
Sudah banyak lagu cinta dihasilkan Insomniacks, namun kali ini pertaruhannya jauh lebih besar daripada sekadar melancarkan sebuah single baharu. Di sebalik melodi pop yang mudah melekat di fikiran, tersembunyi satu langkah berani yang berpotensi mengubah hala tuju perjalanan muzik kumpulan ini.
Bukan sahaja tampil dengan lagu berbahasa Inggeris, malah Insomniacks turut memilih untuk bergandingan dengan pencipta lagu dari Sweden dalam usaha membuka pintu ke pasaran antarabangsa. Persoalannya, mengapa mereka sanggup mengambil risiko meninggalkan formula yang selama ini membawa kejayaan?
Jawapannya terletak dalam karya terbaharu berjudul Love Me Or Not yang menjadi simbol kematangan dan keyakinan mereka untuk melangkah lebih jauh.
Kolaborasi Bersama Penerbit Sweden, Babak Baharu Perjalanan Muzik Insomniacks

Lebih menarik, lagu ini lahir daripada kerjasama bersama penerbit dan penulis lagu dari Sweden, sekali gus membuktikan kesungguhan Insomniacks dalam meneroka dimensi kreatif yang lebih luas. Di sebalik melodi pop moden yang mudah melekat di fikiran, tersimpan kisah tentang cinta yang tidak berbalas, penerimaan dan keikhlasan yang pasti dekat dengan pengalaman ramai pendengar.
“Kami melihat lagu ini sebagai peluang untuk memperkenalkan muzik Insomniacks kepada audiens yang lebih luas, terutamanya di Filipina. Kami ingin mencuba nasib di pasaran yang berbeza daripada Malaysia.” kata Insomniacks.
Diterbitkan oleh Johan Gustafsson, Love Me Or Not merupakan hasil gabungan kreativiti antarabangsa apabila Insomniacks bekerjasama dengan beberapa penulis lagu dari Sweden. Lagu ini digubah oleh Rebbi James, Johan Gustafsson, Iqie, Danial dan Iskandar yang turut bertanggungjawab menulis liriknya.
Bagi melengkapkan kualiti produksi, proses adunan dan mastering pula dikendalikan oleh Martin Hansen bersama Johan Gustafsson, menghasilkan sebuah karya pop moden yang segar tanpa menghilangkan identiti muzik yang sinonim dengan Insomniacks.
Walaupun tampil sepenuhnya dalam bahasa Inggeris, keputusan tersebut bukanlah sesuatu yang dibuat secara terburu buru. Sebaliknya, ia merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang kumpulan itu untuk memperluaskan pengaruh muzik mereka ke luar Malaysia.
Menurut mereka, ini bukan kali pertama Insomniacks menghasilkan lagu dalam bahasa Inggeris. Namun kali ini pendekatan tersebut hadir dengan matlamat yang lebih jelas iaitu memperkenalkan muzik mereka kepada pendengar antarabangsa, khususnya di Filipina yang memiliki komuniti peminat muzik pop yang besar.
Love Me Or Not Angkat Kisah Cinta Tidak Berbalas

Di sebalik susunan muzik yang ringan dan moden, Love Me Or Not membawa tema yang cukup menyentuh hati. Lagu ini mengisahkan seseorang yang memilih untuk terus menyayangi walaupun menyedari dirinya bukan lagi sebahagian daripada kehidupan insan yang dicintai.
Ia bukan sekadar berkisar tentang kekecewaan, tetapi lebih kepada keberanian menerima hakikat bahawa tidak semua perasaan akan dibalas sebagaimana yang diharapkan.
“Love Me Or Not mengisahkan tentang menerima hakikat bahawa perasaan kita mungkin tidak akan dibalas, tetapi kita masih ikhlas menyayangi seseorang. Kami berharap sesiapa yang pernah melalui situasi seperti ini akan rasa mereka tidak keseorangan apabila mendengar lagu ini,” kongsi mereka.
Tema tersebut menjadikan lagu ini cukup mudah untuk dihayati kerana ia menyentuh realiti yang pernah dilalui ramai orang. Dalam kehidupan, bukan semua kisah cinta berakhir dengan kebahagiaan, namun setiap pengalaman tetap membawa makna yang membantu seseorang menjadi lebih matang.
Insomniacks berharap mesej itu dapat memberi sedikit kekuatan kepada mereka yang sedang berdepan episod sukar dalam hubungan, selain mengingatkan bahawa setiap emosi yang dirasai adalah sesuatu yang normal.
Eksperimen Kreatif Yang Kini Jadi Langkah Besar Menuju Pentas Antarabangsa

Menariknya, Love Me Or Not tidak pernah dirancang untuk menjadi single utama mereka. Lagu tersebut sebenarnya tercipta secara spontan ketika sesi penulisan lagu atau writing camp tanpa sebarang tekanan untuk menghasilkan karya baharu.
“Lagu ini pada asalnya terhasil daripada sebuah writing camp dan ia lebih kepada satu eksperimen. Kami masuk ke studio tanpa sebarang tekanan. Apa yang mengejutkan, keseluruhan lagu ini berjaya disiapkan dalam masa sehari sahaja. Apabila kami mendengarnya semula, kami semua terus jatuh hati dan tahu inilah lagu yang kami mahu keluarkan terlebih dahulu sebelum album baharu,” ujar mereka.
Pengalaman bekerjasama dengan pencipta lagu dari luar negara turut memberi perspektif baharu kepada setiap anggota kumpulan itu. Mereka mengakui pendekatan berbeza yang dibawa oleh setiap individu sepanjang proses kreatif membuka ruang untuk mereka melihat muzik daripada sudut yang lebih luas.
“Pengalaman ini benar benar membuka mata kami. Kami belajar bahawa setiap orang mempunyai cara tersendiri dalam menghasilkan muzik dan daripada situ kami memperoleh banyak idea serta perspektif baharu. Ia membuatkan kami lebih yakin untuk bereksperimen dan membawa pendekatan yang berbeza dalam karya kami selepas ini,” jelas mereka.

Momentum positif itu diteruskan apabila Insomniacks diumumkan sebagai opening act untuk konsert kumpulan pop rock antarabangsa 5 Seconds of Summer yang bakal berlangsung pada 17 November 2026 dan 4 Disember 2026. Peluang tersebut bukan sahaja menjadi satu pengiktirafan besar terhadap perjalanan seni mereka, malah membuka ruang yang lebih luas untuk memperkenalkan muzik Insomniacks kepada peminat dari pelbagai negara.
Mengakhiri perkongsian, Insomniacks berharap karya terbaharu mereka mampu menjadi peneman kepada sesiapa sahaja yang sedang bergelut dengan perasaan yang sukar diluahkan.
“Kadang kadang kita tidak boleh mengawal apa yang kita rasa dan itu normal. Pada akhirnya, kita sendiri yang paling memahami hati dan perasaan kita. Harapnya lagu ini boleh menjadi teman kepada mereka yang sedang melalui fasa itu,” kata mereka.
Love Me Or Not kini boleh distrim Havoxians, di semua platform penstriman digital. Dengan gabungan melodi pop moden, lirik yang dekat dengan realiti kehidupan serta aspirasi untuk menembusi pasaran antarabangsa, single ini menjadi bukti bahawa Insomniacks bersedia melangkah lebih jauh dalam perjalanan seni mereka.