
Ada karya yang lahir daripada perancangan yang tersusun, dan ada juga karya yang menemukan bentuk sebenarnya selepas melalui pelbagai ujian. Begitulah perjalanan ‘Bersua Nanti’, sebuah karya yang mempertemukan bakat baharu Izama dan Suraya Yusoff bersama nama popular industri muzik tanah air, MK KClique.
Di sebalik melodi yang kedengaran tenang dan gabungan R&B, Hip Hop serta sentuhan Jazz yang mengalir dalam lagu ini, tersimpan perjalanan produksi yang tidak semudah apa yang kelihatan. Malah, muzik video ‘Bersua Nanti’ pada asalnya dirancang untuk menjalani penggambaran di Morocco sebelum perancangan tersebut berdepan perubahan pada saat akhir.
Situasi itu memaksa pengarahnya, Fadhli Masoot, mencari jalan baharu untuk memastikan projek yang sudah melibatkan ramai pihak itu tetap diteruskan.
Menariknya, ‘Bersua Nanti’ juga bukan sekadar percubaan menggabungkan tiga nama dengan latar muzik berbeza. Lagu ini dibina melalui proses kolaborasi yang bermula daripada sebuah demo, kemudian berkembang apabila Suraya Yusoff dan Ali Nurazmal memberikan warna tersendiri terhadap lirik, melodi dan elemen Jazz sebelum MK KClique melengkapkan ruang terakhir dalam karya tersebut.
Penghasilan ‘Bersua Nanti’ Bermula Daripada Sebuah Demo Hingga Menemukan Identiti Muzik Tersendiri

Menurut Izama, perjalanan lagu ini bermula dengan demo awal yang dihasilkan bersama Wongie. Selepas demo tersebut disiapkan, beliau melihat keperluan untuk menghadirkan perspektif wanita bagi melengkapkan struktur lagu.
“Penghasilan lagu Bersua Nanti bermula dengan demo awal yang dihasilkan oleh saya dengan Wongie. Setelah selesai, saya decide untuk serahkan lagu ini kepada Suraya bagi mengisi ruang kosong dengan nada wanita dan duduk berbincang dengan Ali Nurazmal, abang Suraya, untuk mewarnai bait lirik dan lenggoknya,” kata Izama.
Bagi Suraya Yusoff pula, ‘Bersua Nanti’ membawa makna yang lebih peribadi kerana ia merupakan karya pertama yang dinyanyikan olehnya secara keseluruhan. Penglibatan abangnya, Ali Nurazmal, turut membantu membentuk identiti lagu menerusi eksplorasi terhadap lirik, melodi dan susunan yang mempunyai pengaruh Jazz.
“This is my first song as a full singer, with the help of my brother Ali Nurazmal in creating the lyrics and melody. I’ve always been interested in jazz, so my brother and I spent a lot of time exploring different ideas and arrangements. It took a lot of trial and error before we finally arrived at the final version,” jelas Suraya.
Gabungan tersebut akhirnya membentuk sebuah karya yang tidak terlalu terikat kepada satu genre. R&B memberikan ruang kepada sisi emosional lagu, Hip Hop memberikan karakter yang lebih moden, manakala elemen Jazz pula membantu menghasilkan warna yang lebih tersendiri.
Mengapa MK KClique Dipilih Untuk Melengkapkan Kolaborasi Bersama Izama dan Suraya Yusoff

