
Di sebalik setiap suara yang kedengaran lantang di atas pentas, ada sebuah cerita yang jarang dilihat. Justeru, disinilah mengapa terlahirnya Bintang Suara Melilea.
Ini demikian kerana, ada yang bertahun-tahun menyanyi di bilik sendiri. Ada yang hanya berani menunjukkan bakat kepada keluarga dan rakan terdekat. Ada juga yang mempunyai suara yang cukup bagus, tetapi masih tidak yakin untuk berdiri di hadapan khalayak dan memperkenalkan diri sebagai seorang penyanyi.
Persoalannya, berapa ramai sebenarnya bakat seperti ini yang terlepas hanya kerana mereka tidak pernah diberikan peluang?
Bagi MELILEA, jawapannya bukan sekadar mencari siapa yang mempunyai suara paling sedap. Sebaliknya, peluang perlu diberikan kepada mereka yang mempunyai impian, keberanian dan kesungguhan untuk mengembangkan potensi diri.
Atas semangat itu, Bintang Suara Melilea merupakan sebuah inisiatif di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dirangka untuk mencungkil, membimbing dan memperkasa bakat baharu dalam kalangan generasi muda di seluruh Malaysia.
Membawa tagline “impian anda, suara anda, masa depan anda”, program ini tampil dengan misi yang lebih besar daripada sekadar melahirkan seorang juara. Mahu memberi seseorang keberanian untuk mengambil langkah pertama.
Bintang Suara Melilea 2026 Buka Ruang Bakat Muda Tampil Ke Hadapan

Dalam dunia hiburan, mempunyai bakat sahaja tidak semestinya cukup untuk menjamin perjalanan yang panjang.
Seorang penyanyi memerlukan keyakinan, disiplin, pendedahan, bimbingan dan pengalaman untuk memahami bagaimana bakat boleh dibentuk menjadi sebuah kerjaya.
Justeru, Bintang Suara Melilea mengambil pendekatan yang berbeza dengan menjadikan pertandingan ini sebagai sebuah platform pembangunan potensi.
Peserta bukan sahaja diberikan ruang untuk mempersembahkan kebolehan, malah berpeluang mendapatkan pendedahan terhadap industri serta panduan daripada penggiat seni yang mempunyai pengalaman luas.
Inisiatif tersebut dilaksanakan melalui kolaborasi strategik bersama SWYM Entertainment Group yang diterajui Ong Peng Chu, seorang penggiat industri yang mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dalam pembangunan dan pengurusan bakat.
Antara nama penyanyi Malaysia yang pernah mendapat bantuan dan pendedahan melalui pengalaman beliau termasuk Shila Amzah dan Jeryl Lee Pei Ling, khususnya dalam usaha mengembangkan kerjaya mereka di pasaran hiburan China.
Pengalaman itu menjadi antara nilai penting yang dibawa kerana peserta bukan sekadar berhadapan dengan pentas pertandingan, tetapi turut diperkenalkan kepada realiti perjalanan dalam industri muzik.
Kerjasama bersama Neo Gendang Studio yang diterajui komposer, pengarah muzik dan gitaris kumpulan Wings, Edrie Hashim, turut memperkukuhkan elemen profesional dalam pembangunan bakat program tersebut.
Penglibatan nama nama daripada latar industri berbeza ini memberikan gambaran bahawa MELILEA mahu membina sebuah ekosistem yang dapat membantu peserta memahami bahawa kejayaan dalam muzik memerlukan lebih daripada sekadar tepukan selepas persembahan.
Pengasas dan Pengerusi Kumpulan MELILEA International Group, Datuk Alan Wong berkata, peluang dan sokongan menjadi antara perkara penting dalam membantu seseorang mengubah kehidupannya.
“Sejak penubuhan MELILEA, kami sentiasa percaya bahawa perniagaan bukan hanya mengenai keuntungan. Yang lebih penting ialah bagaimana kita dapat memberi nilai, membuka peluang dan membantu seseorang mentransformasi kehidupan mereka,” katanya.
Menurut beliau, melalui pertandingan ini mereka dapat memberikan ruang kepada generasi muda untuk mengenali serta mengembangkan potensi diri.
Bukan Sekadar ‘Pertandingan’ Ini Mesej Utama Bintang Suara Melilea 2026

