
Hubungan tanpa status mungkin nampak biasa, namun bagi sesetengah orang, penantian tanpa kepastian mampu menjadi luka yang paling sukar dilupakan.
Diadaptasi dari realiti yang sangat dekat dengan kehidupan ramai anak muda hari ini, penyanyi muda berbakat Boboy, mempertaruhkan single terbaharu berjudul Tanpa Ada Kepastian, sebuah karya balada yang mengangkat kisah mereka yang terus bertahan dalam hubungan tanpa arah dan penghujung yang jelas.
Lebih menyentuh hati, lagu ini bukan sekadar menceritakan pengalaman orang lain, malah lahir daripada kisah sebenar yang pernah dilalui Boboy sendiri sehingga setiap bait lirik dan emosi yang disampaikan terasa lebih jujur serta dekat di hati pendengar.
Boboy Pertaruh Pengalaman Peribadi Dalam Karya Paling Jujur

Bagi Boboy, pemilihan Tanpa Ada Kepastian sebagai single terbaharu bukan dibuat secara kebetulan. Sebaliknya, beliau percaya jalan cerita lagu itu sangat dekat dengan kehidupan ramai pendengar yang pernah melalui hubungan tanpa kejelasan.
“Lagu Tanpa Ada Kepastian mengisahkan tentang sebuah hubungan yang tergantung, di mana kita bersama seseorang tetapi tanpa hala tuju yang jelas. Ia tentang rasa berharap, namun dalam masa yang sama kita sendiri tahu tiada kepastian,” katanya.
Lebih menguatkan mesej lagu, Boboy mengakui beliau sendiri pernah berada dalam situasi sedemikian sehingga mampu memahami setiap emosi yang cuba diterjemahkan menerusi karya tersebut.
“Saya pernah melalui situasi di mana saya terperangkap dalam hubungan yang tidak jelas, jadi emosi dalam lagu ini memang datang daripada pengalaman sebenar,” tambahnya.
Menurutnya lagi, pengalaman itu mengajarnya bahawa tidak semua hubungan perlu dipertahankan jika hanya dipenuhi persoalan tanpa jawapan.
“Tidak semua hubungan perlu diperjuangkan jika ia tidak memberi kejelasan. Kadang kadang melepaskan itu lebih baik daripada bertahan dalam ketidakpastian,” ujarnya.
Dalam masa sama, Boboy percaya cinta yang sihat seharusnya hadir bersama kejelasan dan bukannya membuat seseorang terus mempersoalkan nilai diri sendiri.
Ilham Baso Cipta Lagu Daripada Kisah Yang Ramai Pernah Rasai

Di sebalik pembikinan lagu ini, komposer Ilham Baso mendedahkan idea menghasilkan Tanpa Ada Kepastian tercetus daripada kisah yang sering berlaku dalam kehidupan masyarakat hari ini.
“Idea lagu Tanpa Ada Kepastian muncul daripada cerita hubungan yang sering dialami ramai orang, ketika seseorang terus bertahan dan berharap tetapi tidak pernah diberi kepastian. Dari situ saya mula menulis lagu ini supaya perasaan itu dapat disampaikan melalui muzik,” katanya.
Menurut Ilham, inspirasi tersebut bukan sahaja datang daripada pengalaman peribadi, malah kisah insan di sekeliling yang pernah melalui fasa cinta yang rumit.
“Ramai sebenarnya saling menyayangi, tetapi hubungan mereka tergantung dan tidak jelas arahnya. Itu yang menjadi asas kepada cerita lagu ini,” jelasnya.
Cabaran terbesar ketika menghasilkan lagu itu adalah menterjemahkan pelbagai emosi seperti sedih, kecewa, penat dan pasrah ke dalam melodi serta lirik yang ringkas tetapi mampu memberi kesan mendalam kepada pendengar.
Beliau menjelaskan bahagian korus merupakan antara bahagian terawal yang dihasilkan sebelum keseluruhan jalan cerita dikembangkan sehingga menjadi sebuah karya yang lengkap.
Walaupun lagu tersebut pada asalnya tidak ditulis khusus untuk Boboy, Ilham akhirnya yakin penyanyi muda itu merupakan individu paling sesuai membawakan karya tersebut.
“Selepas saya mendengar karakter suaranya, saya rasa lagu ini sangat sesuai dibawakan olehnya,” katanya.
Ilham turut memuji warna vokal Boboy yang disifatkan lembut, penuh emosi dan mampu menyampaikan mesej lagu secara semula jadi sehingga menyentuh hati pendengar.
Malah, Boboy sendiri turut terlibat memberi pandangan terhadap melodi serta cara penyampaian lagu supaya emosi yang ingin diketengahkan benar benar dapat dirasai.
Rakaman Sarat Emosi, Balada Terus Jadi Pilihan Pendengar

