
Bukan semua lagu tema sekadar menjadi pelengkap kepada sesebuah filem. Ada juga karya yang mampu menghidupkan setiap babak sehingga emosi penonton terus terbawa bawa walaupun kredit penutup sudah dimainkan.
Itulah yang cuba dibawakan penyanyi dan penulis lagu, Yuka Kharisma menerusi Mantra, runut bunyi rasmi filem seram psikologi Nar’sata: Sekutu Setan yang menggabungkan elemen misteri, kesedihan dan kekuatan jiwa dalam sebuah karya sinematik.
Lebih daripada sekadar mempertaruhkan vokal, Yuka menyifatkan lagu ini sebagai sebuah perjalanan emosi yang memberi ruang untuk beliau menyampaikan rasa secara jujur.
Yuka Kharisma Temui Hubungan Emosi Dengan Lagu Mantra

Bagi Yuka, peluang menyampaikan Mantra hadir pada waktu yang tepat kerana beliau sentiasa tertarik dengan karya yang memiliki jiwa serta mesej yang mendalam.
Sebaik sahaja mendengar penerangan mengenai jalan cerita Nar’sata: Sekutu Setan dan konsep muzik yang ingin diketengahkan, beliau terus merasakan hubungan yang cukup kuat dengan lagu tersebut.
“Selepas mendengar penerangan mengenai filem Nar’sata dan hala tuju muzik yang diinginkan, saya terus merasakan satu hubungan yang kuat dengan lagu ini. Sebagai penyanyi dan penulis lagu, saya sentiasa tertarik dengan karya yang mempunyai emosi mendalam dan memberi ruang untuk saya menyampaikan rasa dengan jujur,” katanya.
Menurutnya lagi, kekuatan utama Mantra terletak pada suasana muzik yang berjaya membangkitkan rasa misteri, namun masih mengekalkan keindahan yang puitis. Gabungan elemen tersebut menjadikan lagu ini memiliki identiti tersendiri yang mampu membawa pendengar masuk ke dalam dunia yang cuba dibina.
“Lagu ini bukan sekadar sedap didengar, tetapi mempunyai nyawa. Ia mampu membuatkan pendengar tenggelam dalam emosi dan dunia yang cuba dibina,” tambahnya.
Jelas Yuka, Mantra bukan sekadar lagu yang mengiringi perjalanan filem, malah turut berfungsi sebagai medium penceritaan yang berdiri dengan kekuatannya sendiri.
Penghayatan Mendalam Jadi Kunci Penyampaian OST Nar’sata

Mengulas mengenai makna di sebalik lagu berkenaan, Yuka menjelaskan bahawa Mantra mengangkat kisah pergolakan jiwa, kehilangan, harapan serta kekuatan dalaman seseorang ketika berdepan luka emosi yang dipendam dalam diam.
Naratif tersebut diterjemahkan menerusi susunan melodi yang sinematik, sekali gus memberi ruang kepada pendengar untuk merasai setiap lapisan emosi yang ingin disampaikan.
“Lagu ini sangat sinematik dan penuh dengan lapisan emosi. Saya mahu pendengar bukan sekadar mendengar melodinya, tetapi benar benar merasai perjalanan emosi yang cuba disampaikan,” ujarnya.
Bagi memastikan penyampaiannya benar benar selari dengan penceritaan filem, Yuka mengambil pendekatan mendalami keseluruhan konflik yang dipaparkan dalam Nar’sata: Sekutu Setan. Langkah itu membantunya memahami emosi setiap watak sebelum diterjemahkan melalui tona vokal yang lebih tepat.
“Apabila saya memahami konflik dan emosi dalam filem itu, saya lebih mudah mencari warna vokal dan gaya penyampaian yang tepat. Pada saya, OST yang baik adalah apabila lagu dan filem saling melengkapi,” katanya.
Beliau mengakui proses rakaman bukan sesuatu yang mudah kerana perlu mengimbangi teknik vokal dengan intensiti emosi yang tinggi sepanjang lagu.
“Ada bahagian yang memerlukan tona suara yang sangat lembut dan intim, tetapi dalam masa sama perlu penuh dengan rasa. Disebabkan emosi lagu ini agak intens, saya perlu benar benar berada dalam mood yang tepat supaya penyampaiannya terasa semula jadi,” jelasnya.
Menurut Yuka, cabaran itu akhirnya menjadi pengalaman berharga kerana ia membuka ruang untuk beliau meneroka sisi baharu dalam penyampaian vokalnya.
Yuka Kharisma Terbuka Teroka Lebih Banyak Karya Sinematik

Sepanjang pembikinan Mantra, Yuka menyifatkan kerjasama bersama pasukan produksi berlangsung dalam suasana yang cukup positif apabila semua pihak berkongsi matlamat sama untuk menghasilkan karya yang berkualiti.
Perbincangan yang dilakukan bukan hanya tertumpu kepada aspek teknikal, malah merangkumi pembentukan emosi, suasana serta mesej yang ingin dibawa menerusi lagu tersebut agar benar benar selari dengan penceritaan filem.
“Kami banyak berbincang mengenai mood, emosi dan jalan cerita yang ingin dibawa dalam lagu ini. Saya sangat menghargai apabila seluruh pasukan mempunyai semangat yang sama untuk menghasilkan karya yang memberi impak,” ujanya.
Beliau berharap Mantra bukan sahaja diterima sebagai runut bunyi rasmi filem, malah mampu hidup sebagai sebuah karya yang dekat di hati peminat muzik.
“Saya berharap lagu ini bukan sahaja diterima sebagai OST, tetapi juga sebagai karya yang boleh berdiri sendiri dan dekat di hati pencinta muzik,” tambahnya lagi.

Dalam masa sama, Yuka turut menyatakan kesediaannya untuk terus terlibat dalam penghasilan lagu tema filem pada masa hadapan kerana percaya muzik mempunyai peranan besar dalam menghidupkan sesebuah penceritaan.
“OST mempunyai keistimewaan tersendiri kerana muzik membantu memberi nyawa kepada cerita. Saya sentiasa terbuka untuk meneroka lebih banyak karya sinematik yang mempunyai emosi dan naratif yang kuat,” jelasnya.
Sebagai pelengkap kepada pengalaman menonton Nar’sata: Sekutu Setan, lagu Mantra ciptaan Farouk Roman bersama penulis lirik Senna kini tampil membawa gabungan elemen misteri dan emosi yang cukup kuat.
Dengan vokal penuh penghayatan daripada Yuka Kharisma, adakah Havoxians rasa karya ini mampu menjadi antara runut bunyi yang meninggalkan kesan mendalam kepada penonton filem serta pencinta muzik tempatan?