
Nama Taylor Swift, BLACKPINK, Justin Bieber dan SEVENTEEN bukan lagi sekadar artis antarabangsa yang jauh daripada industri muzik tempatan. Tahun ini, nama kumpulan M-Pop Malaysia, ALPHA pula muncul dalam senarai yang sama menerusi pencalonan di Music Awards Japan 2026.
Lebih mengejutkan, ALPHA menjadi satu satunya wakil Malaysia yang berjaya menembusi kategori “Best of Listeners’ Choice: International Song”, sekali gus meletakkan mereka sebaris dengan nama nama terbesar industri muzik dunia ketika ini.
Dalam diam, perjalanan ALPHA sebenarnya sedang membuka satu lembaran baharu buat muzik Malaysia di peringkat antarabangsa. Apa yang bermula sebagai fenomena M-Pop tempatan kini perlahan lahan berubah menjadi gelombang yang mula mendapat perhatian pendengar global.
Lebih membanggakan, lagu P.Ramlee Saloma turut mencipta sejarah apabila menjadi karya ciptaan rakyat Malaysia pertama berjaya mara sebagai calon pusingan akhir di anugerah tersebut.
“Pencalonan ini benar benar memberi makna besar buat kami. Ia membuktikan bahawa muzik yang kami hasilkan mampu melangkaui sempadan dan kami sangat bersyukur kerana dapat berkongsi detik ini dengan peminat yang sentiasa bersama sejak hari pertama,” kata Daniel Sher.
ALPHA Buktikan Muzik Malaysia Mampu Tembus Pasaran Antarabangsa

Kemunculan ALPHA bukan lagi sekadar fenomena sementara dalam industri hiburan tempatan. Sejak diperkenalkan kepada umum, kumpulan yang dianggotai Daniel Sher, Izat Ibrahim, Rizal Rasid, Ariel Fesol, Araff, Ray D dan Afiq Sky ini konsisten membina identiti tersendiri dalam landskap M-Pop Malaysia.
Pencalonan di Music Awards Japan 2026 menjadi bukti paling jelas bahawa usaha mereka kini mula membuahkan hasil di luar negara.
Dalam era muzik digital hari ini, penerimaan antarabangsa bukan lagi bergantung sepenuhnya kepada promosi konvensional, tetapi turut dipengaruhi kuasa penstriman dan sokongan komuniti peminat global.
ALPHA sendiri sudah merekodkan lebih 60 juta jumlah penstriman keseluruhan menerusi lagu lagu mereka. Angka tersebut bukan sahaja menunjukkan kekuatan fandom yang dimiliki, malah membuktikan karya mereka mempunyai daya tarikan merentasi pelbagai negara dan budaya.
BACA JUGA : Bukan Satu, Tapi Tujuh Lagu Raya Meletup! Rocketfuel Entertainment Raih 13 Juta Penstriman
Lagu P.Ramlee Saloma juga menjadi antara titik perubahan terbesar buat mereka apabila berjaya mendominasi carta Spotify Malaysia Daily Top Songs sehingga menduduki tangga nombor satu selama 30 hari selain turut mengungguli carta RIM.
Kejayaan ini memperlihatkan bagaimana identiti muzik tempatan yang digabungkan dengan elemen moden masih mampu diterima generasi pendengar masa kini tanpa perlu kehilangan identiti asal.
Album Sulung ALPHA Dijangka Jadi Titik Baharu Karier Mereka

Di sebalik kejayaan antarabangsa yang sedang diraih, ALPHA kini sedang bersedia untuk satu lagi detik besar dalam perjalanan seni mereka menerusi pelancaran album sulung pada 15 Jun 2026.
Menurut Rocketfuel Entertainment, album tersebut bakal memperlihatkan sisi ALPHA yang lebih matang dari sudut identiti muzik dan penceritaan. Ia juga dianggap sebagai refleksi perjalanan sebenar kumpulan itu sejak awal penubuhan mereka.
Afiq Sky mengakui album tersebut mempunyai nilai sentimental yang cukup besar buat semua anggota kumpulan.
“Album ini sangat dekat dengan hati kami kerana ia mencerminkan siapa ALPHA sebenarnya, perjalanan kami, jatuh bangun kami dan juga impian kami sejak hari pertama.
Kami tidak sabar untuk peminat mendengar keseluruhan karya ini,” jelasnya.
Kenyataan tersebut memberi gambaran bahawa album sulung ini bukan sekadar himpunan lagu biasa, tetapi sebuah projek yang membawa perjalanan emosi dan identiti sebenar mereka sebagai kumpulan.
Dalam masa sama, Naib Presiden Rocketfuel Entertainment, Prem Anand turut menyifatkan pencalonan antarabangsa ini sebagai petanda bahawa bakat tempatan mempunyai potensi besar untuk berkembang di luar Malaysia jika diberikan platform yang tepat.
“Pencalonan ALPHA di Music Awards Japan 2026 adalah bukti jelas bahawa bakat tempatan kita mempunyai potensi besar untuk menembusi pasaran antarabangsa. Ia hasil kerja keras, konsistensi dan kepercayaan terhadap visi muzik yang mereka bawa,” tambannya.
Sokongan Peminat Jadi Senjata Terbesar ALPHA

Walaupun sudah berjaya mencipta sejarah tersendiri, perjalanan ALPHA di pentas antarabangsa masih belum selesai. Undian awam bagi kategori “Best of Listeners’ Choice: International Song” masih dibuka bermula 30 April hingga 20 Mei 2026 menerusi laman rasmi Music Awards Japan.
Sokongan peminat dilihat menjadi faktor penting dalam menentukan peluang ALPHA untuk melakar kemenangan di anugerah berprestij tersebut. Dalam dunia muzik hari ini, kekuatan fandom bukan lagi sekadar angka di media sosial, tetapi kuasa sebenar yang mampu mengangkat artis ke peringkat global.
Malah, dengan momentum yang semakin kuat, ALPHA kini dilihat sebagai antara wajah paling berpotensi untuk membawa gelombang baharu M-Pop Malaysia ke pentas dunia.
Bagi Havoxians yang ingin terus menyokong perjalanan ALPHA termasuk pelancaran album sulung mereka yang bakal berlangsung pada 15 Jun 2026, tiket dan maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman rasmi Rocketfuel Entertainment