
Ketika ramai menyangka Mila Jirin sudah meninggalkan dunia nyanyian buat selama-lamanya, hakikatnya ada satu impian yang tidak pernah padam walaupun terpaksa disimpan lebih sedekad. Di sebalik kejayaan membina Bizmilla sehingga menjadi antara nama terbesar dalam industri perkahwinan dan hospitaliti negara, penyanyi yang mencipta nama menerusi Akademi Fantasia Musim Kelima itu sebenarnya masih memikul satu kerinduan yang tidak pernah terluah kepada peminat.
Selama bertahun-tahun, namanya lebih sinonim sebagai usahawan berjaya berbanding penyanyi. Di saat orang ramai melihat kejayaan yang dikecapi, hanya Mila sendiri mengetahui bahawa impian untuk kembali ke studio rakaman hampir terkubur dek tanggungjawab sebagai isteri, ibu serta ketua syarikat yang perlu memastikan ratusan kakitangannya terus mempunyai sumber rezeki.
Namun, setiap impian ada waktunya sendiri, selepas lebih sepuluh tahun menunggu detik yang dirasakan tepat, Mila akhirnya memilih untuk membuka semula lembaran yang pernah mengangkat namanya dalam industri muzik menerusi single terbaharu berjudul Tersimpan Dalam Hati, sebuah karya yang bukan sekadar menandakan kemunculan semula, malah menjadi cerminan perjalanan hidup, pengorbanan dan harapan yang dipendam selama ini.
Mila Jirin Akui Impian Kembali Menyanyi Hampir Terkubur

Ramai mengenali Mila sebagai figura yang berjaya mengembangkan Bizmilla daripada sebuah impian kecil sehingga menjadi jenama yang telah mengendalikan lebih 10,000 majlis dan meraikan lebih 10 juta tetamu di seluruh negara.
Namun, perjalanan itu bukanlah semudah yang disangka, beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan industri acara dan hospitaliti berdepan pelbagai cabaran ekonomi yang memberi kesan besar kepada operasi syarikat. Dalam situasi tersebut, Mila terpaksa meletakkan tanggungjawab terhadap perniagaan dan pekerjanya sebagai keutamaan.
Di sebalik kesibukan itu, hasrat untuk kembali berkarya hampir terhenti.
“Ada ketika saya sendiri tertanya-tanya, sama ada impian untuk kembali menyanyi masih ada ruang dalam hidup saya.
Tetapi saya percaya, jika sesuatu impian itu benar-benar ikhlas, Allah akan menemukan jalannya pada waktu yang paling tepat,” luahnya.
Walaupun jadual perniagaannya semakin padat dari tahun ke tahun, keinginan untuk kembali berdiri sebagai anak seni tidak pernah padam.
Sebaliknya, impian tersebut terus hidup dalam diam, menunggu masa yang sesuai untuk direalisasikan.
Menurut Mila, Tersimpan Dalam Hati bukan sekadar sebuah lagu cinta, tetapi sebuah refleksi terhadap perjalanan hidupnya sebagai usahawan, isteri, ibu dan penyanyi yang masih menyimpan kecintaan mendalam terhadap dunia muzik.
Kolaborasi Malaysia dan Indonesia Jadi Taruhan ‘Comeback’ Mila Jirin

Bagi memastikan kemunculan semulanya meninggalkan impak yang besar, Mila memilih untuk menjalani keseluruhan proses rakaman di Jakarta bersama komposer Indonesia, Ilham Baso.
Single tersebut turut diedarkan secara digital menerusi Nova Music, sekali gus menghimpunkan tenaga kreatif dari Malaysia dan Indonesia dalam menghasilkan sebuah karya yang diharapkan mampu menyentuh hati pendengar di kedua dua negara.
Bukan sekadar memberi fokus kepada lagu, video muzik rasmi Tersimpan Dalam Hati turut menjalani penggambaran di luar kota Jakarta di bawah arahan pengarah Indonesia, Wahyu Taufani Prialangga.
Menariknya, Mila sendiri terlibat secara langsung dalam pembangunan idea dan konsep penceritaan video muzik berkenaan bagi memastikan setiap visual yang dipaparkan benar benar menggambarkan perjalanan emosinya sepanjang lebih sedekad meninggalkan dunia rakaman.
Menurut Mila, kemunculan semula ini hadir pada waktu yang dirasakan paling sesuai dalam kehidupannya.

“Ramai mengenali saya sebagai usahawan. Tetapi jauh di sudut hati, saya masih seorang penyanyi. Dunia muzik adalah tempat saya bermula.
Saya percaya sudah tiba masanya untuk kembali berkongsi karya dengan para peminat,” katanya.
Beliau percaya setiap insan mempunyai kisah yang disimpan jauh di sudut hati dan lagu ini dihasilkan untuk meraikan perasaan tersebut.
“Saya percaya setiap orang pernah menyimpan sesuatu dalam hati. Ada yang menyimpan cinta. Ada yang menyimpan impian. Ada yang menyimpan luka. Lagu ini saya dedikasikan kepada mereka yang masih percaya bahawa impian tidak pernah mempunyai tarikh luput,” ujarnya.
Album Baharu Bakal Menyusul Selepas Single Tersimpan Dalam Hati

Kemunculan semula ini bukanlah projek sekali lalu. Sebaliknya, Tersimpan Dalam Hati menjadi pembuka kepada siri comeback Mila yang akan diteruskan menerusi beberapa karya baharu hasil kerjasama bersama komposer terkenal dari Malaysia dan Indonesia.
Dalam masa sama, beliau turut mengesahkan sedang menyiapkan sebuah album penuh yang diterbitkan sepenuhnya oleh suaminya, Ailis Mustapha menerusi Bizmedia Marketing.
Album tersebut dijangka menghimpunkan karya daripada beberapa komposer hebat dari kedua dua negara dan disasarkan untuk dilancarkan pada penghujung tahun 2026.
Perkembangan itu memberi isyarat bahawa Mila bukan sekadar ingin mengubat kerinduan peminat terhadap suaranya, malah mahu membina semula perjalanan seninya dengan lebih matang serta dipenuhi pengalaman hidup yang dilalui sepanjang lebih sedekad.
Selepas melalui pelbagai fasa sebagai usahawan dan anak seni, Mila membuktikan bahawa kejayaan dalam satu bidang tidak pernah memadamkan impian dalam bidang yang lain. Sebaliknya, pengalaman hidup itulah yang menjadikan setiap karya lebih bermakna dan dekat dengan hati pendengar.
Single Tersimpan Dalam Hati kini sudah boleh dinikmati Havoxians di semua platform penstriman digital, manakala video muzik rasminya turut boleh ditonton menerusi saluran YouTube Nova Music.