Apa yang menjadikan pertandingan ini berbeza ialah penekanan terhadap perjalanan peserta, bukan semata-mata keputusan pertandingan. Program ini mahu melihat sejauh mana seseorang peserta berkembang selepas diberikan peluang.
“Ini bukan sekadar pertandingan untuk mencari pemenang seni suara. Ia adalah sebahagian daripada usaha kami untuk ‘Transforming Lives’ melalui peluang, pengalaman, bimbingan dan sokongan,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa bakat perlu dibangunkan dengan usaha dan bimbingan yang betul.
“Setiap bakat mempunyai nilai, tetapi bakat itu perlu dibangunkan dengan disiplin, usaha, integriti dan bimbingan yang betul,” tambahnya.
Pandangan tersebut memperlihatkan bahawa kejayaan program tidak semestinya diukur melalui siapa yang membawa pulang hadiah utama.
Sebaliknya, seorang peserta yang pada awalnya kurang yakin tetapi akhirnya berani berdiri di atas pentas, mengenali potensi diri dan mempunyai hala tuju baharu juga boleh dianggap sebagai sebuah kejayaan.
Pendekatan itu turut selari dengan falsafah MELILEA, “Transforming People’s Lives, Transforming The World”, yang memberi penekanan kepada pembangunan individu, pendidikan, pencapaian, integriti dan nilai diri.
Bagi Ong Peng Chu pula, pertandingan nyanyian sepatutnya menjadi ruang untuk bakat baharu didengar dan diberikan peluang.
“Bagi saya, pertandingan nyanyian bukan sekadar soal menang atau kalah, apa yang lebih penting ialah memberi peluang kepada mereka yang mempunyai bakat dan potensi untuk didengari, dilihat dan diberikan ruang untuk melangkah lebih jauh dalam industri muzik,” katanya.
Beliau juga mengajak mereka yang selama ini hanya menyimpan impian untuk berani keluar daripada zon selesa.
“Kalau anda rasa anda mempunyai bakat, potensi atau sekadar sangat mencintai dunia nyanyian, jangan hanya menyanyi seorang diri di rumah. Apabila peluang datang, beranilah untuk tampil ke hadapan,” jelasnya.
Seruan itu mungkin kedengaran mudah, tetapi bagi seseorang yang selama ini takut dinilai, langkah untuk naik ke pentas dan memperkenalkan suara sendiri sebenarnya boleh menjadi permulaan kepada perubahan yang jauh lebih besar.
Melilea Sasar Mahu Lahirkan Bakat Yang Bersedia Tempuh Industri

Selain peluang memenangi hadiah wang tunai dan menerima produk kesihatan, peserta turut berpeluang mendapatkan pendedahan kepada peluang dan pentas yang lebih luas.
Program ini menetapkan beberapa matlamat utama termasuk mencungkil bakat baharu, membina keyakinan diri, menyediakan bimbingan daripada penggiat industri berpengalaman serta menggalakkan generasi muda memilih landasan yang positif, berdisiplin dan bertanggungjawab.
Dalam masa sama, elemen kreativiti, ketekunan, integriti dan daya tahan turut diberi penekanan sebagai nilai yang penting untuk seseorang bakat berkembang dalam jangka panjang.
Lebih menarik, program ini turut membawa aspirasi untuk membuka peluang kepada bakat tempatan berkembang ke tahap lebih tinggi, termasuk mendapatkan pendedahan di peringkat serantau dan antarabangsa.
Ong Peng Chu melihat peluang seperti ini sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya dipandang ringan oleh mereka yang mempunyai minat terhadap dunia nyanyian.
“Pentas sudah tersedia, mikrofon juga sudah tersedia. Kini kami hanya menantikan anda,” katanya.
Bagi generasi muda yang selama ini mempunyai impian untuk menyanyi tetapi tidak tahu bagaimana mahu bermula, platform sebegini boleh menjadi ruang untuk menguji kemampuan sendiri.
Tidak semua yang naik ke pentas akan menjadi juara. Namun, seseorang yang berani mencuba mungkin pulang dengan sesuatu yang jauh lebih berharga iaitu keyakinan, pengalaman dan gambaran yang lebih jelas tentang kemampuan dirinya.
Akhirnya, pertandingan ini membawa sebuah mesej yang cukup mudah tetapi kuat. Impian tidak akan bergerak jika hanya disimpan dalam kepala. Bakat pula tidak akan berkembang jika tidak diberikan ruang untuk didengar.
Sebagai pelengkap kepada inisiatif tersebut, lagu yang diperkenalkan bersempena Bintang Suara Melilea turut menjadi medium untuk membawa semangat program kepada khalayak, khususnya mesej tentang impian, keberanian dan usaha mengejar masa depan.
Lagu berkenaan boleh dinikmati Havoxians bersempena kempen sama yang mahu mengajak lebih ramai bakat muda untuk berani tampil, menyuarakan potensi dan percaya bahawa setiap suara mempunyai cerita serta peluangnya sendiri.