
Bayangkan satu malam apabila kisah kerajaan Melayu, legenda pelayar Nusantara, bunyi muzik tradisional, seni Silat dan bayang Wayang Kulit tidak lagi sekadar tinggal dalam buku sejarah atau pentas persembahan.
Sebaliknya semuanya hadir di hadapan mata, lengkap dengan sajian tradisional yang mengajak tetamu menikmati warisan bukan sahaja melalui pandangan dan pendengaran, tetapi juga melalui cita rasa.
Itulah pengalaman yang cuba dibawakan Kayangan menerusi produksi sulungnya, “Hikayat Nusantara”, yang secara rasmi memulakan pementasan di Aneka Walk, SA Sentral, Shah Alam.
Diterbitkan oleh KRU Studios, Kayangan tampil dengan pendekatan yang cukup berbeza terhadap persembahan budaya apabila elemen tradisional digabungkan dengan teknologi produksi moden bagi menghasilkan sebuah pengalaman malam yang lebih menyeluruh.
Bukan sekadar datang untuk menonton persembahan, tetamu dibawa menyelusuri sebuah perjalanan visual dan sensori yang mengangkat sejarah, legenda serta tradisi masyarakat Melayu dan rantau Nusantara.
Hanya satu malam, warisan yang sudah berakar sejak turun temurun diberi nafas baharu untuk dinikmati oleh generasi hari ini.
Kayangan Hidupkan Hikayat Nusantara Menerusi Wayang Kulit, Silat dan Teknologi Moden

Diinspirasikan dari seni tradisional Wayang Kulit, “Hikayat Nusantara” mengajak penonton menelusuri kisah kebangkitan kerajaan Melayu yang pernah menjadi sebahagian penting daripada sejarah rantau ini.
Perjalanan tersebut turut membawa penonton mengenali kisah pelayar legenda yang merentasi lautan silam, sebelum beralih kepada keindahan seni persembahan, keberanian Silat serta tradisi Tok Dalang yang sinonim dengan warisan Wayang Kulit.
Apa yang menjadikan persembahan ini lebih menarik ialah cara elemen tersebut dipersembahkan. Kayangan tidak memilih untuk mengasingkan warisan tradisional daripada perkembangan teknologi, sebaliknya menyatukan kedua duanya dalam sebuah produksi kontemporari.
Paparan LED terkini, sistem bunyi keliling dan pencahayaan pentas profesional digunakan bagi membentuk suasana yang lebih intim serta imersif. Hasilnya, kisah yang berakar daripada tradisi lama dapat disampaikan dalam bahasa visual yang lebih dekat dengan citarasa penonton masa kini.
Pendekatan sebegini juga membuka ruang untuk penonton daripada pelbagai generasi menikmati budaya Nusantara dalam suasana yang lebih santai dan menghiburkan.
Lebih penting, persembahan tersebut tidak berhenti pada kisah silam. Perjalanan “Hikayat Nusantara” akhirnya membawa penonton kembali kepada Malaysia masa kini, dengan meraikan perpaduan dan kepelbagaian budaya yang membentuk identiti negara.
Sekaligus menjadikan Kayangan bukan sekadar usaha mengimbau sejarah, tetapi sebuah pengalaman yang cuba menghubungkan warisan terdahulu dengan kehidupan masyarakat moden.
Santapan Kayangan Lengkapkan Pengalaman Budaya Dengan Cita Rasa Melayu Autentik

Jika “Hikayat Nusantara” menjadi nadi persembahan, Santapan Kayangan pula melengkapkan pengalaman tersebut melalui hidangan tradisional Melayu yang dikurasikan khas oleh Dato’ Chef Zam.
Konsepnya mudah tetapi mempunyai nilai budaya yang kuat. Setiap hidangan bukan sekadar makanan yang disediakan untuk mengisi perut, sebaliknya menjadi sebahagian daripada pengalaman mengenali warisan kulinari Malaysia.
Menu yang diinspirasikan daripada masakan tradisional dan resipi yang diwarisi turun temurun memberi peluang kepada tetamu menikmati cita rasa yang mempunyai hubungan rapat dengan sejarah serta budaya masyarakat Melayu.
Dalam konteks Kayangan, makanan menjadi satu lagi medium penceritaan. Selepas melihat dan mendengar kisah Nusantara dipersembahkan di pentas, tetamu kemudiannya dapat merasai sendiri elemen warisan tersebut menerusi hidangan yang disediakan.
“Makanan sentiasa menjadi antara cara paling indah untuk menyatukan manusia. Setiap resipi membawa kenangan yang berharga, dan setiap cita rasa mencerminkan warisan kita,” kata Chef Zam.
Kata-kata tersebut cukup menggambarkan pendekatan Kayangan yang mahu menjadikan makanan sebagai pengalaman yang mempunyai nilai emosi, bukannya sekadar pelengkap kepada persembahan.
Malah, daripada suasana persembahan kepada hidangan yang tersedia, keseluruhan konsep direka supaya tetamu merasakan mereka sedang menyertai sebuah pengalaman malam yang lengkap.
Dalam erti kata lain, Kayangan cuba mengubah cara persembahan budaya dinikmati. Penonton tidak hanya duduk menyaksikan sebuah persembahan dari awal hingga akhir, tetapi turut menikmati suasana, makanan dan elemen hospitaliti dalam satu pengalaman yang saling melengkapi.
Pengalaman Santapan Budaya Kayangan Sasarkan Keluarga, Pelancong dan Dunia Antarabangsa

Menerusi aspirasi “Dicipta untuk Rakyat Malaysia, Dipersembahkan kepada Dunia”, Kayangan jelas membawa misi yang lebih besar daripada sekadar memperkenalkan sebuah produk hiburan baharu.
Platform ini dirangka untuk membolehkan rakyat Malaysia mengenali semula kekayaan warisan budaya sendiri, pada masa sama memperkenalkan budaya Malaysia dan Nusantara kepada pelancong antarabangsa melalui pendekatan yang lebih moden dan mudah didekati.
Sasaran Kayangan juga merangkumi pelbagai kelompok termasuk keluarga, rakan taulan, pelancong domestik dan antarabangsa, kumpulan pelancongan, sektor korporat serta tetamu diplomatik dan rasmi.
Pilihan lokasi di Aneka Walk, SA Sentral, Shah Alam turut menjadi sebahagian daripada konsep tersebut. Destinasi gaya hidup yang dikendalikan oleh KRU Entertainment itu menyediakan suasana santapan budaya alfresco yang elegan, selain disokong oleh infrastruktur hiburan profesional.

Gabungan tersebut membolehkan tetamu menikmati sajian Malaysia, layanan mesra dan seni persembahan dalam satu destinasi tanpa perlu memisahkan pengalaman makan dan hiburan kepada dua aktiviti berbeza.
Sekadar info Havoxians, khusus untuk bulan pembukaan September, Kayangan menawarkan harga pengenalan istimewa RM89.90 untuk dewasa dan RM59.90 untuk kanak kanak.
Memandangkan pengalaman ini dikurasikan berdasarkan jumlah kehadiran yang telah disahkan, penyediaan makanan, susunan tempat duduk dan persembahan turut dirancang mengikut jumlah tetamu. Justeru, pengunjung digalakkan membuat tempahan awal bagi memastikan tempat tersedia. Kemasukan tanpa tempahan awal adalah tertakluk kepada kekosongan dan tidak dapat dijamin.
Kayangan merupakan hasil kolaborasi Rich Talents Resources, Kruniverse dan Runningmen Celebrations yang menghimpunkan kepakaran dalam bidang kulinari, hospitaliti, hiburan dan pengurusan acara.