
Selama ini peminat Malaysia hanya mengenali Cheng Lei menerusi watak yang muncul di skrin. Namun, apabila pelakon itu akhirnya berdiri sendiri di hadapan mereka, suasananya ternyata jauh berbeza.
Bukan sekadar sapaan biasa atau kemunculan untuk memenuhi acara, Cheng Lei terus mencuri perhatian apabila cuba bertutur dalam Bahasa Melayu, melayan peminat menerusi permainan interaktif dan berkongsi momen penuh emosi bersama mereka.
Satu demi satu momen itu menjadikan kemunculan sulung Duta Global Antarabangsa iQIYI, Cheng Lei di Malaysia lebih daripada sekadar acara bertemu peminat.
Malah, cara bintang How Dare You!? itu berinteraksi dengan peminat tempatan membuktikan bahawa jarak antara seorang pelakon dengan penontonnya boleh menjadi begitu dekat apabila mereka akhirnya bertemu secara bersemuka.
Cheng Lei Sanggup Belajar Bahasa Melayu Demi Peminat

Antara momen yang paling mendapat perhatian sepanjang iQIYI STARSHIP 2026 ialah ketika Cheng Lei mencuba beberapa ungkapan Bahasa Melayu untuk berinteraksi dengan peminat tempatan.
Usaha kecil itu ternyata memberikan impak besar apabila peminat menyambutnya dengan sorakan dan gelak tawa. Walaupun ringkas, percubaan tersebut menjadi salah satu momen yang membuatkan kemunculan sulung di Malaysia terasa lebih dekat dan peribadi.
Lebih menarik, Cheng Lei tidak hanya muncul untuk menyampaikan ucapan kepada peminat. Beliau turut mengambil bahagian dalam permainan interaktif yang memberi peluang kepada peminat melihat personalitinya di luar watak yang sering dibawakan dalam drama.
Perbezaan antara Cheng Lei sebagai pelakon di layar dengan dirinya ketika berhadapan peminat secara langsung turut menjadi sebahagian daripada tarikan acara tersebut.
Jika di kaca televisyen penonton sering melihatnya menghidupkan watak dengan pelbagai lapisan emosi, di pentas iQIYI STARSHIP, kini beliau tampil dengan sisi yang lebih ringan dan bersahaja.
Namun, suasana berubah menjadi lebih sentimental apabila Cheng Lei diberikan peluang membaca mesej daripada peminat serta menonton sebuah video khas yang dihasilkan oleh mereka.

Momen tersebut memperlihatkan hubungan dua hala antara seorang pelakon dengan penonton yang selama ini mengikuti perjalanan kerjayanya dari jauh.
Reaksi Cheng Lei terhadap mesej dan video berkenaan turut memberikan dimensi yang lebih peribadi kepada kunjungan sulungnya. Ia bukan lagi sekadar sebuah acara hiburan, sebaliknya menjadi ruang untuk beliau melihat sendiri bentuk sokongan yang diberikan peminat Malaysia.
Kemuncak acara terbuka kepada umum itu menyaksikan Presiden iQIYI International, Yang Xianghua, menyampaikan anugerah penghargaan kepada Cheng Lei sebagai tanda pengiktirafan terhadap peranannya sebagai Duta Global Antarabangsa iQIYI.
Bagi iQIYI, kemunculan Cheng Lei di Malaysia turut mencerminkan usaha berterusan platform tersebut dalam menghubungkan bakat dari China dengan penonton di rantau Asia Tenggara.
Pengarah Urusan Kanan iQIYI Asia Tenggara, Dinesh Ratnam berkata sambutan terhadap hiburan China di Malaysia terus menunjukkan perkembangan positif.
“Membawa iQIYI STARSHIP ke Malaysia buat kali kedua pada tahun ini mencerminkan kekuatan pasaran Malaysia serta peningkatan minat dan penglibatan peminat tempatan terhadap hiburan dari China,” katanya.
Menurut beliau, kemunculan Cheng Lei melengkapkan siri kehadiran artis China yang dibawa iQIYI lebih dekat kepada peminat tempatan, selepas penampilan Luo Zheng, Chen Zheyuan dan Esther Yu sebelum ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa pendekatan iQIYI menerusi promosi drama, acara bersama peminat dan pengalaman eksklusif bertujuan membawa pengalaman hiburan melangkaui skrin, selain mengeratkan hubungan antara artis China dengan penonton tempatan.
Cheng Lei Kukuhkan Populariti Menerusi Drama China Popular

