
Empat puluh tahun mungkin cukup lama untuk mengubah banyak perkara. Namun bagi Dato’ Aishah, satu perkara kekal tidak berubah iaitu kasih sayang peminat yang terus memenuhi setiap ruang dewan dan menyanyikan setiap lagu seolah olah ia baru dilahirkan semalam.
Itulah yang berlaku di Aishah 40 Chapters of Love, apabila Megastar Arena bertukar menjadi lautan nostalgia, menyatukan ribuan peminat daripada pelbagai generasi dalam sebuah malam yang meraikan perjalanan seni seorang legenda. Lebih daripada sekadar konsert, ia menjadi bukti bahawa karya yang lahir daripada jiwa akan terus hidup walaupun masa berlalu.
Dianjurkan oleh Vox Nation Live, persembahan hampir tiga jam itu mengangkat setiap fasa perjalanan Aishah melalui deretan lagu malar segar yang bukan sahaja mengubat rindu peminat, malah mengukuhkan kedudukannya sebagai antara ikon muzik paling berpengaruh dalam sejarah industri hiburan tanah air.
Perjalanan Empat Dekad Diterjemah Melalui Setiap Babak Persembahan Penuh Emosi
Konsert dimulakan dengan medley Camar Yang Pulang, Tiada Duka, Never Gave Up On You dan Jari Jariku Sakit Semua yang terus membangkitkan semangat penonton. Tanpa mengambil masa yang lama, seluruh dewan mula menyanyi bersama, sekali gus mencipta suasana yang cukup intim walaupun berlangsung di sebuah arena berskala besar.
Momentum persembahan diteruskan menerusi lagu seperti Kau Sahabat Kekasih dan Teman, Kasih Kita serta Kau Yang Teristimewa, sebelum Aishah membawa penonton menghargai warisan budaya menerusi medley Tari Silat Melayu, Lambaian Nogori dan Bahtera Merdeka.
Persembahan kemudian bertukar lebih menyentuh jiwa apabila Aishah menyampaikan Fatwa Pujangga, diikuti Di Mana Ku Cari Ganti, Ayah dan Syurga Di Telapak Kaki Ibu yang berjaya mengundang suasana hening dalam kalangan penonton.
Kejutan malam itu hadir apabila penyanyi Ara Johari muncul sebagai artis jemputan menerusi duet Kemaafan Dendam Yang Terindah. Gabungan vokal kedua dua penyanyi menerima sorakan gemuruh sebelum Ara meneruskan persembahan solo menerusi Menjaga Jodoh Orang Lain, sekali gus menyuntik nafas baharu kepada perjalanan konsert yang sarat dengan nostalgia.

Aishah kemudian memperlihatkan kemampuan vokalnya yang masih ampuh menerusi One Moment In Time sebelum menghiburkan penonton dengan medley Sensation, Call Me, I Feel Love dan Don’t Let Me Fall Alone, membuktikan beliau masih memiliki tenaga persembahan yang memukau walaupun sudah lebih 40 tahun berada dalam industri.
Kemuncak malam hadir apabila lagu ikonik Janji Manismu bergema di seluruh arena. Ribuan peminat menyanyikan lagu itu bersama sama sehingga mencipta antara detik paling emosional sepanjang konsert. Sorakan yang tidak berhenti akhirnya membawa Aishah kembali ke pentas untuk menyampaikan lagu encore Pulanglah dan Setitis Cahaya Di Aidilfitri sebagai penutup yang cukup menyentuh hati.
Sentuhan Sharon Paul, Penghargaan Eksklusif Buat Peminat Setia Aishah
Kejayaan konsert itu turut diperkukuhkan dengan sentuhan Pengarah Muzik, Sharon Paul, yang berjaya menyusun semula karya karya malar segar Aishah dengan susunan muzik lebih segar tanpa menghilangkan identiti asal setiap lagu.
Gabungan pemuzik profesional bersama vokal mantap Aishah menghasilkan persembahan yang bukan sahaja berkualiti tinggi, malah memberikan pengalaman berbeza kepada penonton yang hadir.
Sebagai penghargaan kepada peminat yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan seninya, Vox Nation Live turut memperkenalkan vinyl edisi terhad yang menghimpunkan beberapa lagu malar segar Aishah. Koleksi eksklusif itu hanya boleh dimiliki menerusi pihak penganjur dan menjadi antara cenderamata paling bernilai buat peminat serta pengumpul karya muzik fizikal.
Dato Aishah Sifatkan Malam Penuh Nostalgia Hadiah Paling Bermakna Sepanjang Karier Seni

Bagi Aishah, malam bersejarah itu menjadi satu daripada detik paling bermakna sepanjang empat dekad bergelar anak seni kerana masih menerima kasih sayang yang tidak berbelah bahagi daripada peminat.
“Empat puluh tahun adalah satu perjalanan yang panjang, penuh suka, duka dan kenangan yang membentuk diri saya sebagai seorang anak seni. Melihat begitu ramai peminat yang masih bersama saya hingga hari ini benar benar menyentuh hati. Saya amat bersyukur dapat berkongsi malam yang begitu indah bersama mereka. Setiap tepukan, setiap nyanyian dan setiap senyuman yang saya lihat malam ini akan saya simpan sebagai kenangan yang paling berharga. Terima kasih kerana terus menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup dan muzik saya.”
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Vox Nation Live, Shawn Chang menyifatkan penganjuran konsert tersebut sebagai penghormatan besar buat seorang legenda yang telah banyak menyumbang kepada industri muzik negara.

“Menganjurkan Aishah 40 Chapters of Love bukan sekadar membawa sebuah konsert ke pentas, tetapi menjadi sebahagian daripada sebuah perjalanan penuh makna untuk meraikan seorang legenda yang telah memberi begitu banyak kepada industri muzik Malaysia.”
Beliau berkata sambutan luar biasa yang diberikan penonton membuktikan bahawa karya Aishah masih mempunyai tempat istimewa dalam hati masyarakat.
“Kami amat tersentuh dan berbesar hati dapat berkongsi malam yang begitu indah ini bersama Dato’ Aishah, seluruh pasukan produksi, para pemuzik serta para peminat yang hadir dengan penuh kasih sayang. Sambutan yang diberikan malam ini benar benar membuktikan betapa dalamnya cinta dan penghargaan terhadap legasi Dato’ Aishah, dan kami percaya kenangan ini akan terus hidup dalam hati semua yang hadir untuk tahun tahun mendatang.”
Lebih daripada sekadar sebuah konsert, Aishah 40 Chapters of Love membuktikan bahawa sesebuah legasi tidak diukur pada tempoh masa, tetapi pada kemampuan karya menyentuh hati manusia merentasi generasi.
Havoxians, Empat puluh tahun telah berlalu, namun setiap lagu yang dipersembahkan malam itu menjadi bukti bahawa nama Dato’ Aishah masih kekal mekar sebagai antara permata paling bernilai dalam sejarah muzik Malaysia.