
Pada mulanya, semuanya sekadar permainan! Sekumpulan sahabat berkumpul di sebuah pusat beli-belah terbiar untuk bermain Spirit of the Coin, sebuah permainan yang mengundang unsur mistik bagi filem Kacau.
Namun, apabila sesuatu yang tidak sepatutnya diganggu mula menunjukkan kehadirannya, pengalaman memburu hantu yang dianggap menyeronokkan bertukar menjadi mimpi ngeri yang mengancam nyawa.
Lebih menggerunkan, gangguan itu tidak berhenti sebaik sahaja permainan berakhir. Satu demi satu kejadian mengerikan mula menghantui kumpulan berkenaan, memaksa mereka berdepan ketakutan yang semakin sukar dijelaskan.
Premis penuh misteri itu menjadi teras Kacau, filem seram psikologi adaptasi novel bestseller Fixi karya Ariff Adly yang kini melangkah ke layar perak menerusi pelancaran trailer dan poster rasmi.
Diterbitkan menerusi kerjasama Le Mediator Studio, Cineworks, Technica Studios dan Buku Fixi, filem arahan Muzzamer Rahman ini mengetengahkan kisah sekumpulan anak muda yang terpaksa berdepan akibat daripada permainan yang pada awalnya dilakukan untuk menguji keberanian mereka.
Trailer rasmi memberikan gambaran awal tentang suasana seram yang menyelubungi kisah tersebut, termasuk kemunculan entiti misteri yang mengancam keselamatan watak watak utama.
Persoalannya, apakah yang sebenarnya berlaku apabila permainan Spirit of the Coin bertukar menjadi sesuatu yang tidak lagi mampu dikawal?
Menariknya, bagi peminat novel asal, Kacau menawarkan peluang untuk menyaksikan kisah seram Ariff Adly diterjemahkan ke dalam bentuk visual. Sementara itu, Havoxians yang belum mengenali naskhah berkenaan boleh menjangkakan sebuah kisah yang menggabungkan unsur paranormal, misteri dan ketegangan psikologi.
Adaptasi Novel Terlaris Fixi, Kacau Kini Diperkenalkan Menerusi Poster & Trailer Rasmi

Kekuatan sesebuah adaptasi terletak pada keupayaannya mengekalkan daya tarikan karya asal sambil membina pengalaman intensif baharu buat penonton. Bagi Kacau, asas penceritaannya bersandarkan novel karya Ariff Adly yang diterbitkan di bawah Buku Fixi, sebelum diolah menjadi filem.
Kehadiran trailer dan poster rasmi menjadi pengenalan visual kepada projek berkenaan, sekali gus memberikan peluang kepada penonton untuk mengenali dunia yang bakal diterokai menerusi filem ini.
Menariknya, pendekatan seram psikologi memberikan ruang kepada pembikin filem untuk meneroka lebih daripada sekadar penampakan makhluk atau gangguan misteri. Rasa takut juga boleh terbina melalui tekanan emosi, rasa bersalah, ketidakpastian dan keputusan yang terpaksa ditanggung oleh seseorang apabila berdepan situasi di luar kawalan.
Justeru, produksi filem ini turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib, serta Pengarah Pengurusan Produksi FINAS, Mohd Fazli Abdul Aziz, atas peluang yang diberikan menerusi Dana Kandungan Kreatif.
Canon Malaysia turut menerima penghargaan atas kerjasama dalam menjayakan penerbitan tersebut. Menurut perkongsian ketika majlis pelancaran, filem ini dirakam menggunakan kamera Canon, manakala proses adunan audio turut dilaksanakan di FINAS.
Aspek teknikal seperti sinematografi dan reka bentuk bunyi memainkan peranan penting dalam membina suasana bagi filem seram psikologi.
Permainan visual, keheningan serta bunyi yang hadir pada waktu tidak dijangka berupaya meningkatkan ketegangan dan mengheret penonton lebih dekat dengan pengalaman watak di layar.
Justeru, trailer rasmi Kacau menjadi antara elemen yang wajar diberikan perhatian bagi melihat bagaimana dunia novel tersebut diterjemahkan ke dalam bentuk visual dan audio.
Idan Aedan, Fimie Don dan Khayrisyah Kemal Bongkar Sisi Berbeza Watak

