
Ada pertemuan yang berlaku secara kebetulan, ada juga yang mengambil masa bertahun tahun sebelum akhirnya menemukan titiknya.
Begitulah kisah di sebalik Panggung Sandiwara: FUGO & Midnight Fusic, sebuah konsert yang bakal mempertemukan dua kugiran kontemporari Malaysia dengan identiti muzik yang cukup berbeza, namun berkongsi satu persamaan besar iaitu keberanian membina dunia muzik mereka sendiri.
Selepas idea untuk melakukan sesuatu bersama mula dibincangkan pada 2024 ketika kedua dua kumpulan terlibat dalam sebuah acara persembahan di Pantai Timur, perancangan tersebut akhirnya bakal menjadi kenyataan menerusi sebuah konsert berskala penuh di Kuala Lumpur.
Menariknya, ini bukan sekadar persembahan bersama yang menghimpunkan dua nama dalam satu barisan acara. FUGO dan Midnight Fusic bakal berkongsi pentas buat kali pertama dalam format konsert yang memberikan ruang lebih luas kepada kedua dua kumpulan untuk menampilkan karakter, muzik serta sisi persembahan yang mungkin jarang dapat disaksikan peminat dalam acara biasa.
Bagi peminat muzik tempatan, pertemuan ini pastinya mengundang rasa ingin tahu. Apakah yang akan berlaku apabila identiti Nu Vintage milik FUGO bertemu dengan dunia muzik Midnight Fusic yang bergerak daripada bossa nova, indie rock hingga garage rock?
Jawapannya bakal dipersembahkan di Odeon KL pada 17 Oktober nanti.
Panggung Sandiwara FUGO Dan Midnight Fusic Realisasikan Kolaborasi Yang Bermula Sejak 2024

Dianjurkan oleh Rockstation Event & Entertainment, Panggung Sandiwara: FUGO & Midnight Fusic bakal berlangsung pada Sabtu, 17 Oktober 2026, jam 8 malam di Odeon KL, Kuala Lumpur.
Konsert double bill ini menjadi pentas pertama yang menghimpunkan FUGO dan Midnight Fusic dalam skala konsert bersama, sekali gus merealisasikan idea yang telah mula tercetus lebih dua tahun lalu.
Pemilihan nama Panggung Sandiwara juga mempunyai cerita tersendiri apabila ia diinspirasikan daripada tajuk lagu kedua dua kumpulan yang berkongsi perkataan “Sandiwara”.
Bagi vokal utama FUGO, Hakim Kamal, peluang ini bukan sekadar mengenai persembahan di atas pentas, sebaliknya turut membuka ruang untuk mereka membawakan sejumlah lagu yang selama ini jarang dapat dipersembahkan secara langsung.
“Kami pernah berbincang mengenai kemungkinan untuk melakukan sesuatu bersama pada tahun 2024 ketika kami membuat persembahan di acara yang sama.
Dari segi muzik untuk konsert ini kami akan mainkan lagu lagu yang peminat kami gemari tetapi jarang dapat dimainkan di mana mana persembahan akibat kekangan masa,” katanya.
Kenyataan tersebut memberikan gambaran bahawa penonton bukan sahaja bakal mendengar lagu yang sudah dikenali, malah berpeluang menikmati sisi persembahan yang mungkin selama ini hanya tersimpan dalam repertoir kedua dua kumpulan.
Pengarah Urusan Rockstation Event & Entertainment, Mozylir Mokhtaruddin pula melihat gandingan tersebut sebagai satu pertemuan yang cukup tepat dengan perkembangan serta selera generasi baharu pendengar muzik.
“Rockstation Event & Entertainment sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan selera generasi baharu pendengar muzik. Pada pandangan kami, kedua dua kumpulan ini mempunyai identiti muzik yang kuat dan unik, mengakibatkan mereka mempunyai kelompok peminat yang sangat kukuh,” ujarnya.
Menurut beliau, menggabungkan kedua dua nama tersebut di atas satu pentas merupakan keputusan yang tepat dan diharapkan dapat memberikan pengalaman berbeza kepada penonton.
FUGO Dan Midnight Fusic Bawa Identiti Muzik Berbeza Dalam Satu Pentas

