
Enam dekad perjalanan seorang ratu bukan hanya diukur pada jumlah lagu popular atau pentas yang pernah ditakluk. Ada kisah, memori dan hubungan luar biasa bersama peminat yang menjadikan nama Ella terus berdiri sebagai fenomena tersendiri dalam industri muzik tanah air.
Selepas mencipta pelbagai sejarah dalam dunia hiburan, Ratu Rock Negara itu kini bersedia untuk kembali ke tempat semuanya bermula. Namun, kepulangan istimewa menerusi konsert “Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru” hadir dengan satu perubahan besar yang mencetuskan perhatian peminat.
Bukan kerana masalah atau halangan, sebaliknya perubahan venue ke Setia SPICE Arena, Pulau Pinang pada 22 Ogos 2026 dibuat bagi membawa pengalaman yang lebih besar, dekat dan penuh nostalgia.
Lebih menarik, pentas yang pernah menyaksikan ribuan suara menyanyikan lagu lagu ikonik Ella itu sekali lagi bakal bergema. Kali ini, ia bukan hanya tentang Ella seorang kerana dua figura hebat muzik tanah air, Datuk Ramli Sarip dan Ziana Zain turut diumumkan sebagai sebahagian daripada Ahli Majlis Tertinggi yang bakal memeriahkan malam bersejarah tersebut.
Gabungan tiga nama besar ini memberi bayangan bahawa “Homecoming Edisi 60 Permata Biru” bukan sekadar sebuah konsert ulang tahun, tetapi sebuah perayaan legasi rock, kenangan dan perjalanan seni yang telah menyatukan beberapa generasi peminat.
Setia SPICE Arena Dipilih Demi Pengalaman Lebih Dekat Dan Selesa Buat Peminat Ella

Menurut pihak penganjur, keputusan membawa konsert tersebut ke Setia SPICE Arena dibuat selepas penelitian menyeluruh bersama pasukan produksi dan artis bagi memastikan peminat menerima pengalaman terbaik.
Pemilihan lokasi tertutup itu membolehkan susun atur penonton lebih dekat dengan pentas selain memberi kawalan lebih optimum dari segi sistem bunyi, produksi dan keseluruhan perjalanan persembahan.
Dalam masa sama, faktor keselesaan turut menjadi keutamaan apabila lokasi tersebut dapat mengurangkan risiko gangguan cuaca tidak menentu serta menyediakan kemudahan akses dan logistik yang lebih mesra pengunjung.
Bagi Ella sendiri, perubahan tersebut diterima secara positif kerana matlamat utamanya adalah untuk memberikan persembahan yang mampu meninggalkan kenangan istimewa kepada peminat.
“Seperti biasa, keutamaan saya adalah untuk memberikan yang terbaik kepada semua dan memastikan setiap persembahan menjadi pengalaman yang istimewa.
‘Homecoming’ inshallah akan tetap berlangsung, saya sangat teruja untuk kembali bertemu mereka di Utara yang sentiasa menyokong perjalanan seni saya,” kata Ella.
Walaupun tarikh asal pada 25 Julai 2026 tidak dapat dikekalkan, pihak penganjur menjelaskan perubahan kepada 22 Ogos 2026 merupakan pilihan terbaik bagi memastikan kualiti produksi dan pengalaman penonton berada pada tahap yang diinginkan.
Datuk Ramli Sarip Dan Ziana Zain Sertai Pentas Homecoming Edisi 60 Permata Biru

Keterujaan peminat pastinya semakin meningkat apabila dua nama ikonik, Datuk Ramli Sarip dan Ziana Zain bakal berkongsi pentas bersama Ella dalam konsert istimewa ini.
Kehadiran mereka memberi nilai tambah kepada konsep Majlis Tertinggi Rockqueen yang meraikan perjalanan seni, persahabatan dan pengaruh besar nama nama legenda dalam industri muzik tanah air.
Pihak penganjur turut memaklumkan beberapa lagi artis jemputan akan diumumkan dalam masa terdekat, sekali gus memberi bayangan bahawa malam tersebut bakal dipenuhi kejutan buat peminat.
Ketua Projek Khas Hitman Solutions, Keeran D berkata, keputusan untuk melakukan perubahan lokasi dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek penting termasuk pengalaman keseluruhan penonton.
“Selepas melalui pelbagai pertimbangan bersama semua pihak berkaitan, kami yakin perubahan ini akan memberikan pengalaman yang lebih baik secara keseluruhan kepada para penonton.
Setia SPICE Arena menawarkan persekitaran yang lebih sesuai untuk merealisasikan sebuah persembahan yang benar-benar setaraf dengan status Ella sebagai satu-satunya ikon ratu rock negara,” katanya.
Selain persembahan, peminat juga diajak untuk menghidupkan kembali era kegemilangan rock menerusi tema rasmi “90’s Glam Rock: Battle of The Bands”.
Inspirasi fesyen seperti denim, jaket kulit dan gaya glam rock yang pernah sinonim dengan zaman awal Ella & The Boys dijangka mewarnai suasana arena pada malam bersejarah tersebut.
Tiket Konsert Ella Kekal Harga Asal Dengan Penempatan Automatik Buat Pembeli Sedia Ada

Bagi peminat yang sudah mendapatkan tiket lebih awal, pihak penganjur mengesahkan semua pembelian kekal sah dan akan dipindahkan secara automatik kepada tempat duduk bernilai setara di Setia SPICE Arena tanpa sebarang caj tambahan.
Maklumat mengenai susunan tempat duduk baharu akan dimaklumkan terus kepada pembeli dalam masa terdekat.
Dalam meneruskan semangat kempen Peace, Love & Rindu, sebanyak RM2 daripada setiap tiket yang terjual akan disalurkan kepada organisasi kebajikan pilihan pembeli tiket.
Sumbangan tersebut akan diberikan kepada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pulau Pinang bagi kategori Peace, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) untuk kategori Love dan Yayasan Kebajikan Artis Tanahair bagi kategori Rindu.
Dengan gabungan venue yang penuh sejarah, barisan artis hebat dan sambutan ulang tahun ke 60 Ella, “Homecoming Edisi 60 Permata Biru” dijangka menjadi antara acara muzik tempatan paling dinantikan pada tahun 2026.
Tiket konsert masih boleh didapati Havoxians dan peminat yang mahu menjadi sebahagian daripada malam bersejarah Ratu Rock Negara ini boleh membuat pembelian menerusi laman rasmi HITMAN.