
Dari Gemilang yang pernah mengangkat Jaclyn Victor sebagai juara Anugerah Juara Lagu, hinggalah Memori Tercipta, Seribu Impian dan Menuju Puncak yang terus dikenang generasi demi generasi, karya Aubrey Suwito bukan sekadar melodi yang pernah menghiasi radio.
Kini, lagu-lagu yang telah membentuk sebahagian daripada wajah muzik pop Malaysia itu bakal kembali ke pentas dalam sebuah pengalaman yang jauh lebih besar apabila National Symphony Orchestra (NSO) bergandingan bersama Aubrey Suwito menerusi NSO with Aubrey Suwito “Pop Meets Symphony” di Panggung Sari, Istana Budaya pada 2 dan 3 Oktober 2026.
Lebih menarik, persembahan ini bukan sekadar sebuah konsert orkestra biasa. Ia menjadi pentas penghargaan terhadap seorang komposer, pengubah muzik dan penerbit yang telah menghabiskan puluhan tahun mencorakkan bunyi muzik popular tanah air.
Menerusi persembahan selama dua malam itu, sebanyak 16 karya Aubrey bakal diberi nafas baharu menerusi susunan simfoni, sekali gus menawarkan peluang kepada penonton untuk mendengar lagu lagu yang begitu dekat dengan memori mereka dalam dimensi yang berbeza.
Malah, jika nostalgia itu sendiri belum cukup untuk membuatkan peminat muzik teruja, sebuah kejutan turut menanti apabila Aubrey bakal mempersembahkan lagu baharu ciptaannya untuk Shiha Zikir buat pertama kali secara eksklusif di Istana Budaya.
Perjalanan Panjang Aubrey Suwito Membentuk Muzik Pop Malaysia

Pemilihan Aubrey Suwito sebagai tokoh yang diketengahkan menerusi program ini sememangnya hadir dengan alasan yang kukuh. Memiliki latar belakang akademik sebagai pemegang Master of Creative Arts (MOCA) dan graduan Berklee College of Music dengan anugerah Summa Cum Laude, Aubrey membina reputasi bukan sahaja sebagai pencipta lagu, tetapi sebagai figura penting dalam perkembangan muzik moden Malaysia.
Sepanjang kerjayanya, Aubrey telah meraih sebanyak 26 Anugerah Industri Muzik (AIM) dalam pelbagai kategori, termasuk Album Terbaik Tahunan, Susunan Muzik Terbaik, Penerbit Album Pop Terbaik, Pencipta Lagu Etnik dan Bahasa Inggeris Terbaik serta kategori berkaitan rakaman dan kejuruteraan bunyi.
Namanya turut sinonim dengan beberapa karya yang mencipta detik penting dalam pertandingan muzik tempatan dan serantau. Gemilang nyanyian Jaclyn Victor misalnya berjaya muncul sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke 20 dan RTM Carta Hitz 1 pada 2005. Lebih Indah oleh Dato’ Sri Siti Nurhaliza pula membawa kemenangan di Anugerah Planet Muzik 2014, manakala Memori Tercipta oleh Shila Amzah turut mencatat pencapaian tertinggi di World Star Quest pada 2008.
Deretan karya tersebut memperlihatkan satu perkara yang sukar dinafikan. Muzik Aubrey mempunyai kemampuan untuk bergerak merentas generasi, genre dan pentas.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Istana Budaya, Johan Cruyff @ Md Nordin, pemilihan Aubrey sebagai tokoh muzik yang diketengahkan amat bertepatan dengan pencapaian serta sumbangannya dalam melakar sejarah industri muzik tempatan sehingga ke peringkat antarabangsa.
“Pemilihan Aubrey Suwito sebagai tokoh muzik yang diketengahkan ini amatlah bertepatan dengan pelbagai pencapaian serta sumbangan beliau dalam melakar sejarah industri muzik tempatan hinggalah ke tahap antarabangsa,” katanya.
16 Karya Aubrey Suwito Bakal Diberi Nafas Simfoni

Apa yang menjadikan NSO with Aubrey Suwito “Pop Meets Symphony” lebih istimewa ialah bagaimana karya karya popular tersebut bakal diterjemahkan melalui kekuatan sebuah orkestra.
Sebanyak 16 buah lagu akan dipersembahkan menerusi tiga segmen utama iaitu Inspirasi, Ekspresi dan Apresiasi. Antara karya yang bakal bergema di Panggung Sari termasuk Gemilang, Seribu Impian, Memori Tercipta, Gemuruh, Awan Yang Terpilu dan Menuju Puncak.
Bagi peminat muzik yang sudah biasa mendengar lagu lagu ini dalam bentuk rakaman asal, versi simfoni pastinya menawarkan pengalaman yang berbeza. Melodi yang selama ini dikenali melalui susunan pop akan diberikan ruang lebih luas menerusi permainan instrumen orkestra, sekali gus membolehkan emosi dan karakter setiap karya diterokai dari sudut yang baharu.

