
Baru lima bulan meninggalkan Malaysia, Fabio Asher kembali membawa satu lagi janji kepada peminatnya, kali ini bukan sekadar menyanyikan lagu-lagu popular, tetapi mengajak mereka menyelami kembali kisah cinta, patah hati, kerinduan dan proses penyembuhan menerusi sebuah malam yang sarat emosi.
Fabio Fukrer Towoliu atau lebih dikenali sebagai Fabio Asher bakal kembali ke Kuala Lumpur pada 22 November 2026 untuk menjayakan Fabio Asher The Romanticist Live in Kuala Lumpur yang akan berlangsung di Megastar Arena.
Konsert anjuran Cerita Project & Events ini bakal menjadi acara julung kali diperkenalkan penganjur, dengan Fabio sebagai seorang Romanticist yang bukan sahaja menyampaikan muzik, malah bercerita menerusi setiap karya yang dibawakan.
Kepulangan dalam tempoh yang begitu singkat selepas pertemuan sebelumnya dengan peminat Malaysia juga memperlihatkan betapa kuatnya hubungan Fabio dengan pendengar tempatan. Lagu-lagu romantisnya seperti Bertahan Terluka, Rumah Singgah, Hati Lain Di Hatimu dan Akhir Yang Manis bukan sekadar menjadi hiburan, malah dekat dengan pengalaman peribadi mereka yang pernah merasai manisnya cinta atau pahitnya kehilangan.
Lebih menarik, konsep The Romanticist kali ini sengaja dibina untuk menjadikan kisah setiap penonton sebagai sebahagian daripada persembahan.
Fabio Asher Kembali Ke Malaysia, Angkat Konsep ‘The Romanticist’ Live in Kuala Lumpur

Menurut penganjur, Fabio Asher mempunyai keistimewaan tersendiri dalam menterjemahkan perasaan peribadi menjadi karya yang mudah dekat dengan hati pendengar. Meski setiap individu melalui pengalaman cinta yang berbeza, namun emosi dalam setiap lagu Fabio mempunyai keupayaan untuk berpasak di hati pendengarnya.
“Fabio Asher mempunyai keistimewaan dalam menterjemahkan perasaan peribadi menjadi lagu yang dekat dengan hati pendengar, walaupun setiap orang melalui pengalaman dan fasa cinta yang berbeza,” ujar wakil Cerita Project & Events.
Justeru, penganjur tidak melihat Fabio Asher The Romanticist Live in Kuala Lumpur sebagai sebuah konsert biasa yang hanya mengumpulkan lagu popular untuk dinyanyikan secara langsung. Sebaliknya, persembahan tersebut dirangka sebagai satu perjalanan emosi yang membawa penonton melalui beberapa fasa dalam percintaan.
“Kami mahu memaknai romantika itu daripada jatuh cinta, kerinduan, patah hati, kenangan, rasa tidak pasti, sehinggalah kepada proses menerima dan penyembuhan.
Setiap lagu mewakili satu babak dalam perjalanan cinta, membolehkan penonton menghayati emosi di sebalik muzik dan pada masa yang sama mengimbas kembali kisah mereka sendiri,” jelasnya.
Pendekatan itu memberikan dimensi berbeza kepada konsert berkenaan kerana Fabio bukan sahaja akan menjadi penyanyi di atas pentas, tetapi turut berperanan sebagai pencerita yang menghubungkan muzik dengan pengalaman penonton.
Lagu Romantis Fabio Asher Bakal Jadi Nadi Utama Persembahan

