
Malam kemuncak Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) bukan sekadar menyaksikan nama besar industri muzik Malaysia menghiasi pentas kemenangan. Di sebalik deretan trofi yang diraikan, satu angka mencuri perhatian apabila hampir separuh daripada keseluruhan anugerah kompetitif AIM25 berjaya dibawa pulang oleh Universal Music Malaysia bersama rangkaian label dan rakan kerjasamanya.
Malah, daripada muzik tradisional kepada rock, hip hop, lagu perpaduan sehingga karya berbahasa India, kepelbagaian kemenangan tersebut memperlihatkan betapa luasnya pengaruh ekosistem Universal Music Malaysia dalam landskap muzik tempatan.
Secara keseluruhan, Universal Music Malaysia bersama SN Legacy, Alternate Records, Aisha Retno Entertainment, MLQ Entertainment, Siti Nurhaliza Productions, Faithful Music, Trigger Happy Records dan XO House meraih 10 daripada 23 Kategori Utama AIM25.
Jumlah keseluruhan sebanyak 13 daripada 31 anugerah yang dipertandingkan. Ringkasnya, hampir satu daripada setiap dua trofi yang dipertandingkan pada edisi jubli perak AIM25 berjaya dibawa pulang Universal Music Malaysia dan rakan strategiknya.
Siti Nurhaliza Cemerlang Dengan Empat Trofi AIM25

Antara nama paling menyerlah pada malam penuh gemilang itu tentunya Datuk Seri Siti Nurhaliza yang membawa pulang empat trofi menerusi karya yang memperlihatkan kekuatan vokal, hingga dinobatkan sebagai penerima Vokal Wanita Terbaik menerusi lagu “Kesuma”, sebuah karya yang diterbitkan menerusi SN Legacy, Siti Nurhaliza Productions Malaysia dan Universal Music Malaysia.
Siti turut memenangi kategori Kolaborasi Artis atau Penulis Lagu Tempatan Bersama Artis atau Penulis Lagu Luar Negara Terbaik menerusi “Cenderamaya”, sekaligus mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai artis paling berpengaruh dalam industri muzik tempatan.
Namun, kejayaan paling mencuri perhatian hadir menerusi “Pesanan Buat Diri”. Karya berkenaan bukan sahaja memenangi Lagu Tradisional Terbaik, malah turut dinobatkan sebagai Lagu Terbaik, iaitu pengiktirafan paling berprestij pada AIM25.
Dalam masa sama, kemenangan yang diraih Universal Music Malaysia dan rakan kerjasamanya tidak terhad kepada satu nama atau satu genre sahaja.
“Bila Sampai Waktu” ciptaan Faizal Tahir dan Ezra Kong menerusi Faithful Music memenangi Lagu Rock Terbaik, manakala “Tanya Tuhan” oleh Yonnyboii dan Malique yang mewakili EMI Malaysia dan Def Jam Recordings Malaysia membawa pulang Lagu Rap atau Hip Hop Terbaik.
Kategori Lagu Perpaduan Terbaik pula menjadi milik “Matahari Malaya”, hasil ciptaan MC Syze, Noh Salleh dan Kidd Santhe menerusi Trigger Happy Records dan Universal Music Malaysia.
Justeru, deretan kemenangan tersebut memperlihatkan keluasan repertoir yang bergerak merentasi citarasa pendengar, generasi dan genre.
Tradisional Hingga Hip Hop, Kemenangan Cerminkan Wajah Muzik Malaysia

