
Ada lagu yang kita dengar sekadar untuk mengisi sunyi. Ada juga lagu yang entah bagaimana terasa seperti ditulis tepat pada fasa kehidupan yang sedang kita lalui. Bagi ramai pendengar, lagu Reality Club berada dalam kategori kedua.
Daripada kisah cinta yang tidak kesampaian, kerinduan yang sukar diterjemahkan sehingga proses membesar dan mencari arah kehidupan, muzik kumpulan indie dari Jakarta itu telah menemani satu generasi pendengar di Asia Tenggara selama sedekad.
Kini, selepas 10 tahun mencipta muzik dan membina perjalanan mereka sendiri, kumpulan ini bakal membawa kisah tersebut ke Kuala Lumpur menerusi sebuah persembahan istimewa yang hanya berlangsung untuk satu malam.
POST dan Katarsis Live mempersembahkan Reality Club di Zepp Kuala Lumpur pada 13 November 2026, dalam sebuah persembahan khas sempena ulang tahun ke 10 kumpulan yang dianggotai oleh empat anggota asal dari Jakarta itu.
Lebih daripada sekadar persembahan langsung, acara ini dijanjikan sebagai sebuah pengalaman yang meraikan perjalanan muzik dari awal kemunculan mereka sehingga ke fasa paling matang dalam karier.
Reality Club 10 Tahun: Daripada “Is It The Answer?” Hingga “Alexandra”

Sepanjang 10 tahun perjalanan, mereka berjaya membina identiti tersendiri dalam landskap muzik alternatif Asia Tenggara. Kumpulan ini bukan sahaja dikenali menerusi bunyi muzik mereka yang santai dan mudah didekati, malah turut mempunyai keupayaan untuk mengangkat pengalaman kehidupan biasa menjadi sebuah karya yang dekat dengan pendengar.
Antara lagu yang terus menjadi kegemaran peminat ialah “Is It The Answer?”, selain “Alexandra” yang memperlihatkan sisi lebih lembut dan bersahaja daripada kumpulan tersebut.
Kekuatan Reality Club terletak pada cara mereka menyampaikan cerita. Lagu mereka tidak cuba memberikan semua jawapan tentang cinta, kehilangan atau kehidupan. Sebaliknya, ia membiarkan pendengar menemukan pengalaman mereka sendiri di celah lirik dan melodi yang dimainkan.
Sepanjang dekad pertama perjalanan mereka, katalog muzik Reality Club akhirnya menjadi sebahagian daripada memori ramai pendengar. Ada yang menemui muzik mereka ketika sedang jatuh cinta, ada yang mendengarnya ketika melalui perpisahan dan tidak kurang juga yang menjadikannya sebagai teman ketika sedang mencari arah kehidupan.
Justertu itu, persembahan ulang tahun ke 10 ini mempunyai nilai yang lebih besar daripada sekadar sebuah konsert. Ini adalah reunion antara kumpulan dan lagu-lagu yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan peminat mereka.
Reality Club Presents… Hingga Who Knows Where Life Will Take You?

Perjalanan Reality Club turut berkembang dari segi bunyi dan penulisan lagu. Menerusi album studio ketiga, Reality Club Presents…, kumpulan tersebut memperlihatkan keberanian untuk meneroka lebih banyak warna muzik dengan menggabungkan pelbagai genre, sambil memberikan identiti dan karakter tersendiri kepada setiap lagu.
Eksplorasi tersebut bukan sekadar diterima oleh peminat, malah mendapat pengiktirafan dalam industri muzik Indonesia apabila album berkenaan memenangi kategori Best Alternative Album di Anugerah Musik Indonesia.
Lebih membanggakan, “Love Epiphany” turut memenangi kategori Best Alternative Duo/Group/Collaboration, mengukuhkan lagi kedudukan Reality Club sebagai antara kumpulan alternatif yang mempunyai pengaruh tersendiri dalam generasi muzik semasa.
Kemudian hadir album keempat mereka, Who Knows Where Life Will Take You?, yang memperlihatkan sisi penulisan lagu Reality Club yang lebih matang.
Jika karya terdahulu banyak membawa pendengar menyelami persoalan tentang hubungan dan perasaan, album ini pula terasa seperti gambaran sebuah kumpulan yang semakin memahami kehidupan dan segala ketidakpastian yang datang bersamanya.
Judul album itu sendiri seolah olah menjadi persoalan yang relevan dengan perjalanan Reality Club sepanjang sedekad. Siapa tahu ke mana kehidupan akan membawa kita?
Bagi sebuah kumpulan yang bermula dari Jakarta dan akhirnya berjaya membina komuniti pendengar di seluruh Asia Tenggara, perjalanan Reality Club sendiri menjadi jawapan paling menarik kepada persoalan tersebut.
Reality Club di Zepp KL Bakal Tampilkan Persembahan Khas Ulang Tahun Ke 10

Momentum Reality Club semakin kukuh pada tahun lalu apabila kumpulan tersebut mengadakan persembahan ulang tahun di Jakarta yang berjaya dijual habis pada bulan Jun.
Pencapaian itu kemudiannya disusuli dengan satu lagi perkembangan penting apabila Reality Club menandatangani kontrak bersama Suneater, label muzik Indonesia yang menaungi beberapa nama penting dalam dunia muzik bebas negara tersebut. Kini, momentum itu diteruskan di Kuala Lumpur.
Namun, peminat tidak seharusnya menjangkakan sebuah persembahan biasa yang sekadar menyusun lagu popular daripada katalog mereka. Sempena ulang tahun ke 10, Reality Club bakal membawakan susunan semula katalog lagu mereka untuk membentuk sebuah set persembahan yang dirangka khas bagi malam tersebut.
Ini bermakna peminat berpeluang menyaksikan sisi Reality Club yang mungkin berbeza daripada persembahan mereka sebelum ini.
Lebih penting, kehadiran empat anggota asal Jakarta itu di pentas Zepp KL pada 13 November nanti menjadi sebahagian daripada perjalanan sedekad yang dibina bersama peminat.
“Ini bukan sekadar persembahan biasa yang membawakan himpunan lagu popular mereka. Sebaliknya, persembahan ini telah dirangka khas sempena ulang tahun ke 10, dengan susunan semula katalog lagu mereka untuk membentuk sebuah set persembahan yang istimewa,” katanya.
Bagi peminat yang sudah mengikuti Reality Club sejak awal, malam tersebut pastinya menjadi peluang untuk mengimbau kembali lagu lagu yang pernah mengisi pelbagai fasa kehidupan.
Malah pendengar yang baru menemui muzik mereka pula, inilah masanya untuk memahami mengapa Reality Club mampu bertahan dan berkembang selama 10 tahun dalam sebuah industri yang sentiasa berubah.

Pada 13 November nanti, Zepp KL bukan sekadar menjadi lokasi persembahan, sekaligus menjadi ruang untuk meraikan 10 tahun cerita, muzik, kenangan dan perjalanan Reality Club bersama para pendengar mereka.
Havoxians yang mahu menjadi sebahagian daripada sambutan 10 tahun Reality Club di Kuala Lumpur, pra jualan tiket akan dibuka pada Isnin, 31 Ogos 2026, manakala jualan umum bermula pada Rabu, 2 September 2026.
Tiket boleh didapati menerusi Ticketmelon untuk maklumat lanjut mengenai persembahan, peminat juga boleh mengikuti Instagram POST.