
Tidak semua perkahwinan ditakdirkan untuk berkekalan, ada yang putus ditengah jalan dan berakhir kerana cinta sudah tiada. Namun, ada pula yang berakhir kerana seseorang itu merasa terlalu lama hanyut dan akhirnya kehilangan diri sendiri.
Itulah yang dirasai Ekin (Zara Zya), apabila perceraian bukan sekadar memutuskan sebuah hubungan, tetapi dalam masa sama memaksanya berdepan seorang lelaki yang selama ini dianggap suami tempat berlindung, hingga timbul persoalan tentang siapa dirinya apabila lelaki itu tidak lagi berada di sisi.
Lebih menyakitkan, lelaki yang pernah berjanji untuk menjaga, akhirnya menjadi antara sebab Ekin hancur hingga perlu mengutip semula serpihan hidupnya.
Namun, ketika dia sedang belajar berdiri dengan kaki sendiri, hadir seorang lelaki yang jauh lebih muda. Han yang tidak datang dengan janji untuk menyelamatkan Ekin. Han memilih untuk memahami, menghargai dan memberi ruang kepada wanita itu untuk menjadi dirinya sendiri.
Juaterus, di sinilah kisah Sekali Lagi, Bahagia menjadi lebih menarik. Kerana persoalannya bukan sekadar lelaki mana yang akan menjadi pilihan Ekin?
Lebih rumit, apabila pilihan itu datang bersama pandangan masyarakat, stigma terhadap wanita yang bercerai, tanggungjawab sebagai seorang ibu dan bayang bayang hubungan lama yang masih belum benar benar berakhir.
Menerusi naskhah terbitan Orange Tree arahan Jamal Khan, Sekali Lagi, Bahagia cuba membawa penonton melihat perceraian dan peluang kedua daripada sisi yang lebih manusiawi, bukan sekadar tentang mencari pasangan baharu, tetapi tentang seorang wanita yang sedang belajar mendapatkan semula dirinya.
Sekali Lagi, Bahagia Angkat Kisah Wanita Bangkit Dari Sebuah Perkahwinan Toksik

Watak Ekin yang dilakonkan oleh Zara Zya menjadi nadi utama perjalanan cerita ini, Ekin bukan sekadar seorang wanita yang melalui perceraian. Dalam masa sama, menggalas tanggungjawab seorang ibu yang perlu berdepan dengan perubahan besar dalam kehidupannya.
Lebih mencabar apabila sumber kewangannya disekat sehingga dia terpaksa bermula semula dari kosong, sehubungan itu, Ekin tidak memilih untuk selamanya rebah tetapi memilih untuk bangkit.
Situasi tersebut membuka ruang kepada persoalan yang lebih dekat dengan realiti masyarakat. Apakah yang berlaku kepada seorang wanita apabila identitinya terlalu lama bergantung kepada status sebagai isteri?
Bagaimana seseorang ibu membina semula kehidupannya apabila perceraian bukan sahaja mengubah hubungan dengan pasangan, malah turut memberi kesan kepada kedudukan kewangan, keluarga dan anak?
Zara Zya sendiri melihat perkembangan Ekin sebagai proses yang perlu berlaku secara berperingkat dan tidak dibuat secara tiba tiba.
“Namun secara peribadi cabaran sebagai Ekin adalah memastikan setiap perubahan terasa natural dan bersebab.
Ekin tidak tiba-tiba menjadi wanita yang kuat, sebaliknya dia melalui pelbagai pengalaman yang mengubah cara dia melihat dirinya sebagai seorang isteri, ibu dan wanita yang berhak menentukan kehidupannya sendiri,” ujar Zara Zya.
Kenyataan tersebut memberikan gambaran bahawa kekuatan Ekin (Zara Zya) bukan terletak pada bagaimana dia mampu melupakan masa lalu, tetapi bagaimana dia belajar hidup selepas melaluinya.
Zara Zya, MK K Clique Dan Izzue Islam Tampil Dengan Tiga Karakter Yang Mencetuskan Persoalan Tentang Cinta