Perjalanan menghasilkan Tanpa Ada Kepastian bukanlah mudah apabila Boboy berdepan cabaran kesihatan ketika sesi rakaman berlangsung.
Beliau mendedahkan mengalami demam sehingga memberi kesan kepada kawalan vokal, namun tetap meneruskan rakaman demi memastikan setiap emosi dalam lagu dapat disampaikan sebaik mungkin.
“Saya memang perlu masuk ke dalam emosi tertentu supaya pendengar dapat merasai kesedihan dan konflik dalam lagu ini,” katanya.
Penghayatan yang terlalu mendalam juga menyebabkan Boboy hampir menitiskan air mata ketika proses rakaman berlangsung.
Ilham mengakui penyanyi itu berjaya menyampaikan emosi yang diinginkan malah beberapa bahagian kedengaran lebih kuat daripada apa yang dibayangkannya ketika menulis lagu tersebut.
“Ada beberapa bahagian yang terasa lebih mendalam apabila dia menyanyikannya,” ujarnya.
Bukan itu sahaja, pengalaman menjalani penggambaran video muzik di Kundasang, Sabah turut meninggalkan kesan mendalam apabila Boboy benar benar menjiwai watak yang dibawakan.
“Semasa penggambaran MV, saya terbawa bawa emosi sehingga ada beberapa babak yang terasa sangat real kerana saya benar benar menghayati karakter dalam lagu ini,” dedahnya.
Mengulas mengenai kedudukan muzik balada dalam industri, Boboy percaya genre itu masih mempunyai tempat kerana kisah cinta yang rumit sentiasa menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia.
Ilham turut berkongsi pandangan sama dan percaya karya yang jujur tidak akan ditelan zaman.
“Walaupun trend muzik berubah, lagu yang jujur dan penuh emosi akan sentiasa mampu menyentuh hati pendengar,” jelasnya.
Walaupun balada sering dikaitkan dengan dirinya, Boboy menegaskan beliau tidak mahu terikat kepada satu genre sahaja dan bersedia meneroka pelbagai warna muzik pada masa akan datang.
“Saya mahu pendengar merasakan apa yang saya rasa. Dari segi vokal dan emosi, saya cuba menyampaikan sesuatu yang jujur,” katanya.
Selain menjadikan Mario G Klau, Afgan dan Seventeen sebagai inspirasi, Boboy berharap karya yang dihasilkannya mampu menjadi peneman kepada mereka yang sedang berdepan hubungan tanpa kepastian.
“Saya harap lagu ini boleh menjadi teman kepada mereka yang sedang melalui hubungan tanpa kepastian supaya mereka tahu mereka tidak keseorangan,” ujarnya.
Mengakhiri pertemuan, Boboy turut merakamkan penghargaan kepada semua peminat yang terus menyokong perjalanan seninya serta berterima kasih kepada AJ Productions Sdn Bhd yang sentiasa membuka ruang kepada bakat kelahiran Sabah untuk terus berkembang dalam industri muzik.
Havoxians, Tanpa Ada Kepastian kini boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music.