
Ada lagu yang tidak pernah dimamah usia. Sebaik sahaja melodi pertama berkumandang, ribuan kenangan terus kembali bermain di fikiran. Itulah magis yang dimiliki ABBA, kumpulan legenda dari Sweden yang berjaya mencipta karya malar segar sehingga terus dinyanyikan lebih lima dekad kemudian.
Kini, selepas lebih sedekad tidak membuat persembahan di Malaysia, pengalaman itu bakal dihidupkan semula apabila Björn Again, kumpulan tribute rasmi yang diiktiraf anggota asal ABBA, kembali menggegarkan Zepp Kuala Lumpur menerusi Björn Again The ABBA Forever Tour pada 12 Ogos ini.
Kepulangan mereka ke Kuala Lumpur kali ini hadir dengan sebuah produksi yang lebih besar, lebih meriah dan sarat elemen hiburan yang menjanjikan malam penuh nostalgia buat peminat lama, selain memperkenalkan keajaiban muzik ABBA kepada generasi baharu.
Björn Again Bawa Pengalaman ABBA Satukan Tiga Generasi Peminat

Mewakili kumpulan itu, Agnetha Falstart dan Benny Anderwear mengakui teruja untuk kembali bertemu peminat Malaysia yang disifatkan sebagai antara penonton paling bertenaga sepanjang siri jelajah mereka.
Menurut Benny, kenangan ketika membuat persembahan di Kuala Lumpur sekitar 12 hingga 15 tahun lalu masih segar dalam ingatan kerana sambutan luar biasa yang diberikan oleh penonton tempatan.
“Kami tahu penonton Malaysia adalah antara yang terbaik. Mereka suka menyanyi, menari dan berseronok. Walaupun kami pernah membuat persembahan di Kuala Lumpur kira-kira 12 hingga 15 tahun lalu, kami sentiasa mahu kembali kerana kenangan indah terhadap tenaga dan kasih sayang penonton di sini,” katanya.
Sementara itu, Agnetha berkata walaupun Björn Again sudah mengadakan persembahan di seluruh dunia selama 37 tahun, matlamat mereka tetap sama iaitu menyebarkan kegembiraan menerusi karya-karya malar segar ABBA.
“Setiap kali kami naik ke pentas, kami mahu orang ramai pulang dengan senyuman. Muzik ABBA mempunyai keupayaan luar biasa untuk menyatukan manusia tanpa mengira usia, bangsa atau latar belakang,” ujarnya.
Benny turut menjelaskan bahawa antara keunikan persembahan Björn Again ialah kemampuannya menghimpunkan beberapa generasi dalam satu dewan.
“Di konsert kami, adalah perkara biasa melihat dua hingga tiga generasi daripada keluarga yang sama hadir bersama. Ada yang membesar dengan lagu ABBA, ada yang mengenali muzik mereka melalui muzikal Mamma Mia! Manakala anak dan cucu pula menyanyi bersama lagu yang sama.
“Lagu ciptaan Benny Andersson dan Björn Ulvaeus sudah bertahan lebih 50 tahun. Itu membuktikan betapa kuatnya karya mereka. Konsert kami juga sesuai untuk seisi keluarga kerana tiada bahasa kesat atau unsur tidak sopan,” jelasnya.
Konsert Dua Jam Setengah Tampil Dengan Kejutan Lebih Hebat

Bagi memastikan pengalaman yang diberikan benar benar berbeza, Björn Again melakukan pelbagai penambahbaikan terhadap produksi jelajah kali ini.
Persembahan selama dua jam setengah itu akan menampilkan susunan muzik yang diperkemaskan, kostum baharu, pencahayaan moden serta persembahan multimedia yang lebih mengasyikkan tanpa menghilangkan identiti asal muzik ABBA.
Menurut Benny, peminat boleh menjangkakan rangkaian lagu popular yang menjadi siulan dunia sejak puluhan tahun lalu.
“Kami akan membawakan semua lagu popular seperti Dancing Queen, Fernando, Mamma Mia, Waterloo, Gimme! Gimme! Gimme!, dan Take a Chance. Ada lagu disko, balada yang menyentuh emosi serta lagu yang mempunyai sentuhan rock,” tambahnya.
Beliau turut mendedahkan bahawa persembahan kali ini bukan hanya tertumpu kepada nyanyian semata mata.
“Penonton juga akan menikmati unsur jenaka, interaksi spontan di atas pentas serta beberapa kejutan santai yang membuatkan semua orang pulang dengan senyuman lebar,” katanya.
Bagi menambahkan lagi suasana era kegemilangan muzik disko, anggota Björn Again turut menggalakkan peminat mengenakan busana bertemakan tahun 1970 an ketika hadir ke konsert nanti.
Shiraz Projects Yakin Konsert Ini Bakal Cipta Kenangan Yang Sukar Dilupakan

Dalam perkembangan sama, Penerbit Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim, meluahkan rasa syukur apabila impian membawa Björn Again kembali ke Malaysia akhirnya menjadi kenyataan selepas enam bulan melakukan pelbagai persiapan.
Menurut beliau, nilai sebenar sebuah konsert bukan hanya diukur melalui kejayaan jualan tiket, tetapi menerusi memori yang dibawa pulang oleh setiap penonton.
“Memang benar penganjuran konsert mempunyai matlamat perniagaan, tetapi ganjaran terbesar bagi kami ialah melihat wajah gembira para peminat ketika meninggalkan dewan.
“Apabila mereka memberitahu bahawa malam itu menjadi antara pengalaman terbaik dalam hidup mereka, semua penat lelah sepanjang proses penganjuran terasa sangat berbaloi.
“Jarang kita dapat melihat sebuah konsert yang mampu menghimpunkan tiga generasi dalam satu dewan untuk menikmati muzik bersama sama. Itulah keistimewaan muzik ABBA yang masih relevan sehingga hari ini,” ujarnya.
Malah, beliau percaya kehadiran Björn Again bukan sekadar memenuhi permintaan peminat lama, malah membuka peluang kepada generasi muda untuk merasai sendiri fenomena muzik yang telah membentuk sejarah industri hiburan dunia.

Konsert Björn Again The ABBA Forever Tour akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 12 Ogos 2026. Tiket mula dijual sejak 28 Julai lalu menerusi Ticket2U dengan harga RM600 bagi kategori VIP, RM498 Diamond, RM398 Platinum, RM298 Gold dan RM228 Silver.
Havoxians dan peminat yang ingin menjadi sebahagian daripada malam penuh nostalgia ini disaran mendapatkan tiket lebih awal sebelum ia habis terjual.