Kemunculan MK KClique dalam ‘Bersua Nanti’ pula hadir daripada sebuah peluang yang pada awalnya tidak dijangka oleh Izama dan Suraya.
Sebagai bakat yang masih baharu dalam industri, mereka sendiri tidak meletakkan jangkaan tinggi bahawa MK akan bersetuju untuk menyertai karya tersebut. Namun, selepas demo dihantar oleh Fadhli Masoot untuk mendapatkan pandangan MK, respons yang diterima akhirnya membuka ruang kepada satu kolaborasi yang lebih besar.
“Sejujurnya, kami memang tak sangka MK KClique sudi nak join lagu ni pun. Yelah sebab saya dan Suraya boleh dikatakan pendatang baru dalam industri muzik ini.
Nak dijadikan cerita, Fadhli Masoot hantar demo untuk minta MK KClique dengar dan beri feedback. Alhamdulillah dia berminat dengan mengisi ruang verse yang terakhir bagi melengkapkan keseluruhan lagu,” kata Izama dan Suraya.
Menurut mereka, selepas MK merakamkan bahagiannya dan menghantar verse tersebut, ketiga-tiga elemen vokal itu dirasakan serasi dengan keseluruhan struktur lagu.
Kerjasama tersebut turut diteruskan dalam penggambaran muzik video apabila Fadhli Masoot memberikan pengarahan kepada setiap penyanyi bagi memastikan emosi dan jalan cerita dapat disampaikan melalui visual.
“Baik dan mudah. MK pun sangat senang bekerjasama dan beri komitmen yang baik sepanjang proses. Masa penggambaran MV pula, Fadhli Masoot selaku pengarah banyak beri direction untuk pastikan setiap babak dapat menyampaikan emosi dan jalan cerita lagu ini. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar,” ujar Izama.
Suraya turut melihat kehadiran MK sebagai satu elemen yang memberikan warna tambahan kepada karya berkenaan.
“Penglibatan MK KClique menambahkan seri dalam lagu dan MV kami dengan menampilkan seorang yang sangat merendah diri dan positif. Tiga orang dengan gaya berbeza dalam satu lagu menjadikan karya ini lebih sedap didengar dan difahami,” katanya.
Pertemuan tiga karakter inilah yang menjadi antara kekuatan utama ‘Bersua Nanti’. Setiap penyanyi hadir dengan identiti tersendiri, namun kesemuanya disatukan melalui sebuah cerita yang sama.
Muzik Video ‘Bersua Nanti’ Gunakan Visual Surreal Untuk Menggambarkan Konflik Manusia dan Petunjuk Ilahi

Jika lagu ini memilih pendekatan yang terbuka untuk ditafsirkan, muzik videonya pula meneruskan pendekatan sama.
Fadhli Masoot tidak mahu visual ‘Bersua Nanti’ diterjemahkan secara terlalu literal. Sebaliknya, beliau memilih pendekatan surreal dengan penggunaan simbol, warna dan lokasi untuk menggambarkan perjalanan dalaman manusia.
“Direction untuk MV ini terarah kepada visual surreal yang menggunakan simbolisme untuk menggambarkan perjalanan ringkas manusia dengan percubaan gaya sinematik.
Saya tidak mahu terlalu literal. Sebaliknya, saya cuba eksperimen metafora melalui visual bagi mewakili konflik dalaman manusia, godaan manusia dan petunjuk jalan manusia melalui aspek warna dan lokasi,” jelas Fadhli.
Menariknya, proses menghasilkan muzik video itu sendiri turut menjadi satu perjalanan yang penuh ujian buat Fadhli.
Penggambaran yang pada asalnya dirancang untuk dilakukan di Morocco terpaksa berdepan perubahan pada saat akhir selepas perancangan tersebut ditangguhkan. Keadaan itu bukan sahaja memberi kesan kepada jadual, malah turut melibatkan artis dan kru produksi yang sudah mengetepikan komitmen lain untuk projek tersebut.
Fadhli akhirnya mengambil tanggungjawab untuk mencari alternatif baharu bagi meneruskan produksi. Kemunculan JK Malatang membantu meringankan beban produksi dan membolehkan projek diteruskan.
Bagi Fadhli, pengalaman tersebut menjadi sebahagian daripada perjalanan yang akhirnya membawa ‘Bersua Nanti’ kepada bentuknya hari ini.
“Tidaklah memasang harapan yang terlalu tinggi. Cukup dengan penerimaan baik daripada pendengar sudah memadai. Cuma menariknya, apabila kita dengar dan kemudian tengok MV ini, ia akan memberi interpretasi yang berbeza atas faktor pemahaman tentang kecintaan manusia dan Tuhan,” katanya.
Kini, selepas melalui proses panjang daripada pembentukan demo, pencarian identiti bunyi, kemasukan MK KClique sehinggalah perubahan besar terhadap produksi muzik video, ‘Bersua Nanti’ akhirnya hadir sebagai sebuah karya yang memberi ruang kepada pendengar untuk menentukan sendiri maksud pertemuan, kehilangan dan pencarian yang ingin disampaikan.
Lagu ‘Bersua Nanti’ kini boleh didengari Havoxians di pelbagai platform digital, manakala muzik videonya yang diarahkan oleh Fadhli Masoot juga sudah tersedia untuk tontonan dan telah mencatatkan lebih 46,000 tontonan.