Antara perkara yang mencuri perhatian menerusi perkongsian barisan pelakon ialah perbezaan personaliti setiap watak. Kumpulan sahabat yang menjadi teras cerita ini tidak digambarkan sebagai individu dengan sikap dan pemikiran yang seragam.
Sebaliknya, setiap seorang mempunyai cara tersendiri dalam berdepan situasi, termasuk perkara yang mereka pilih untuk disimpan daripada pengetahuan orang lain.
Idan Aedan membawakan watak Jimie, seorang individu yang bersifat introvert dan dibelenggu rasa bersalah terhadap pengorbanan yang melibatkan rakan rakannya.
Menurut Idan, Jimie merupakan sebahagian daripada kumpulan sahabat yang gemar melakukan aktiviti paranormal, termasuk mengunjungi tempat terbiar dan lokasi yang dikatakan berhantu.
“Jimie adalah seorang yang sangat introvert. Dia bergelut dengan rasa bersalah kerana mengorbankan kawan kawan dia,” jelas Idan ketika memperkenalkan wataknya.
Elemen rasa bersalah itu memberikan dimensi emosi kepada Jimie, sekali gus menimbulkan persoalan tentang sejauh mana masa lalu mempengaruhi tindakannya sepanjang cerita dalam sebuah filem seram psikologi Kacau.
Sementara itu, Fimie Don memegang watak Amat, seorang lagi anggota kumpulan tersebut yang mempunyai keadaan kesihatan khusus, iaitu hemofilia. Penyakit berkenaan ialah gangguan pembekuan darah yang menyebabkan pendarahan mengambil masa lebih lama untuk berhenti.
Fimie menjelaskan bahawa keadaan itu merupakan sebahagian daripada latar wataknya dalam filem berkenaan.
“Seperti yang diketahui mereka yang sudah membaca novel, saya mempunyai penyakit hemofilia dan saya tidak boleh berdarah. Kalau berdarah, darah itu tidak boleh berhenti,” katanya.
Bagi Khayrisyah Kemal pula, watak Wanie digambarkan sebagai seorang yang tidak terlalu ekspresif dan lebih cenderung memendam perasaan. Walaupun rapat dengan kumpulan sahabatnya, Wanie mempunyai hubungan yang lebih akrab dengan Eida, watak yang dibawakan oleh Nurel Baharin.
“Wanie bukan seorang yang terlalu ekspresif. Dia jenis yang menyimpan perasaan sendiri,” kongsi Khayrisyah.
Evanatie Sifatkan Syira Pemerhati, Barisan Pelakon Jadi Nadi Cerita Seram Kacau

Selain Jimie, Amat dan Wanie, Syira turut diperkenalkan sebagai watak yang mempunyai pendekatan berbeza ketika bergaul dengan kumpulan berkenaan.
Evanatie Sannie yang memegang watak Syira menjelaskan bahawa karakternya merupakan seorang yang baik hati dan mudah bersimpati terhadap orang lain. Syira juga merupakan individu baharu dalam lingkungan persahabatan tersebut selepas diperkenalkan oleh sepupunya, Eida.
“Syira seorang yang baik hati sebab dia mudah bersimpati dengan sesuatu. Dia orang baharu dalam kumpulan itu dan merupakan sepupu kepada Eida,” jelas Evanatie.
Menurutnya, Syira lebih gemar memerhati individu di sekelilingnya sebelum benar benar memahami karakter setiap seorang.
“Dia jenis yang lebih memerhati. Dia akan melihat seorang demi seorang dalam kumpulan itu,” tambahnya.
Selain empat watak yang diperkenalkan menerusi perkongsian berkenaan, Kacau turut menampilkan Sadiq M. Jamil sebagai Fiq, Nurel Baharin sebagai Syida atau Eida, serta Arfie Shah sebagai Ajim.

Gabungan tujuh pelakon tersebut membentuk kumpulan watak yang menjadi tunjang kepada perjalanan filem Kacau. Perbezaan karakter, hubungan kekeluargaan dan persahabatan serta konflik peribadi memberi warna pelbagai sekaligus menjadikan filem ini menarik.
Justeru, trailer dan poster rasmi yang kini telah dilancarkan, Kacau membuka lembaran baharu daripada novel terlaris Fixi ke layar perak.
Persoalan tentang apa yang berlaku apabila sekumpulan anak muda sengaja mendekati dunia paranormal menjadi antara tarikan yang mengundang rasa ingin tahu.
Namun, sejauh mana mereka mampu mengawal keadaan apabila pengalaman yang dicari mula bertukar menjadi sesuatu yang tidak dapat dijelaskan?
Khusus buat peminat novel asal serta penggemar filem seram tempatan, Kacau kini menjadi antara bucket list filem wajib tonton. Trailer rasmi memberikan gambaran awal, tetapi pengalaman penuh hanya akan terserlah apabila keseluruhan cerita dibawa ke layar perak.