
Demam Konsert EXISTS Memento Mori ternyata masih belum reda apabila bukan sekadar menghimpunkan ribuan peminat di Stadium Nasional Bukit Jalil, malah turut mencetuskan fenomena luar biasa di media sosial apabila ramai mengakui masih belum mampu melupakan pengalaman menyaksikan persembahan istimewa kumpulan legenda itu.
Sejak tirai konsert dilabuhkan, platform seperti Threads, Instagram dan Facebook dibanjiri pelbagai perkongsian daripada peminat yang mengakui mereka masih “terperangkap” dalam momen indah sepanjang hampir tiga jam persembahan berlangsung.
Rata-rata peminat meluahkan rasa rindu, nostalgia dan kekaguman terhadap persembahan yang disifatkan sebagai antara konsert paling menyentuh emosi tahun ini. Malah, ada yang berseloroh mereka memerlukan “seminggu, sebulan atau mungkin tujuh tahun” untuk benar-benar move on daripada pengalaman tersebut.

“Aku rasa mahu seminggu, sebulan, tujuh tahun, fan yang datang Memento Mori semalam confirm tak nak move on,” tulis seorang pengguna Threads yang turut menerima pelbagai reaksi daripada peminat lain.
Konsert EXIST Memento Mori Hidupkan Semula Nostalgia Lagu-Lagu Malar Segar

Bukan itu sahaja, ramai dilihat kembali membuka semula senarai lagu EXISTS di platform penstriman muzik sebaik sahaja konsert berakhir. Ada yang mengakui mereka mengulang dengar lagu-lagu seperti Bunga, Langkah Seiringan, Untukmu Ibu, Mengintai Dari Tirai Kamar serta beberapa karya lain berkali-kali kerana masih terkenang persembahan malam tersebut.
Fenomena itu turut dikongsi semula oleh penyanyi Ezad Lazim menerusi Instagram Story apabila memuat naik tangkap layar yang memaparkan seorang peminat sedang memainkan lagu-lagu EXISTS di Spotify ketika berada di pejabat dengan kapsyen ringkas, “Susah nak move on.”

Bagi peminat tegar, konsert itu bukan sahaja mengimbau kenangan, malah membuka semula penghargaan terhadap karya-karya lama EXISTS yang jarang dipersembahkan di pentas.
Seorang pengguna Threads, @julia_azrina, berkongsi senarai lagu balada kegemarannya daripada setiap album EXISTS sambil menyifatkan kumpulan itu memiliki banyak karya berkualiti yang mungkin kurang dikenali oleh generasi baharu berbanding lagu-lagu yang sering diputarkan di radio.
Seorang lagi pengguna, @i_am_cilapacila, turut mengakui tidak jemu mengulang dengar lagu-lagu EXISTS selepas konsert sambil memuji vokal Ezad yang menurutnya masih kekal mantap sehingga kini.
“Tak boleh move on betul dengar suara Ezad ni,” tulisnya.

Dalam masa sama, ramai turut mengakui persembahan tersebut masih bermain di fikiran walaupun sudah kembali menjalani rutin harian.
Pengguna @mizzfaizura, misalnya, berkongsi bahawa dia sukar memberi tumpuan ketika bekerja kerana masih terngiang-ngiang rangkaian lagu yang dipersembahkan sepanjang malam konsert. Bagi seorang lagi peminat, persembahan lagu Untukmu Ibu nyanyian Mamat pula menjadi detik paling menyentuh perasaan sehingga mengalirkan air mata apabila terkenangkan insan tersayang.
Peminat Terkilan Tidak Berpeluang Hadir Konsert EXIST Memento Mori
Lebih parah lagi, fenomena EXIST Memento Mori bukan sahaja dirasai oleh mereka yang hadir, malah turut mencetuskan rasa terkilan dalam kalangan peminat yang tidak berpeluang menyaksikan konsert tersebut secara langsung.

Menerusi Threads, seorang pengguna, @qayyumrahimm, mengakui menyesal kerana mempercayai dakwaan segelintir pihak yang menyifatkan konsert itu membosankan. Selepas melihat pelbagai perkongsian daripada penonton, beliau berpendapat peluang menyaksikan persembahan seperti itu mungkin sukar berulang pada masa hadapan.
Rasa kecewa itu turut dikongsi oleh peminat lain yang terpaksa melepaskan peluang atas pelbagai faktor. Seorang pengguna Instagram Story memuat naik lagu Mengintai Dari Tirai Kamar sambil menulis bahawa lagu tersebut menjadi penawar kerana tidak dapat menghadiri konsert akibat masalah kesihatan.
Dalam perkongsian berasingan, seorang lagi pengguna Threads, @ohaniness, meluahkan rasa sedih selepas terpaksa membatalkan hasrat menghadiri konsert walaupun sudah memiliki tiket, sekali gus mengakui hanya mampu mengikuti perkongsian daripada mereka yang berada di Stadium Nasional Bukit Jalil.


Tidak kurang juga yang memilih menghargai pengalaman itu dengan cara tersendiri. Seorang pencipta kandungan berkongsi rakaman proses menghasilkan cover lagu Memilih Yang Salah, sambil berseloroh bahawa ia menjadi cara melepaskan rasa geram kerana tidak sempat menyaksikan konsert tersebut secara langsung.
Perkongsian seperti ini memperlihatkan bagaimana impak Memento Mori terus hidup dalam kalangan peminat walaupun persembahan telah pun berakhir.
Harapan Peminat Mahu EXISTS Kembali Beraksi Dalam Konsert Berskala Besar

Gelombang reaksi di media sosial jelas membuktikan bahawa Konsert EXISTS Memento Mori bukan sekadar sebuah persembahan nostalgia, malah berjaya meninggalkan impak emosi yang mendalam kepada para peminat.
Apabila ramai masih berkongsi kenangan, mengulang dengar lagu-lagu EXISTS, memuat naik semula koleksi album dan menghasilkan kandungan berkaitan konsert beberapa hari selepas acara berakhir, ia memperlihatkan bahawa Memento Mori telah berkembang menjadi satu fenomena dalam kalangan pencinta muzik tempatan.
Melihat kepada sambutan luar biasa itu, tidak hairanlah apabila semakin ramai mula berharap EXISTS mempertimbangkan penganjuran sebuah lagi konsert Memento Mori atau siri jelajah pada masa akan datang.
Walaupun keputusan tersebut bergantung kepada perancangan kumpulan dan pihak penganjur, sambutan yang masih hangat di media sosial menunjukkan permintaan terhadap persembahan EXISTS masih tinggi.
Bagi Havoxians, Memento Mori bukan hanya sekadar sebuah konsert, tetapi sebuah perjalanan nostalgia yang menghidupkan semula memori, menyatukan generasi lama dan baharu, serta membuktikan karya-karya EXISTS masih relevan merentasi zaman.
Malah, dengan limpahan reaksi positif yang terus membanjiri media sosial, satu perkara jelas terlihat fenomena EXISTS Memento Mori masih belum berakhir, dan ramai peminat nyata masih enggan untuk ‘move on’.