Jika ada satu perkara yang menjadikan konsert ini menarik, ia adalah pertembungan karakter muzik yang tidak serupa.
FUGO yang ditubuhkan pada 2019 di Kuala Lumpur terdiri daripada Hakim Kamal selaku vokal utama, gitar dan flugelhorn, Kayrol Ami sebagai pemain bass dan vokal latar serta Fai yang mengendalikan kibod, synthesizer, sequence playback dan vokal latar.
Kumpulan tersebut mula mencuri perhatian dalam landskap muzik indie tempatan menerusi lagu-lagu Balad Kala Hujan, selain memperkenalkan identiti muzik Nu Vintage yang menjadi sebahagian daripada karakter mereka.
Pendekatan FUGO memberikan mereka ruang tersendiri dalam kalangan peminat muzik alternatif tempatan, terutama menerusi karya yang mempunyai sentuhan nostalgia tetapi disampaikan dengan pendekatan kontemporari.
Sementara itu, Midnight Fusic mempunyai perjalanan yang lebih panjang dalam industri muzik tempatan.
Ditubuhkan ketika anggota mereka masih di usia remaja pada 2013, kumpulan ini kini sudah melangkaui satu dekad perjalanan muzik. Midnight Fusic terdiri daripada Arif Kamarudin sebagai vokal utama dan gitar, Adrian Daniel sebagai vokal utama dan gitar serta Firdaus Azmi sebagai pemain bass.
Sepanjang perjalanan mereka, kumpulan ini telah menghasilkan sejumlah lagu yang menjadi pilihan peminat termasuk Caramel Cream, Time Machine, Under The Weather, Cahayaku Lovesick dan Heart of May.
Keistimewaan Midnight Fusic terletak pada kemampuan mereka bergerak merentasi beberapa warna muzik, daripada bossa nova kepada indie rock dan garage rock, dengan melodi serta susunan muzik yang menjadi sebahagian daripada identiti mereka.
Maka, apabila dua dunia ini diletakkan dalam satu acara, Panggung Sandiwara mempunyai potensi untuk menjadi lebih daripada sekadar konsert biasa.
Ini, menjadi ruang untuk dua kelompok peminat menikmati muzik kegemaran mereka, pada masa sama memberi peluang kepada setiap kumpulan memperkenalkan sisi muzik masing masing kepada pendengar baharu.
Panggung Sandiwara FUGO Midnight Fusic Janjikan Persembahan Yang Sukar Dilupakan

Selain muzik, Panggung Sandiwara turut memberikan penekanan besar terhadap aspek visual.
Menurut vokal utama Midnight Fusic, Arif Kamarudin, kedua dua kumpulan bukan sahaja mahu menghasilkan persembahan yang kuat dari segi muzik, malah sedang memberikan perhatian serius terhadap keseluruhan pengalaman penonton.
“Selain aspek muzik, khusus buat konsert ini kami berusaha keras untuk menghasilkan konsep visual yang sangat memberi impak untuk dipersembahkan kepada penonton bermula daripada pra pengumuman, pengumuman konsert, bahan promosi sehinggalah ke konsert itu sendiri,” katanya.
Pendekatan tersebut menunjukkan bahawa pengalaman Panggung Sandiwara sudah dirancang sejak sebelum penonton melangkah masuk ke ruang konsert.
Arif turut menyifatkan peluang yang diberikan Rockstation sebagai satu ruang untuk mereka merealisasikan idea yang telah lama dibincangkan.
“Kami sangat berterima kasih atas peluang yang diberikan oleh Rockstation untuk merealisasikan perkara ini,” ujarnya.
Apa yang bakal berlaku di Odeon KL pada 17 Oktober nanti tentunya sukar dijangka sepenuhnya. Namun, satu perkara sudah jelas, FUGO dan Midnight Fusic tidak hadir sekadar untuk melengkapkan sebuah poster konsert.

Bagi Havoxians yang mahu menjadi sebahagian daripada pertemuan pertama FUGO dan Midnight Fusic di pentas konsert, tiket Panggung Sandiwara: FUGO & Midnight Fusic kini ditawarkan menerusi dua kategori utama.
PENTAS, tiket berdiri, pada harga RM89 untuk fasa jualan awal dan RM139 bagi jualan umum, manakala SANDIWARA, kategori tempat duduk premium, berharga RM129 untuk jualan awal dan RM189 bagi jualan umum.
Turut tersedia ialah EXCLUSIVE SESSION pada harga RM150 yang menawarkan sesi Meet & Greet serta beberapa pengalaman dan akses eksklusif sebelum konsert bermula. Tiket boleh didapati di panggungsandiwara.com dan jualan telah dibuka sejak 27 Ogos 2026 jam 10 pagi.