
Perayaan Aidilfitri hampir tiba dan seperti biasa, industri muzik tempatan kembali meriah dengan kemunculan pelbagai lagu Raya baharu. Namun dalam lambakan karya yang muncul saban tahun, tidak semua mampu meninggalkan kesan yang mendalam hingga melekat di hati pendengar.
Tahun ini, penyanyi dan pelakon popular Bella Astillah tampil memeriahkan suasana perayaan menerusi single Raya terbaharunya berjudul “Ya Raya”. Menariknya, lagu ini bukan sekadar karya muzik sempena Aidilfitri, malah turut hadir bersama kolaborasi gaya hidup dengan jenama tempatan, Fipper.
Pendekatan ini menjadikan “Ya Raya” lebih daripada sekadar lagu perayaan. Ia menggambarkan pengalaman Raya yang dekat dengan kehidupan masyarakat Malaysia daripada perjalanan pulang ke kampung, momen berkumpul bersama keluarga sehinggalah detik santai bersama insan tersayang.
Dalam kata lain, “Ya Raya” cuba merakam suasana Aidilfitri yang sederhana tetapi penuh makna.
Demo “Ya Raya” Buat Bella Jatuh Cinta Kali Pertama
Menurut Bella Astillah, dia terus tertarik dengan lagu tersebut sebaik sahaja mendengar demo yang diberikan kepadanya buat pertama kali.
“Bila pertama kali dengar demo Ya Raya saya terus rasa dia sangat positif dan menggambarkan suasana Raya yang saya sendiri rasa. Setiap tahun kita beraya dalam suasana berbeza, kadang di kampung, kadang di bandar.
Lagu ni rasa lebih ringan, penuh kesyukuran dan nak meraikan masa bersama keluarga dan kawan-kawan,” katanya.
Lagu ini ditulis oleh Rudeen, digubah oleh Rudeen bersama Exactesy. Susunan muziknya menggabungkan elemen moden dan tradisional, sekali gus menghasilkan sebuah karya yang segar namun masih mengekalkan jiwa muzik Raya yang dekat di hati pendengar.
“Ya Raya” Gabungan Elemen Moden Dan Tradisional

Salah satu kekuatan utama “Ya Raya” terletak pada keseimbangan antara elemen klasik lagu Raya dan sentuhan muzik kontemporari yang lebih segar.
Walaupun mengekalkan elemen tradisional yang sinonim dengan lagu perayaan, susunan muziknya disesuaikan dengan citarasa pendengar masa kini. Pendekatan ini menjadikan lagu tersebut mudah diterima oleh generasi muda tanpa menghilangkan identiti muzik Raya yang sudah lama menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Malaysia.
Bella sendiri mengakui gabungan tersebut merupakan antara elemen yang membuatkan lagu ini terasa istimewa.
“Saya rasa Ya Raya ada gabungan elemen moden dan tradisional. Masih ada rasa Raya yang kita kenal tapi dengan susunan muzik yang lebih fresh dan sesuai dengan pendengar sekarang.
Lagu ni lebih kepada vibe meraikan momen kecil bersama orang tersayang,” ujarnya.
Walaupun kedengaran ceria dan penuh tenaga, proses rakaman lagu ini sebenarnya hadir dengan cabaran tersendiri buat Bella.
“Cabaran utama masa rakaman adalah nak kekalkan tenaga dan keceriaan dalam vokal tanpa kedengaran dibuat buat, sebab masa recording Bella sebenarnya demam dan kurang sihat.
Tapi Bella paling enjoy part chorus sebab sangat catchy. Dalam studio pun semua orang ikut nyanyi sekali,” jelasnya.
Situasi tersebut bagaimanapun tidak menghalang Bella untuk memberikan persembahan vokal terbaik bagi memastikan emosi lagu ini sampai kepada pendengar.
Kolaborasi Bella Astillah Dan Fipper Angkat Raya Sebagai Gaya Hidup

Selain kekuatan muziknya, pelancaran “Ya Raya” turut menarik perhatian apabila digabungkan dengan kolaborasi bersama jenama selipar tempatan, Fipper.
Kerjasama ini memperluaskan mesej lagu daripada sekadar karya hiburan kepada naratif gaya hidup yang dekat dengan suasana Aidilfitri.
Menurut Bella, kolaborasi tersebut mencerminkan realiti masyarakat Malaysia ketika musim perayaan.
“Bagi saya Raya bukan sekadar muzik atau fashion sahaja, tapi keseluruhan gaya hidup, cara kita berjumpa orang, menikmati perjalanan balik kampung.
Kolaborasi dengan Fipper sangat seronok kerana ia melambangkan keselesaan dan gaya santai Raya,” katanya.
Pendekatan ini menjadikan kempen “Ya Raya” terasa lebih semula jadi. Muzik berfungsi sebagai elemen emosi, manakala gaya hidup melengkapkan pengalaman yang ingin disampaikan kepada peminat.

Menurut wakil Fipper, pemilihan Bella Astillah sebagai wajah kolaborasi ini dibuat kerana imejnya yang positif serta dekat dengan masyarakat pelbagai lapisan umur.
Nilai tersebut selari dengan identiti jenama berkenaan yang menekankan keselesaan, keaslian serta gaya hidup rakyat tempatan.
Bagi Fipper sendiri, projek ini juga memperlihatkan evolusinya daripada sekadar jenama selipar kepada jenama gaya hidup yang hadir dalam perjalanan harian serta momen istimewa pengguna termasuk ketika musim perayaan.
Bagi Bella, harapannya cukup sederhana. Beliau berharap “Ya Raya” dapat menjadi lagu yang menemani detik bermakna setiap kali Aidilfitri menjelma.
“Mesej paling simple adalah untuk hargai masa bersama orang yang kita sayang. Raya datang setahun sekali, jadi gunakan masa ni untuk memaafkan, bersyukur dan cipta kenangan indah,” tambah Bella.
Single “Ya Raya” kini boleh didengari di semua platform penstriman digital sejak 13 Februari 2026 sepanjang hari raya.