olah bercerita tanpa perlu banyak kata. Ia bukan sekadar gambar tetapi momen yang hidup.
Dalam salah satu kapsyen yang dikongsikan, Jennifer turut meluahkan rasa syukur atas perjalanan hidupnya yang penuh liku sebelum ini. Luahan tersebut menyentuh hati ramai apabila dia mengakui akhirnya diberi peluang untuk kembali merasai kebahagiaan.
Pre Wedding Jennifer Coppen & Justin Hubner Jadi Bualan Waganet

Seperti dijangka, perkongsian tersebut terus menjadi bualan hangat di media sosial. Ramai yang memuji keberanian pasangan ini memilih konsep tradisional di saat kebanyakan selebriti cenderung kepada tema moden atau kontemporari.
Ruangan komen dibanjiri dengan reaksi positif daripada pujian terhadap kecantikan Jennifer hinggalah kepada aura maskulin Justin yang dianggap cukup sesuai dengan konsep tersebut.
Ada yang menyifatkan kombinasi mereka sebagai terlalu sempurna, malah tidak kurang juga yang secara berseloroh meluahkan rasa cemburu melihat kebahagiaan yang dipamerkan.
Walaupun begitu, sehingga kini kedua duanya masih belum mendedahkan tarikh rasmi perkahwinan mereka. Namun, sesi pre wedding ini jelas menjadi petunjuk kuat bahawa mereka sedang melangkah ke fasa yang lebih serius dalam hubungan tersebut.

Di sebalik momen indah ini, perjalanan hidup Jennifer Coppen sebenarnya bukanlah mudah. Sebelum ini, beliau pernah mendirikan rumah tangga bersama suaminya, Dali Wassink, namun takdir memisahkan mereka apabila Dali meninggal dunia, meninggalkan Jennifer sebagai ibu muda. Hasil perkahwinan tersebut, Jennifer dikurniakan seorang anak perempuan bernama Kamari yang kini menjadi sumber kekuatan utamanya.
Dari fasa kehilangan yang cukup berat kepada peluang kedua untuk bahagia, perjalanan ini menjadikan setiap detik yang dilalui bersama Justin Hubner terasa lebih bermakna bukan sekadar kisah cinta baharu tetapi tentang keberanian untuk membuka hati sekali lagi.