
“Apa yang membuatkan seorang penyanyi terus ‘menghasilkan pendapatan’ walaupun sudah puluhan tahun meninggal dunia? Sebuah LEGASI adalah jawapan yang tepat.
Inilah yang masih dimiliki Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad apabila karya-karya beliau bukan sahaja terus didengari oleh jutaan peminat, malah masih memberi manfaat kepada ahli keluarganya menerusi royalti yang disalurkan oleh EMI Music Malaysia.
Lebih menarik, usaha itu bukan sekadar mengenai wang semata-mata, tetapi sebuah misi mega demi memastikan nama ‘Penghibur Rakyat’ ini kekal hidup dalam era digital dan dikenali oleh generasi baharu yang tidak pernah menyaksikan aksi pentas beliau.
Malah, dalam dunia hiburan yang pantas berubah, usaha memastikan karya Sudirman terus hidup dilihat sebagai langkah penting untuk mengekalkan khazanah budaya negara agar tak lapuk ditelan zaman.
EMI Music Malaysia Mahu Karya Sudirman Kekal Relevan Buat Generasi Baharu

EMI Music Malaysia yang berada di bawah naungan Universal Music Malaysia menjelaskan penyerahan royalti itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan syarikat dalam memastikan hak hasil karya Allahyarham terus dinikmati oleh keluarga.
Sebagai antara artis rakaman paling berpengaruh di Malaysia, karya-karya Sudirman sebelum ini diterbitkan di bawah EMI Records yang kini menjadi sebahagian daripada Universal Music Group.
Justeru, EMI Music Malaysia terus menguruskan keseluruhan katalog muzik beliau termasuk proses pendigitalan, pemulihan kualiti audio, penerbitan semula karya ikonik serta peluang pelesenan bagi memastikan lagu-lagu beliau terus mendapat tempat dalam landskap hiburan moden.
Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, tanggungjawab mereka bukan hanya menyalurkan royalti kepada waris, tetapi memastikan nama besar Sudirman terus dikenali oleh generasi yang membesar dalam era digital.
“Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad merupakan ikon seni yang telah membentuk landskap muzik Malaysia dan meninggalkan khazanah budaya yang amat bernilai.
Sebagai pemegang katalog karya beliau, menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan hak royalti terus disalurkan kepada keluarga di samping memulihara serta memperkenalkan semula muzik beliau kepada generasi baharu,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa karya Sudirman perlu terus didengari kerana ia bukan sahaja mempunyai nilai hiburan, malah menjadi sebahagian daripada warisan budaya negara.
Menurut Kim, beberapa inisiatif sedang dirancang termasuk kempen digital, pemulihan audio menggunakan teknologi terkini, peluang pelesenan dalam filem, drama dan kandungan digital selain kerjasama bersama bakat muda bagi memperkenalkan semula lagu-lagu ikonik Allahyarham kepada kelompok pendengar yang lebih luas.
Keluarga Syukur Kasih Rakyat Terhadap Sudirman Tak Memudar

Bagi pihak keluarga Allahyarham, Haji Razman Azrai Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Atai menyifatkan penyerahan royalti itu sebagai penghargaan yang cukup bermakna terhadap segala usaha dan pengorbanan Allahyarham sepanjang bergelar anak seni.
Menurut beliau, keluarga amat menghargai kesungguhan EMI Music Malaysia dalam menguruskan karya-karya Allahyarham dengan penuh tanggungjawab sehingga hak royalti terus disampaikan kepada waris.
“Kami amat menghargai usaha EMI yang terus menguruskan karya karya Allahyarham dengan baik dan memastikan hak royalti disalurkan kepada keluarga. Ini membuktikan bahawa legasi beliau masih terus dihargai dan mendapat tempat di hati masyarakat,” ujarnya.
Atai turut mengakui sokongan rakyat Malaysia terhadap Allahyarham masih begitu utuh walaupun masa terus berlalu.
Katanya, lagu-lagu Sudirman bukan sekadar membangkitkan nostalgia kepada peminat lama, malah menjadi jambatan kepada generasi muda untuk mengenali sejarah, budaya serta identiti Malaysia melalui karya yang sarat dengan mesej perpaduan, kasih sayang dan semangat cintakan tanah air.
Kenyataan itu membuktikan bahawa nilai sesebuah karya seni tidak diukur berdasarkan usia, sebaliknya pada kemampuan karya tersebut untuk terus menyentuh hati masyarakat tanpa mengira zaman.
Pencarian Bakat Dan Filem Biopik Buka Lembaran Baharu Legasi Sudirman

Dalam usaha memastikan pengaruh Sudirman terus berkembang, majlis berkenaan turut menampilkan program Bintang Uni-verse Pencarian Sudirman 2.0 yang melibatkan penyertaan daripada lima institusi pengajian tinggi awam.
Program tersebut membuka ruang kepada bakat muda untuk menghayati serta mempersembahkan semula lagu-lagu Sudirman dalam pendekatan yang lebih segar, sekali gus membuktikan karya beliau masih mampu menarik perhatian generasi hari ini.
Turut mencuri perhatian ialah kehadiran Datuk Aznil Haji Nawawi yang berkongsi rasa kagum terhadap disiplin dan dedikasi Allahyarham sepanjang bergelar anak seni.
“Banyak nilai kerja yang saya amalkan hari ini adalah hasil daripada pemerhatian terhadap disiplin, kreativiti dan dedikasi beliau. Acara penghargaan legasi seperti ini sangat penting agar bakat dan kerja keras Allahyarham dapat terus menjadi kompas kepada generasi baharu,” ulas Pak Nil.

Majlis itu turut diserikan dengan persembahan khas daripada seorang busker dan pencipta kandungan digital yang terkenal kerana memiliki suara seakan Allahyarham Sudirman. Persembahan beberapa lagu ikonik beliau berjaya menghidupkan semula suasana nostalgia dalam kalangan tetamu yang hadir.
Lebih menarik, keluarga Allahyarham turut berkongsi perkembangan terkini mengenai projek filem yang bakal mengangkat perjalanan hidup dan kerjaya seni Sudirman ke layar perak.
Menurut mereka, projek berkenaan kini berada pada peringkat pembangunan awal dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia atau FINAS, khususnya dalam pembangunan skrip.
Sekiranya berjaya direalisasikan, filem itu bukan sahaja bakal mengangkat kisah seorang legenda hiburan negara, malah berpotensi memperkenalkan semula perjuangan, nilai dan semangat Allahyarham kepada generasi yang hanya mengenali namanya menerusi lagu-lagu malar segar.
Untuk recap Havoxians, majlis penyerahan royalti ini akhirnya membawa satu mesej yang cukup jelas. Legenda tidak akan pernah berakhir selagi karya mereka terus dihargai.
Malah, selagi lagu-lagu Sudirman masih dinyanyikan, didengari dan diwariskan kepada generasi seterusnya, nama Penghibur Rakyat itu akan terus hidup sebagai antara ikon seni paling agung yang pernah dimiliki Malaysia.