MK K Clique membawakan watak Han, seorang lelaki yang digambarkan sebagai individu dengan ciri lelaki green flag. Menariknya, Han tidak hadir sebagai watak yang cuba mengambil alih kehidupan Ekin atau menentukan apa yang terbaik untuk wanita tersebut.
Sebaliknya, hubungan mereka membuka ruang kepada persoalan tentang bentuk sokongan yang sebenarnya diperlukan seseorang selepas melalui pengalaman pahit.
Adakah seseorang yang pernah terluka memerlukan penyelamat atau hanya memerlukan individu yang sanggup memahami dirinya tanpa menghakimi?
Bagi MK K Clique, watak Han turut mempunyai cabaran tersendiri kerana karakter tersebut perlu dibawakan secara jujur supaya hubungan yang terbentuk kelihatan semula jadi.
“Saya mengambil pendekatan melakukan semuanya secara jujur dan ikhlas supaya semuanya nampak natural,” katanya.
Dalam masa sama, Izzue Islam pula tampil sebagai Remy, karakter antagonis yang mempunyai sisi berbeza daripada watak Han.
Sebagai watak antagonis, Remy membawa sisi lelaki red flag yang mencetuskan konflik dalam kehidupan Ekin. Izzue memilih untuk mendekati watak tersebut dengan memahami karakter dan membina perwatakannya secara natural.
Pertembungan antara Han dan Remy akhirnya bukan hanya mencetuskan konflik percintaan. Ia turut memperlihatkan dua bentuk hubungan yang berbeza serta kesannya terhadap seorang wanita yang sedang cuba mendapatkan semula identiti dirinya.
Menurut pengarah Jamal Khan, kekuatan drama ini terletak pada emosi yang berjaya diterjemahkan oleh ketiga-tiga pelakon utama Zara Zya, MK K Clique dan Izzue Islam.
“Sekali Lagi, Bahagia bukan sekadar kisah mencari cinta baharu, tetapi tentang manusia yang melakukan kesilapan dan bagaimana mereka memilih untuk belajar serta memperbaikinya,” ujar Jamal Khan.
Drama Sekali Lagi, Bahagia Sentuh Stigma Perceraian, Ibu Tunggal Dan Peluang Kedua

Menariknya, apa yang menjadikan Sekali Lagi, Bahagia lebih daripada sebuah drama romantik ialah keberaniannya membawa isu yang dekat dengan kehidupan masyarakat.
Perceraian sering dilihat sebagai pengakhiran sebuah hubungan. Namun bagi Ekin, perceraian menjadi permulaan kepada perjalanan yang jauh lebih panjang.
Apabila Ekin (Zara Zya) perlu berdepan dengan pandangan masyarakat, kehidupan sebagai ibu yang membesarkan anak serta hubungan dengan bekas pasangan yang toksik.
Pada masa sama, drama ini turut menyentuh persoalan hak penjagaan anak dan bagaimana konflik antara orang dewasa boleh memberi kesan kepada emosi serta kehidupan seorang anak. Dalam konteks ini, trauma bukan hanya sesuatu yang dialami oleh individu yang berada dalam hubungan tersebut. Kesan sebuah hubungan yang tidak sihat boleh merebak kepada seluruh keluarga.

Drama ini juga mengajak penonton melihat stigma terhadap wanita yang bercerai dari sudut yang lebih manusiawi. Apabila seorang wanita memilih untuk membina kehidupan baharu, adakah masyarakat akan melihatnya sebagai individu yang sedang bangkit atau terus menghukumnya berdasarkan status perkahwinan yang telah berakhir?
Adakah seorang wanita yang pernah gagal dalam perkahwinan tidak lagi berhak menentukan siapa yang ingin dicintainya?
Mungkinkah cinta kedua hadir bukan untuk menyelamatkan seseorang, tetapi untuk mengingatkan bahawa dirinya masih mempunyai hak untuk dicintai dan dihargai?
Havoxians boleh menyaksikan Sekali Lagi, Bahagia yang ditayangkan menerusi 12 episod bermula minggu hadapan, hanya di iQIYI.
Sekadar recap, pelancaran Sekali Lagi, Bahagia, turut dimeriahkan dengan kehadiran Mentos Yes To Fresh yang merupakan penaja dan rakan kolaborasi kempen bersama iQIYI dalam menyokong usaha membawa kandungan tempatan lebih dekat kepada penonton Malaysia.