
Bagaimana jika sebuah album tidak sekadar dimainkan di corong radio, tetapi sebuah refleksi kepada ‘kegelisahan’ dan hakikat yang sedang dilalui masyarakat hari ini?
Persoalan ini diterjemahkan oleh kumpulan indie rock The Alif menerusi album kedua mereka, Antologi Sakit Otak, sebuah naskhah yang menggabungkan sembilan karya dengan tema kritikan sosial, emosi, kehilangan, kerinduan dan pencarian makna kehidupan.
Malah, dengan sentuhan Britpop, alternative rock dan indie yang merupakan identiti mereka, The Alif tidak sekadar menghasilkan lagu yang sekadar sedap untuk didengar, sebaliknya mengajak pendengar berfikir, menilai dan menyelami setiap cerita yang disampaikan di setiap bait lirik.
The Alif Angkat Kritikan Sosial Dan Realiti Kehidupan Dalam Sebuah Naratif Muzik

Album Antologi Sakit Otak dibuka menerusi trek Kritikan Sosial, sebuah karya yang terus membawa pendengar memasuki dunia yang ingin diterokai oleh The Alif.
Lagu pembukaan ini menggunakan petikan ucapan tokoh revolusi Che Guevara ketika berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu sebagai simbolik kepada tema besar yang ingin diketengahkan sepanjang album.
Pendekatan tersebut memberikan permulaan yang berbeza kerana ia bukan sekadar lagu pembukaan, sebaliknya menjadi pengenalan kepada sebuah perjalanan yang sarat dengan persoalan tentang masyarakat, kehidupan dan perubahan zaman.
Menariknya, susunan muzik yang diolah penuh kritis dan kreatif telah memberikan ruang kepada setiap mesej untuk sampai kepada pendengar tanpa mengorbankan identiti muzik indie rock yang menjadi kekuatan kumpulan ini.
“Album ini bukan sekadar himpunan lagu tetapi sebuah perjalanan yang membawa pendengar menelusuri pelbagai sisi kehidupan, emosi dan pemerhatian terhadap masyarakat,” ujar The Alif.
The Alif turut mengekalkan identiti mereka yang terkenal dengan penulisan lirik yang bersifat puitis namun mempunyai makna mendalam. Setiap karya disusun agar saling melengkapi dan menghasilkan pengalaman mendengar yang lebih menyeluruh berbanding hanya menikmati lagu secara berasingan.
Ya Ya Ya Cerminan Budaya Media Sosial Dan Emosi Generasi Masa Kini

Antara karya yang paling menonjol dalam album ini ialah Ya Ya Ya, sebuah lagu yang mengangkat persoalan mengenai budaya masyarakat moden yang semakin bergantung kepada perhatian serta pengiktirafan di media sosial.
Melalui lirik yang sinis dan susunan muzik yang penuh tenaga, lagu ini mengajak pendengar menilai semula bagaimana kehidupan digital hari ini sering mempengaruhi cara manusia melihat diri sendiri dan orang di sekeliling mereka. Tanpa menghakimi, The Alif menggunakan muzik sebagai medium untuk membuka ruang perbincangan tentang isu yang semakin dekat dengan kehidupan masyarakat.
Sambutan terhadap lagu ini juga membuktikan mesej yang dibawa berjaya menyentuh pendengar apabila single tersebut telah melepasi lebih 3000 penstriman di Spotify sejak dilancarkan.
Selain Ya Ya Ya, album ini turut menghimpunkan karya seperti Melankolik, Obsessive Love Disorder, Bunga Rindu, Substansi, The Story, Lebaran Yang Hiba serta lagu judul Antologi Sakit Otak.
Setiap lagu membawa tema yang berbeza termasuk kehilangan, kerinduan, hubungan sesama manusia, kesihatan mental serta pencarian makna dalam kehidupan. Kepelbagaian tema ini menjadikan album tersebut lebih dekat dengan pengalaman ramai pendengar kerana setiap individu pasti pernah melalui sekurang kurangnya satu daripada emosi yang cuba diterjemahkan oleh The Alif.
“Kami mahu setiap lagu mempunyai cerita yang tersendiri supaya pendengar boleh mencari makna mengikut pengalaman hidup masing-masing.”
Sesi Listening Eksklusif Perkukuh Hubungan The Alif Bersama Peminat Dan Industri Muzik

Bagi meraikan pelancaran album ini, The Alif telah menganjurkan Antologi Sakit Otak Album Listening Session, sebuah sesi eksklusif yang menghimpunkan peminat, rakan media serta penggiat industri muzik.
Melalui sesi tersebut, para tetamu berpeluang mendengar keseluruhan album bersama anggota kumpulan sebelum ia diperkenalkan secara meluas kepada umum. Selain menikmati setiap karya dalam suasana yang lebih intim, mereka turut berkongsi kisah di sebalik proses pembikinan album serta inspirasi yang melahirkan setiap lagu.
Pendekatan seperti ini semakin mendapat perhatian dalam industri muzik kerana ia memberikan peluang kepada artis untuk menjelaskan idea kreatif mereka secara lebih dekat dengan pendengar. Dalam masa yang sama, peminat dapat memahami konteks sebenar di sebalik setiap karya yang dihasilkan.
Sebagai sebuah kumpulan yang bergerak secara bebas, The Alif terus membuktikan bahawa karya yang jujur dan mempunyai identiti tersendiri masih mampu mendapat tempat dalam kalangan pencinta muzik tempatan. Keberanian mereka mengangkat isu sosial, emosi dan kehidupan melalui gabungan bunyi Britpop, alternative rock dan indie memperlihatkan evolusi yang semakin matang berbanding karya terdahulu.
Album Antologi Sakit Otak memuatkan sembilan buah lagu iaitu Kritikan Sosial, Ya Ya Ya, Melankolik, Obsessive Love Disorder, Bunga Rindu, Antologi Sakit Otak, Substansi, The Story dan Lebaran Yang Hiba.
Antologi Sakit Otak kini boleh didengarkan Havoxians di semua platform penstriman digital sejak 17 Julai 2026, sekali gus menawarkan sebuah pengalaman muzik yang menggabungkan hiburan, penceritaan dan refleksi terhadap realiti kehidupan dalam satu naskhah yang menyeluruh.