
Di sebalik perjalanan tiga dekad, ada harga yang dibayar untuk terus bertahan. Ungu sebaliknya memilih untuk meraikan perjalanan itu dengan sebuah konsert istimewa di Kuala Lumpur, satu malam yang dijangka menjadi simbol penghargaan buat peminat yang setia bersama mereka sejak awal.
Menerusi “Ungu 3 Dasawarsa Special Night in Kuala Lumpur”, penonton bukan sekadar bakal disajikan dengan deretan lagu yang membawa nama band ikonik Indonesia itu gah hingga ke Malaysia, tetapi sebuah pengalaman yang merakam jatuh bangun, evolusi dan persaudaraan yang menjadi nadi kekuatan mereka selama 30 tahun. Dalam erti lain, ini bukan hanya konsert, tetapi sebuah keraian terhadap legasi yang dibina.
Lebih menarik, pemilihan Kuala Lumpur sebagai lokasi sambutan ulang tahun ke-30 ini menimbulkan persoalan besar, mengapa Malaysia dipilih untuk momen sepenting ini dan apakah kejutan yang sedang dirancang Ungu untuk malam bersejarah tersebut. Artis jemputan istimewa dan pengalaman luar biasa yang dijanjikan, malam ini berpotensi menjadi antara persembahan paling emosional dalam sejarah Ungu.
Ungu 3 Dasawarsa, Sebuah Dokumentasi Perjalanan Tiga Dekad

Konsert ini dirangka sebagai sebuah dokumentasi hidup yang merakam perjalanan seni Ungu dari era awal penubuhan sehingga menjadi nama besar serantau.
Malah, ia bukan sekadar mengimbau nostalgia, tetapi memberi penonton peluang menyaksikan bagaimana sebuah band berkembang, bertahan dan terus relevan menongkah zaman.
Menurut Pengarah Konsert, Zairul Addry Helmy, konsert ini lahir daripada hasrat untuk mengabadikan hubungan erat antara Ungu dan peminat Malaysia.
“Konsert ini diadakan sempena ulang tahun ke-30 Ungu, dengan objektif utama untuk meraikan peminat setia mereka di Malaysia.
Dalam tempoh dua jam, Ungu akan mempersembahkan himpunan lagu terbaik mereka. Ini bukan sekadar sebuah konsert, tetapi satu dokumentasi perjalanan seni Ungu sepanjang tiga dekad,” katanya.
Tambahnya lagi, naratif itu bakal diterjemahkan menerusi tiga segmen utama iaitu The Birth, The Peak dan The Legacy.
Selain itu, setiap segmen bakal membawa penonton menyelusuri fasa penting perjalanan mereka, bermula dengan era pembentukan identiti muzik, diikuti zaman kemuncak yang dipenuhi pencapaian besar, sebelum beralih ke fasa legasi yang menandakan kekuatan jenama Ungu sebagai sebuah kumpulan muzik berprestij.
Pendekatan ini menjadikan persembahan tersebut lebih daripada setlist biasa. Ia dibina seperti sebuah penceritaan hidup, dengan setiap lagu memainkan peranan sebagai bab dalam sejarah panjang Ungu.
Kuala Lumpur Pentas Istimewa Ungu 3 Dasawarsa Raikan Momen Bersejarah Bersama Peminat

Pemilihan Kuala Lumpur sebagai lokasi meraikan tiga dekad perjalanan Ungu bukan keputusan kebetulan. Malaysia telah lama menjadi antara pasaran terpenting buat band ini, dengan sokongan peminat yang konsisten sejak era awal populariti mereka.
Bakal berlangsung pada 5 September 2026 di Idea Live Arena, malam tersebut dijangka menjadi simbol penghargaan buat peminat yang terus bersama mereka sepanjang jatuh bangun industri.
BACA JUGA : Exist ‘Memento Mori’ Anugerah Terindah, Reunion Bertujuh Raikan 35 Tahun
Ketua Pegawai Eksekutif DM Diamond Entertainment, KS Tan menyifatkan kekuatan Ungu tidak terletak pada muzik semata mata, tetapi nilai persaudaraan yang menjadi teras kelangsungan mereka.
“Untuk bertahan selama tiga dekad, ia bukan hanya tentang muzik, tetapi juga ketahanan mental, jatuh bangun dalam industri, serta nilai brotherhood yang dibina sejak awal penubuhan.
Konsert ini adalah refleksi kepada keseluruhan perjalanan itu,” ujarnya.
Kenyataan itu memberi gambaran jelas bahawa konsert ini turut mengangkat sisi kemanusiaan di sebalik perjalanan sebuah band. Ia bukan sekadar kisah kejayaan, tetapi kisah tentang bertahan bersama.
istimewanya pada malam bersejarah itu, lima artis jemputan pilihan Ungu juga bakal diumumkan secara berperingkat, sekali gus membuka ruang kejutan yang mampu memperkayakan pengalaman peminat.
Ungu 3 Dasawarsa Beri Pengalaman Eksklusif Untuk Peminat Setia

Apa yang membezakan “Ungu 3 Dasawarsa Special Night in Kuala Lumpur” daripada konsert biasa adalah elemen pengalaman luar biasa yang dirancang penganjur. Selain persembahan muzik, penonton dijanjikan pelbagai kejutan khas di atas pentas.
Pihak penganjur turut menyediakan tujuh kategori tiket, termasuk pakej eksklusif Meet and Greet untuk peminat yang mendambakan pengalaman lebih dekat bersama Ungu.
Pakej tersebut hadir dengan barangan rasmi edisi terhad seperti kemeja-T, lanyard, keychain dan bag tote yang pasti menjadi koleksi bernilai buat peminat tegar.

Penganjur turut berharap malam tersebut menjadi pengalaman yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi meninggalkan kesan mendalam.
“Kami berharap konsert ini mendapat sambutan luar biasa, dan setiap peminat yang hadir dapat menikmati serta merasai keistimewaan malam ini sempena ulang tahun ke-30 Ungu,” jelasnya.
Ungkapan paling tepat datang daripada anggota Ungu sendiri ketika merumuskan keseluruhan pengalaman ini.
“Keren banget!,” kata Pasha penuh keterujaan.
Sekadar info, jualan tiket bermula 27 April 2026 dengan tawaran Early Bird sebelum jualan umum dibuka. Bagi Havoxians yang mahu menjadi sebahagian daripada malam bersejarah ini, tiket boleh didapatkan menerusi .
Jangan lepaskan peluang merasai sebuah malam, tiga dekad dan satu keraian istimewa yang tak akan mungkin berulang!