Kekuatan Fabio Asher selama ini sememangnya terletak pada karya yang mengangkat sisi romantis dan emosi manusia. Lagu seperti Bertahan Terluka dan Rumah Singgah, mempunyai tempat tersendiri dalam kalangan peminat yang menjadikan muzik sebagai ruang untuk memahami perasaan sendiri.
Tidak hairanlah apabila konsep The Romanticist begitu seiring dengan identiti muzik Fabio, daripada rasa cinta yang baru bermula sehinggalah kepada hati yang terpaksa belajar menerima kenyataan, peritnya luka apabila ditinggalkan.
Selaku Rakan Strategik, Jiwa Kacau turut menyifatkan konsert itu sebagai sebuah pengalaman yang melangkaui aktiviti menonton persembahan muzik semata-mata. Sebaliknya, The Romanticist mahu mewujudkan ruang pertemuan antara muzik dan emosi, dengan Fabio sebagai penghubung kepada kedua-dua elemen tersebut.
“Dengan suasana yang intim dan penuh perasaan, konsert ini mengajak penonton mengenali Fabio Asher bukan sahaja sebagai seorang penyanyi, tetapi sebagai seorang Romanticist dan pencerita, seseorang yang mengubah perasaan menjadi melodi dan kenangan menjadi lagu,” ujarnya.
Antara karya yang dijangka menghidupkan suasana pada malam tersebut termasuk Hati Lain Di Hatimu dan Akhir Yang Manis, serta barisan karya yang menjadi sebahagian daripada perjalanan muzik Fabio.
Fabio Asher Janjikan Malam Paling Manis Bersama Peminat Malaysia

Bagi Fabio sendiri, kepulangan ke Malaysia kali ini menjadi peluang untuk kembali berkongsi muzik dan kasih sayang bersama peminat yang sentiasa memberikan sokongan terhadap perjalanan seninya.
Penyanyi tersebut juga menjanjikan satu malam yang penuh romantis apabila bertemu dengan para peminat di Megastar Arena nanti.
“Saya punya banyak cinta untuk dikongsi dan biarkan bertebaran di ruang Megastar Arena Kuala Lumpur pada 22 November ini.
“Selamat bersenang-senang dan menikmati romantisnya pertemuan kita nanti di Fabio Asher The Romanticist Live in Kuala Lumpur. Malam ini kelak akan menjadi yang paling romantis dalam pertemuan kita,” kata Fabio.
Buat Fabio, sambutan yang diterima daripada peminat turut menjadi antara pencetus semangatnya untuk terus menghasilkan muzik. Sokongan tersebut bukan sahaja membuktikan penerimaan terhadap karya yang dihasilkan, tetapi menjadi satu bentuk hubungan dua hala antara penyanyi dan pendengar.
“Kalian tahu, kalian sentiasa membuat antusias saya mencipta muzik berapi-api. Terima kasih kerana telah menyambut cinta, galau lalu sentiasa mahu mendakap kehadiran saya dengan penuh bahagia. Sampai jumpa semua cinta hati saya,” ujarnya.
Mempertaruhkan konsep yang mengangkat cinta dalam pelbagai bentuk, The Romanticist berpotensi menjadi sebuah malam yang bukan hanya diraikan oleh pasangan kekasih. Mereka yang pernah melalui perpisahan, sedang merindui seseorang, masih menyimpan kenangan lama atau sekadar mahu menikmati muzik romantis juga mempunyai ruang untuk menemukan cerita masing-masing dalam persembahan Fabio.
Pada akhirnya, kisah cinta setiap manusia mungkin berbeza, tetapi perasaan yang lahir daripadanya sering kali mempunyai bahasa yang sama dan apabila perasaan itu diterjemahkan melalui lagu, sebuah persembahan muzik boleh berubah menjadi sesuatu yang jauh lebih peribadi.

Bagi Havoxians dan peminat yang mahu menjadi sebahagian daripada Fabio Asher The Romanticist Live in Kuala Lumpur, tiket akan mula dijual pada 4 September 2026, jam 3 petang menerusi IlassoTickets. Harga tiket bermula daripada RM158 bagi kategori Everlast, RM288 bagi Fabio, RM358 bagi Asher dan RM388 bagi VIP.
Sementara itu, Super VIP A ditawarkan pada harga RM1,288 untuk set berpasangan termasuk sesi pertemuan dan ramah mesra, manakala Super VIP B berharga RM1,188 untuk set berpasangan termasuk kemudahan yang sama.
Semua kategori tiket boleh dibeli secara dalam talian menerusi IlassoTickets. Jika ada satu nama, satu lagu atau satu kisah yang masih berlegar dalam fikiran, mungkin 22 November nanti adalah masa untuk membiarkan Fabio Asher menceritakannya semula melalui muzik.