Tiga penyanyi popular tanah air iaitu Ernie Zakri, Syamel dan Shiha Zikir pula bakal menjadi suara utama yang menghidupkan karya karya tersebut di atas pentas.
Konduktor NSO, Eric Lee, melihat persembahan ini sebagai kesinambungan kepada usaha NSO dalam meraikan bakat muzik tempatan.
“Jika sebelum ini NSO mengangkat serta mendukung pelapis bakat bakat pemuzik tempatan menerusi Lambang Sari Series, kali ini kita ingin menghargai jasa tokoh komposisi muzik tanah air yang telah banyak menyumbang bakti kepada negara iaitu Aubrey Suwito,” katanya.
Bukan itu sahaja, pentas ini turut menjadi lokasi untuk sebuah momen yang berpotensi mencuri perhatian peminat muzik apabila Aubrey bakal memperkenalkan lagu baharu ciptaannya untuk Shiha Zikir. Karya tersebut akan diperdengarkan buat kali pertama secara eksklusif kepada penonton di Istana Budaya.
Menariknya, penonton bukan sekadar datang menyaksikan semula lagu-lagu yang pernah mereka dengari, tetapi turut berpeluang menjadi antara yang pertama mendengar sebuah karya baharu daripada Aubrey.
Dari David Foster Hingga Istana Budaya, Legasi Aubrey Terus Berkembang

Pengaruh Aubrey Suwito juga tidak terhenti di sebalik studio rakaman atau pertandingan muzik tempatan. Sepanjang perjalanan kerjayanya, beliau pernah terlibat dalam persembahan bersama sejumlah nama besar antarabangsa termasuk David Foster, Brian McKnight, Peter Cetera, CeeLo Green, John “Jr” Robinson, Chaka Khan, Eric Benet dan Babyface.
Beliau turut pernah bekerjasama dengan bintang serantau dan tempatan seperti Kris Dayanti dan Yuna, selain menghasilkan enam album muzik sendiri serta terlibat dalam pelbagai projek sebagai penerbit, pengarah muzik dan penggubah muzik filem.
Justeru, Pop Meets Symphony boleh dilihat sebagai satu bentuk apresiasi terhadap keseluruhan perjalanan tersebut. Ia bukan semata mata mengenai lagu popular, sebaliknya mengenai seorang pengkarya yang berada di belakang sebahagian daripada lagu yang pernah menjadi runut bunyi kehidupan ramai pendengar.
Istana Budaya sendiri melihat penghargaan terhadap tokoh seperti Aubrey sebagai sesuatu yang penting bagi memastikan sumbangan penggiat muzik tempatan terus dikenang dan diraikan.
Apabila karya seperti Gemilang, Memori Tercipta dan Seribu Impian dipersembahkan semula bersama NSO, ia bukan sekadar menghidupkan nostalgia. Ia mempertemukan sejarah muzik pop Malaysia dengan kekuatan muzik simfoni dalam sebuah pentas yang meraikan legasi, kreativiti dan kesinambungan seni.
Lebih menarik, persembahan ini turut mendapat sokongan rakan strategik menerusi kerjasama dengan Music Bliss, pengedar rasmi alat muzik dan piano jenama Kawai dari Jepun di Malaysia, serta Apa Khabar Malaysia, program bual bicara pagi terbitan BERNAMA TV yang memberikan sokongan terhadap publisiti dan promosi program.
Sekadar info Havoxians, NSO with Aubrey Suwito “Pop Meets Symphony” akan berlangsung pada 2 dan 3 Oktober 2026, jam 8.30 malam di Panggung Sari, Istana Budaya.
Tiket boleh didapati menerusi CloudJoi dengan harga bermula RM78 bagi Gemilang, RM128 bagi Memori Tercipta, RM168 bagi Seribu Impian, RM188 bagi Awan Yang Terpilu dan RM259 bagi Gemuruh.
Diskaun 10 peratus turut ditawarkan kepada warga emas, pemegang Kad OKU, pelajar dan penjawat awam bagi kategori Awan Yang Terpilu, menjadikan harga selepas diskaun RM169.20. Bagi peminat muzik yang mahu merasai sendiri pertemuan antara lagu pop ikonik dan kuasa simfoni, dua malam ini memang patut masuk dalam kalendar.