
Kalau selama ini kisah Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu hanya dikenali melalui catatan sejarah, kali ini hikayat tersebut bakal kembali bernyawa di atas pentas menerusi sebuah teater muzikal berskala besar yang menghimpunkan barisan nama popular seni tanah air.
Lebih menarik, kisah yang mengangkat pertemuan antara Kesultanan Melaka dan Dinasti Ming itu bukan sekadar diterjemahkan sebagai sebuah cerita cinta, sebaliknya turut membawa elemen diplomasi, maruah sebuah kerajaan dan hubungan antara dua tamadun yang pernah mencorakkan sejarah rantau ini.
Menerusi Teater Muzikal Mansur & Liu, penonton bakal dibawa menyelusuri kembali zaman kegemilangan Kesultanan Melaka melalui gabungan lakonan, muzik, tarian, busana dan teknologi pentas, sekali gus memberikan nafas baharu kepada kisah yang terkandung dalam Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu.
Namun, satu lagi perkara yang membuatkan produksi ini mencuri perhatian ialah penglibatan Dato’ M. Nasir sebagai sutradara, sekali gus menandakan kemunculan sulung maestro seni tanah air itu dalam mengemudi sebuah teater muzikal.
Lebih daripada 30 buah lagu dan skor muzik asli ciptaan Dato’ M. Nasir pula bakal menjadi antara kekuatan utama pementasan, dengan gabungan lenggok muzik tradisi Melayu dan susunan orkestra kontemporari yang dijanjikan membawa penonton merentasi suasana sebuah kerajaan yang pernah menjadi pusat penting tamadun Nusantara.
Dalam pada itu, watak Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu masing masing diberikan kepada Alif Aziz dan Melinda Dadew, selain turut diserikan barisan pelakon seperti Amerul Affendi, Sherry Alhadad, Hazama, Taqim Zaki dan beberapa lagi nama yang bakal menghidupkan dunia Kesultanan Melaka di pentas Istana Budaya.
Jadi, apa sebenarnya yang membuatkan Mansur & Liu lebih daripada sekadar sebuah kisah cinta klasik?
Mansur & Liu Angkat Kisah Sultan Mansur Shah Dan Puteri Liu, Cerita Diplomasi Dua Tamadun

Apabila nama Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu disebut, gambaran pertama yang mungkin muncul ialah sebuah kisah cinta antara dua insan daripada dunia yang berbeza.
Namun Mansur & Liu mahu khalayak melihat cerita itu daripada sudut yang lebih luas.
Pertemuan kedua dua watak ini menjadi pintu kepada sebuah kisah mengenai hubungan antara Kesultanan Melaka dan Dinasti Ming, termasuk nilai diplomasi yang membentuk hubungan antara dua kerajaan besar pada suatu zaman.
Dalam dunia yang sering mengangkat peperangan sebagai ukuran kekuatan sesebuah kerajaan, kisah Mansur & Liu membawa perspektif berbeza. Kebijaksanaan dalam berunding, keupayaan menjaga maruah serta membina hubungan melalui persefahaman menjadi antara perkara yang diberi penekanan.
“Lebih daripada sebuah pementasan, Mansur & Liu merupakan pengalaman yang mengundang khalayak menyeberangi batas masa,” ujar Iman Tang mewakili Icon Entertainment.
Menurutnya, lebih 30 buah lagu dan skor muzik asli ciptaan Dato’ M. Nasir akan menjadi nadi utama penceritaan, menggabungkan lenggok tradisi Melayu dengan susunan orkestra kontemporari.
Pendekatan tersebut menjadikan muzik bukan sekadar pelengkap kepada persembahan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada cara cerita ini disampaikan kepada penonton.
Dalam masa yang sama, tema yang dibawa juga lebih besar daripada percintaan.
“Mansur & Liu juga bukan cinta semata mata yang menjadi paksi cerita. Di sebalik pertemuan Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu, tersirat hikmah tentang maruah sebuah bangsa, kebesaran sebuah kerajaan, kesetiaan kepada tanah air, kebijaksanaan dalam berunding serta indahnya persahabatan antara dua tamadun besar yang saling menghormati,” jelas Iman.
Dato’ M. Nasir Sutradara, Alif Aziz Dan Melinda Dadew Teraju Utama Mansur & Liu

