
Dalam industri hiburan, ramai yang hadir membawa impian besar. Namun tidak semua mampu meninggalkan kesan dalam tempoh singkat.
Bagi tujuh anak muda yang bergerak di bawah nama ALPHA, perjalanan setahun pertama mereka bukan sekadar tentang memperkenalkan lagu atau mengejar populariti. Ia tentang membuktikan bahawa sebuah kumpulan M-Pop tempatan juga mampu membina identiti, mencipta komuniti peminat sendiri dan berani meletakkan sasaran lebih tinggi.
Bermula sebagai nama baharu yang cuba mencari ruang dalam industri, ALPHA kini melangkah ke fasa lebih besar apabila Daniel, Izat, Rizal, Ariel, Araff, Ray-D dan Sky akhirnya mempersembahkan album studio penuh pertama mereka berjudul “The First Wave”.
Sebuah album yang bukan hanya menghimpunkan 12 buah lagu, tetapi menjadi rakaman kepada perjalanan, tekanan, pembelajaran dan evolusi tujuh individu yang sedang membina gelombang baharu dalam arena M-Pop Malaysia.
Bersempena ulang tahun pertama penubuhan mereka, pelancaran “The First Wave” diraikan dalam sebuah acara istimewa yang berlangsung pada 14 Jun 2026 di Pavilion Damansara Heights bermula jam 12 tengah hari sehingga 9 malam.
Acara tersebut bukan sahaja menjadi pentas memperkenalkan karya terbaru mereka kepada umum, malah ruang untuk ALPHA menghargai sokongan peminat yang menjadi sebahagian daripada perjalanan mereka sejak hari pertama.
Album Pertama ALPHA Jadi Simbol Evolusi Muzik Dan Perjalanan Setahun Dalam Industri Hiburan

Bernaung di bawah Rocketfuel Entertainment, “The First Wave” memperlihatkan sisi ALPHA yang lebih matang menerusi susunan 12 buah lagu dengan kepelbagaian genre serta karakter muzik tersendiri.
Album tersebut menghimpunkan beberapa karya yang sudah dekat di hati peminat seperti “Mona Lisa (Bang Bang)”, “P. Ramlee Saloma”, “Bujang”, “Tiada Pengganti” dan single popular mereka, “Gelato”.
Tidak hanya bergantung kepada formula sedia ada, ALPHA turut membawa warna baharu menerusi beberapa karya segar termasuk “Mahkota Cinta”, “Gerak”, “Roman Empire” dan “Dia” yang menampilkan kolaborasi bersama AG Coco.
Bagi Daniel Sher, penghasilan album pertama ini membawa nilai sentimental yang cukup besar kerana ia merakamkan segala usaha, cabaran dan pengalaman mereka sepanjang tahun pertama sebagai sebuah kumpulan.
“Rasa macam baru semalam kami memulakan perjalanan ini bersama-sama. Dalam tempoh setahun, kami belajar banyak perkara, melalui pelbagai cabaran dan mencipta begitu banyak kenangan.
“The First Wave adalah simbol kepada segala usaha dan pengorbanan yang telah kami curahkan sepanjang perjalanan ini, dan kami mahu berkongsi momen istimewa ini dengan semua peminat yang sentiasa menyokong kami sejak hari pertama,” katanya.
Dari Malaysia Ke Korea Selatan, ALPHA Perkukuh Identiti Menerusi Sentuhan Kreatif Antarabangsa

Antara lagu yang mencuri perhatian dalam album tersebut ialah “Burn It Down”, sebuah karya yang membawa cerita tersendiri kerana dirakamkan ketika ALPHA berada di Korea Selatan bagi menjalani latihan intensif menerusi program “ALPHA Dreams Unlocked: Seoul Chapter”.
Pengalaman tersebut membuka peluang buat ALPHA untuk melihat proses penghasilan muzik dari perspektif lebih luas, sekali gus memperkukuhkan lagi kualiti persembahan dan arah muzik mereka.
Lebih menarik, “Burn It Down” turut mendapat sentuhan komposer antarabangsa Daniel Caesar dan Candace Sosa yang pernah bekerjasama dalam penghasilan karya untuk beberapa nama besar dunia K-Pop termasuk BTS, TOMORROW X TOGETHER dan ENHYPEN.
Bagi Izat Ibrahim, kepelbagaian yang ditampilkan menerusi album ini menjadi peluang buat peminat mengenali sisi berbeza ALPHA.
“Album ini sangat istimewa buat kami kerana setiap lagu membawa identiti dan emosi yang berbeza.
“Kami bereksperimen dengan pelbagai genre dan mempersembahkan sisi ALPHA yang mungkin belum pernah didengar sebelum ini. Kami benar-benar tidak sabar untuk mendengar reaksi peminat apabila mereka menikmati keseluruhan album ini buat pertama kali,” ujarnya.
ALPHA Mahu Bawa Gelombang M-Pop Lebih Jauh Bersama Sokongan Peminat

Buat ALPHA, kejayaan menghasilkan album pertama bukan hanya mengenai pencapaian peribadi, sebaliknya menjadi penghargaan terhadap hubungan yang terbina bersama peminat.
Ray-D menyifatkan “The First Wave” sebagai sebuah karya yang menyimpan memori perjalanan mereka sejak awal pembentukan kumpulan tersebut.
“Bagi kami, album ini bukan sekadar koleksi lagu. Ia merakamkan perjalanan kami sebagai sebuah kumpulan, impian yang sedang kami kejar dan hubungan yang kami bina bersama peminat sepanjang setahun ini.
“Sebab itu kami sangat teruja untuk bertemu dan meraikan detik ini bersama mereka pada hari pelancaran nanti,” katanya.
Sementara itu, Ketua Rocketfuel Entertainment, Mathan Rajasingam melihat pencapaian tersebut sebagai permulaan kepada potensi lebih besar buat ALPHA dalam membawa identiti M-Pop Malaysia ke peringkat lebih tinggi.
“Dalam tempoh yang singkat, ALPHA telah membuktikan bahawa mereka memiliki potensi besar untuk berkembang sebagai sebuah kumpulan yang mampu membawa identiti M-Pop Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.
“The First Wave bukan sekadar album sulung mereka, tetapi juga manifestasi kepada dedikasi, disiplin dan kerja keras yang telah mereka tunjukkan sepanjang tahun lalu,” jelasnya.
Dengan perjalanan yang baru mencecah usia setahun, ALPHA kini bukan lagi sekadar memperkenalkan nama dalam industri. Sebaliknya, mereka sedang membina gelombang tersendiri dengan harapan membawa muzik tempatan terus berkembang dan diterima lebih luas.
Sekadar info Havoxians, seperti judul album pertama mereka, “The First Wave” mungkin hanyalah permulaan kepada ombak lebih besar yang bakal dibawa ALPHA selepas ini.