Kemunculan Cheng Lei di Malaysia hadir ketika namanya semakin mendapat perhatian dalam kalangan penonton drama China antarabangsa.
Pelakon itu mempunyai portfolio lakonan yang merangkumi beberapa karya popular di iQIYI International, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara wajah yang semakin dikenali oleh penonton di luar China.
Antara karya yang mendapat perhatian ialah How Dare You!? menerusi watak Xiahou Dan, seorang “maharaja yang berpindah dunia” yang mempunyai sisi perwatakan penuh kontras.
Watak tersebut memberikan Cheng Lei ruang untuk memperlihatkan kemampuan membawakan karakter dengan personaliti dan emosi yang berbeza, selain menarik perhatian penonton terhadap lakonannya.
Selain How Dare You!?, Cheng Lei turut membintangi Legend of the Female General dan Shadow Love.
Perkembangan kerjayanya juga terus dinantikan apabila peminat bersiap sedia untuk menyaksikan kemunculannya dalam drama terbaharu, Leading Stars.
Menerusi setiap karya baharu, perhatian terhadap Cheng Lei bukan sahaja datang daripada penonton di China, malah turut berkembang dalam kalangan peminat antarabangsa yang mengikuti drama China menerusi platform penstriman.
Namun, bagi Cheng Lei sendiri, populariti bukanlah satu satunya perkara yang dibawa pulang daripada kunjungan pertamanya ke Malaysia.
Beliau mengakui pengalaman bertemu peminat tempatan memberikan kenangan tersendiri.
“Ini merupakan kali pertama saya menyertai iQIYI STARSHIP di Malaysia dan saya sangat gembira dapat bertemu dengan semua peminat di sini. Sambutan yang diberikan sangat luar biasa dan melihat sendiri keterujaan semua orang menjadikan kunjungan kali ini lebih bermakna dan sukar dilupakan,” ujarnya.
Cheng Lei turut menyampaikan penghargaan terhadap sokongan yang diterimanya dan berharap dapat kembali ke Malaysia pada masa akan datang.
Ungkapan tersebut cukup menggambarkan bagaimana acara peminat bukan sekadar menjadi ruang promosi untuk seseorang artis, tetapi turut membuka peluang untuk mereka mengenali penonton yang selama ini menyokong karya mereka dari jauh.
Dari Pentas iQIYI STARSHIP ke Sidang Media, Cheng Lei Dedah Sisi Berbeza

Selepas selesai acara terbuka kepada umum, Cheng Lei meneruskan agenda kunjungannya dengan menghadiri sesi sidang media khas bersama media Malaysia dan serantau.
Sesi tersebut memberikan peluang kepada pihak media untuk mengenali Cheng Lei dengan lebih dekat, khususnya mengenai pandangannya terhadap Malaysia serta pengalaman pertamanya berinteraksi secara langsung dengan peminat tempatan.
Antara perkara yang dikongsikan termasuk pengalaman menikmati makanan Malaysia, pandangannya terhadap negara ini serta perjalanan kerjayanya sebagai seorang pelakon.
Perbincangan mengenai kerjaya turut membuka perspektif terhadap proses di sebalik watak yang dilihat penonton di skrin.
Bagi seorang pelakon, setiap watak bukan sekadar bergantung kepada dialog dan penampilan, sebaliknya memerlukan pemahaman terhadap karakter, emosi serta situasi yang membentuk jalan cerita.
Perjalanan Cheng Lei daripada satu watak kepada watak lain juga menunjukkan perkembangan seorang pelakon yang terus mencabar dirinya menerusi karya berbeza.
Kunjungan sulungnya ke Malaysia akhirnya menjadi lebih daripada sekadar sebuah acara bertemu peminat. Sekaligus memperlihatkan bagaimana sebuah drama yang bermula di skrin mampu mencipta komuniti peminat merentasi sempadan.
Bagi Havoxians dan peminat Malaysia, peluang melihat Cheng Lei berdiri di hadapan mereka, mencuba Bahasa Melayu, bermain bersama peminat dan membaca mesej sokongan secara langsung menjadi memori yang jauh berbeza daripada sekadar menonton drama di rumah.
Dalam masa sama, kemunculan ini memperlihatkan usaha iQIYI untuk membawa bintang dan kandungan China lebih dekat dengan penonton Asia Tenggara menerusi pengalaman yang lebih interaktif.