Jika diteliti satu persatu, kekuatan pencapaian Universal Music Malaysia pada AIM25 sebenarnya terletak pada kepelbagaian muzik.
Kemenangan yang diraih bukan tertumpu kepada muzik arus perdana semata-mata. Sebaliknya, karya daripada pelbagai latar genre dan bahasa berjaya mendapat tempat dalam senarai pemenang, sekali gus mencerminkan landskap muzik Malaysia yang semakin luas.
Muzik tradisional tampil menerusi “Pesanan Buat Diri”, rock menerusi “Bila Sampai Waktu”, manakala genre rap dan hip hop pula diwakili “Tanya Tuhan”.
“Matahari Malaya” pula membawa tema perpaduan yang dekat dengan realiti masyarakat Malaysia, membuktikan muzik turut mempunyai peranan dalam menyatukan pendengar daripada latar yang berbeza.
Kepelbagaian itu menjadi antara perkara yang paling menarik daripada pencapaian UMMY dan Partners pada AIM25 kerana ia menunjukkan bahawa kejayaan dalam industri muzik tidak lagi bergantung kepada satu acuan sahaja.
“Meraih 10 daripada 23 Kategori Utama, serta 13 daripada keseluruhan 31 kategori kompetitif, merupakan satu pencapaian yang amat bermakna buat kami.
Ia bukan sekadar tentang jumlah kemenangan, tetapi merupakan pengiktirafan terhadap kreativiti, keberanian dan kerja keras para artis, pencipta lagu, penerbit, pemuzik, label rakan kongsi serta seluruh pasukan di belakang setiap karya,” kata Kim Lim, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia.

Menurut Kim, kejayaan tersebut turut membuktikan bahawa kerjasama strategik antara syarikat rakaman, label tempatan, artis dan komuniti kreatif mampu membina ekosistem muzik Malaysia yang lebih kukuh serta berdaya saing.
“Kemenangan daripada pelbagai genre dan bahasa memperlihatkan keluasan serta kekayaan muzik Malaysia.
Kami juga amat berbangga dengan Anugerah Sri Wirama yang diterima Ella. Keaslian, keberanian dan legasi beliau telah membuka jalan serta menjadi inspirasi kepada begitu ramai penggiat muzik daripada pelbagai generasi,” katanya.
Ella Terima Anugerah Sri Wirama, Legasi 38 Tahun Terus Dihargai

Di sebalik persaingan sengit dalam kategori kompetitif, AIM25 turut melakar satu momen istimewa apabila legenda rock negara, Ella, menerima Anugerah Sri Wirama.
Pengiktirafan khas tersebut diberikan sebagai penghormatan terhadap sumbangan sepanjang hayat, pencapaian serta pengaruh besar Ella dalam perkembangan industri muzik Malaysia.
Berbeza daripada 31 kategori kompetitif yang dipertandingkan, Anugerah Sri Wirama merupakan pengiktirafan khas yang meraikan legasi dan perjalanan seorang tokoh muzik.
Bagi Universal Music Malaysia, penghormatan terhadap Ella turut membawa makna tersendiri memandangkan katalog muzik penyanyi tersebut terus mempunyai tempat dalam kalangan pendengar merentasi generasi.
Hermond Cheng, Pengarah Kanan A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai sesuatu yang amat membanggakan.
“Sebagai seorang yang telah berkecimpung dalam industri muzik selama 38 tahun, saya amat berbangga dengan segala pencapaian Ella.
Kami berbesar hati kerana dapat terus memasarkan dan memperluaskan jangkauan katalog muzik beliau yang merentasi pelbagai era, bermula ketika bersama Warnada sehinggalah kini bersama Universal Music Malaysia,” katanya.
Menurut Hermond, penerimaan terhadap karya Ella yang terus bertahan sehingga hari ini membuktikan bahawa kekuatan sesebuah legasi bukan sekadar terletak pada tempoh seseorang berada dalam industri, tetapi pada kemampuan karya tersebut untuk terus hidup dalam ingatan pendengar.
“Keupayaan karya-karya Ella untuk terus diterima dan mendapat sambutan membuktikan kekuatan legasi serta relevansi beliau yang kekal merentas generasi,” tambahnya.
Sekadar recap Havoxians, pencapaian Universal Music Malaysia dan rakan kerjasamanya di AIM25 akhirnya bukan sekadar tentang jumlah trofi yang memenuhi tangan para pemenang.
Bermula dari suara legenda seperti Ella, kekuatan vokal Datuk Seri Siti Nurhaliza, sehinggalah karya generasi baharu dalam rap, hip hop, rock dan muzik kontemporari, pentas AIM25 membuktikan muzik tempatan masih mempunyai ruang yang luas untuk berkembang apabila bakat, karya dan ekosistem industri bergerak senada menuju hala yang sama.