Seperkara lagi yang menjadikan produksi ini mencuri perhatian ialah penglibatan Dato’ M. Nasir sebagai sutradara.
Selepas sekian lama dikenali sebagai maestro muzik dan antara figura penting dalam perkembangan seni tanah air, M. Nasir kini membawa pengalaman seninya ke ruang teater muzikal secara lebih menyeluruh.
Di bawah arahannya, Mansur & Liu cuba menggabungkan kekuatan muzik dengan penceritaan pentas bagi menghasilkan sebuah pengalaman yang tidak terhad kepada lakonan semata mata.
Bagi watak Sultan Mansur Shah pula, mahkota peranan tersebut diserahkan kepada Alif Aziz, manakala Melinda Dadew dipilih untuk menghidupkan karakter Puteri Liu.
Pertemuan kedua dua pelakon ini menjadi teras kepada kisah yang mahu membawa penonton menyelami hubungan antara Melaka dan China dari sudut manusiawi, selain konteks sejarah yang lebih besar.
Panggung Mansur & Liu turut dihuni barisan pelakon yang terdiri daripada Amerul Affendi, Sherry Alhadad, Hazama, Taqim Zaki, Brian Chan, Fadhli Masoot, Anas Ridzuan, Arena Wan, Ruzana Ibrahim, Fiza Thomas, Taufiq Izmir, Marzuki Noh dan Shahrul Mizad.
Kehadiran barisan seniman daripada latar muzik dan lakonan berbeza ini menjadi antara kekuatan produksi yang mahu membina semula suasana sebuah kerajaan Melayu yang pernah menjadi pusat penting tamadun Nusantara.
Lebih menarik, persembahan ini tidak hanya bergantung kepada dialog dan muzik. Cahaya, bunyi, tari, busana, seni bina pentas serta teknologi moden akan digunakan untuk membina suasana Kesultanan Melaka di atas pentas.
Hasilnya, penonton bukan sekadar melihat sebuah cerita sejarah, tetapi dibawa masuk ke dalam dunia yang cuba menghidupkan kembali kemegahan sebuah zaman.
Teater Muzikal Mansur & Liu Di Istana Budaya Bawa Sejarah Melayu Kepada Generasi Muda

Mungkin cabaran terbesar karya yang mengambil latar sejarah bukan sekadar memastikan ceritanya menarik, tetapi bagaimana sejarah itu boleh terasa dekat dengan generasi hari ini.
Mansur & Liu memilih muzik dan teater sebagai jambatan untuk menyelesaikan cabaran tersebut.
Lebih 30 buah lagu dan skor muzik asli menjadi salah satu elemen utama yang diharapkan mampu menjadikan kisah yang lahir daripada teks sejarah itu lebih mudah dihayati khalayak moden.
Dalam masa yang sama, skala produksinya memberi ruang untuk sejarah diterjemahkan dalam bentuk visual yang lebih besar dan imersif.
Panggung Sari, Istana Budaya bakal menjadi lokasi berlangsungnya persembahan dari 10 hingga 20 September 2026. Pemilihan pentas berprestij itu juga seolah olah melengkapkan hasrat produksi untuk mengangkat kisah warisan Melayu melalui sebuah persembahan yang mempunyai nilai seni dan produksi pada skala besar.

Lebih daripada sekadar menghidupkan satu cerita lama, Mansur & Liu turut membawa misi untuk memperkenalkan warisan sejarah dan kesenian Melayu kepada khalayak yang lebih luas.
Apatah lagi 2026 merupakan Tahun Melawat Malaysia, menjadikan usaha mempersembahkan kisah sejarah dan budaya tempatan kepada penonton antarabangsa semakin relevan.
“Seiring aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026, Mansur & Liu diharap menjadi lambang kekuatan seni persembahan negara, sekali gus memperkenalkan keagungan warisan Melayu kepada khalayak tempatan dan antarabangsa melalui bahasa teater yang indah, agung dan merentasi zaman,” ujar Iman.
Pada akhirnya, kekuatan Mansur & Liu mungkin terletak pada persoalan yang lebih besar daripada siapa mencintai siapa.
Bagi Havoxians, yang mahu menyaksikan sendiri bagaimana hikayat Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu diterjemahkan ke pentas, Teater Muzikal Mansur & Liu akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya dari 10 hingga 20 September 2026.
Tiket ditawarkan dalam beberapa kategori iaitu Balairung Utama pada harga RM368 hingga RM408, Anjung Bendahara pada harga RM268 hingga RM308 dan Anjung Rakyat pada harga RM88 hingga RM128. Tiket mula dijual pada Isnin, 10 Ogos 2026 pukul 3 petang menerusi Ticket2U