
Malam kemuncak Bintang Suara MELILEA 2026 bukan sekadar menyaksikan seorang peserta dinobatkan sebagai juara, sebaliknya menjadi medan untuk bakat baharu membuktikan kemampuan mereka.
Lebih 700 penonton memenuhi MELILEA APHQ, MELILEA Tower, apabila pertandingan itu berlangsung meriah dengan 19 finalis memberikan persembahan terbaik demi merebut gelaran yang menjadi impian mereka.
Namun, tumpuan akhirnya terarah kepada Muhammad Heyqal Misnin yang berjaya menambat perhatian barisan juri menerusi persembahan lagu Oscar Winning Tears, nyanyian asal penyanyi antarabangsa Raye.
Keupayaannya menghidupkan lagu berkenaan melayakkannya dinobatkan sebagai Johan Bintang Suara MELILEA 2026 pada malam Sabtu.
Kemenangan itu bukan sahaja membawa pulang hadiah lumayan, malah menjadi satu pencapaian bermakna buat Heyqal dalam perjalanan mengembangkan bakatnya dalam bidang nyanyian.
Heyqal Juara Bintang Suara MELILEA 2026, Bawa Pulang RM3,000

Menerusi persembahan Oscar Winning Tears, Heyqal Misnin berjaya meraih gelaran Johan dan membawa pulang trofi kemenangan, wang tunai RM3,000 serta baucar produk MELILEA bernilai RM2,000.
Tempat kedua pula menjadi milik Muhammad Hadi Hafsham Hanapi yang mempertaruhkan lagu I (Who Have Nothing), nyanyian asal Ben E. King. Persembahan tersebut melayakkannya menerima trofi, wang tunai RM1,500 dan baucar produk MELILEA bernilai RM1,500.
Sementara itu, Ema Fazuana Mehat melengkapkan senarai tiga pemenang utama selepas meraih tempat ketiga menerusi lagu Cinta, yang dipopularkan oleh Masrah Milan. Dia membawa pulang trofi, wang tunai RM1,000 serta baucar produk MELILEA bernilai RM1,000.
Persaingan dalam kalangan finalis bukan sekadar bergantung pada kekuatan vokal. Pemilihan lagu, teknik nyanyian, penghayatan serta kemampuan menyampaikan persembahan secara menyeluruh turut menjadi antara aspek penting yang membezakan setiap peserta.
Pengurus Pembangunan Artis SWYM Entertainment Group, Ong Peng Chu, yang menganggotai barisan juri, mengakui kepelbagaian bakat yang dipertontonkan sepanjang pertandingan menjadikan proses penilaian satu cabaran besar.

“Daripada lebih 200 peserta yang mendaftar, kami melihat begitu banyak bakat yang berkualiti dan mempunyai keunikan tersendiri. Para peserta juga datang dengan pelbagai genre, gaya persembahan dan karakter vokal yang berbeza,” katanya.
Menurut Ong, setiap peserta hadir dengan kekuatan tersendiri, sekali gus menuntut barisan juri membuat penilaian berdasarkan keseluruhan persembahan.
Pemilihan Heyqal sebagai juara, jelasnya, menepati kriteria yang dicari berdasarkan kelebihan dari segi vokal, teknik nyanyian, penghayatan lagu dan persembahan secara keseluruhan.
Selain tiga pemenang utama, seramai 14 peserta turut menerima Anugerah Kecemerlangan sebagai pengiktirafan terhadap bakat dan usaha mereka. Setiap penerima menerima trofi, wang tunai RM300 serta baucar produk MELILEA bernilai RM500.
Manakala, bagi kategori Anugerah Penampilan Terbaik, Sulaiman Ibrahim dipilih sebagai pemenang kategori lelaki, manakala Najmi Najihah Azlan memenangi kategori wanita. Kedua-duanya turut menerima trofi, wang tunai RM300 dan baucar produk MELILEA bernilai RM500.
Nurul Ainie Muhamad pula membawa pulang Anugerah Populariti menerusi Undian Penonton dengan hadiah yang sama.
Nas Adila Bersama Dance Crew Hangatkan Malam Kemuncak Bintang Suara MELILEA

Kemeriahan malam kemuncak turut diserikan dengan persembahan penyanyi jemputan Nas Adila bersama Dance Crew yang tampil menerusi persembahan pembukaan dan penutup bertenaga.
Turut mencuri perhatian ialah kemunculan Pengasas dan Pengerusi Kumpulan MELILEA International Group of Companies, Datuk Prof. Dr. Alan Wong Kwai Hua, serta Pengasas Bersama dan Presiden Eksekutif Kumpulan, Datuk Prof. Dr. Stella Chin, yang turut menyanyi pada malam berkenaan.
Pertandingan itu dinilai oleh barisan juri yang mempunyai pengalaman dalam industri muzik dan hiburan, termasuk Edrie Hashim, komposer, pengarah muzik, pemain gitar kumpulan Wings serta pemilik Neo Gendang Studio.
MELILEA Perkasa Bakat Tempatan, Bukan Sekadar Mencari Juara

Di sebalik persaingan merebut gelaran juara, Bintang Suara MELILEA 2026 membawa matlamat lebih besar menerusi usaha mencungkil, membimbing dan memperkasa bakat baharu, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Menurut Datuk Prof. Dr. Alan Wong, Malaysia mempunyai ramai penyanyi berbakat yang berpotensi untuk melangkah lebih jauh sekiranya diberikan peluang serta bimbingan yang sewajarnya.
“Malaysia mempunyai ramai penyanyi berbakat yang berpotensi untuk pergi lebih jauh sekiranya diberikan peluang, bimbingan dan platform yang tepat untuk mengembangkan bakat mereka dalam industri muzik. Saya percaya setiap individu mempunyai potensi tersendiri yang perlu diberikan ruang dan peluang untuk berkembang,” katanya.
Berlandaskan slogan Impian Anda, Suara Anda, Masa Depan Anda, pertandingan ini bukan semata-mata berorientasikan kemenangan, sebaliknya bertujuan menggalakkan golongan muda membina keyakinan diri dan berani mengejar impian menerusi bidang yang diminati.
Alan turut menegaskan bahawa inisiatif berkenaan selari dengan falsafah MELILEA, Transforming Lives, serta visinya, Transforming People’s Lives, Transforming The World.
“Kami mahu para peserta melihat pengalaman ini sebagai satu langkah penting dalam perjalanan mereka untuk mengembangkan potensi dan membina masa depan yang lebih baik,” katanya.
Penganjuran Bintang Suara MELILEA 2026 merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat syarikat yang memberi tumpuan kepada pembangunan masyarakat melalui pemerkasaan individu dan bakat tempatan.
Bagi para finalis pengalaman membuat persembahan di hadapan ratusan penonton serta dinilai oleh barisan juri berpengalaman menjadi peluang untuk menguji kemampuan dan menambah pengalaman dalam suasana pertandingan yang kompetitif.
Sekadar info, Havoxians kejayaan Heyqal meraih gelaran Johan pastinya menjadi kemuncak malam tersebut.
Namun, dengan lebih 200 penyertaan, 19 finalis dan kehadiran lebih 700 penonton, Bintang Suara MELILEA 2026 turut membawa mesej bahawa perjalanan membina nama dalam industri muzik boleh bermula apabila seseorang diberikan peluang untuk menyerlah.
Persoalannya kini, adakah antara bakat yang diperkenalkan menerusi pentas ini bakal muncul sebagai nama baharu yang mewarnai industri muzik tempatan pada masa hadapan? Masa akan menentukan, tetapi peluang untuk melangkah sudah pun terbuka.