
Bayangkan anda sudah meninggalkan dunia yang pernah menguji seluruh hidup anda. Lima tahun berlalu, anda memilih ketenangan, keluarga dan kehidupan yang jauh daripada bunyi enjin serta deruman tayar di atas trek.
Namun apabila takdir memaksa anda kembali, segala luka lama, rasa bersalah dan persoalan yang belum terjawab turut kembali bersama. Itulah perjalanan yang menanti Ajeet dalam TERBANG.
Tetapi kali ini, dia bukan sekadar kembali untuk memandu sebuah kereta rali. Dia perlu kembali percaya kepada dirinya sendiri, belajar bergandingan dengan seorang pemandu muda yang panas baran dan membawa sebuah pasukan Malaysia menghadapi cabaran di pentas dunia.
Di sebalik deruman enjin dan aksi perlumbaan yang pantas, TERBANG sebenarnya membawa satu persoalan, apabila kita pernah gagal, adakah kita sanggup kembali ke tempat yang paling mengingatkan kita tentang kegagalan itu?
Justeru, TERBANG tidak dibangunkan semata-mata sebagai filem sukan permotoran. Di bawah arahan pengarah Chiu Keng Guan, kisah ini cuba mengimbangi elemen aksi dengan emosi dan hubungan antara watak supaya perjalanan yang dipaparkan terasa dekat dengan penonton.
Mengambil inspirasi daripada perjalanan pasukan rali Malaysia yang diketuai legenda Karamjit Singh, filem ini turut membawa gagasan bahawa kejayaan bukan lahir daripada usaha seorang individu sahaja. Sebaliknya, ia tercipta apabila kepakaran, keberanian dan kepercayaan dapat digerakkan ke arah matlamat yang sama.
TERBANG Hidupkan Dunia Rali Dengan Aksi Realistik Dan Skala Produksi Antarabangsa

Salah satu cabaran terbesar dalam menghasilkan TERBANG ialah memastikan dunia perlumbaan rali dapat diterjemahkan dengan cukup realistik untuk membuatkan penonton seolah-olah berada di dalam kereta bersama watak utama.
Bagi mencapai pengalaman tersebut, pasukan produksi WooHoo Pictures memberi perhatian terhadap pelbagai aspek teknikal termasuk cara merakam aksi berkelajuan tinggi, koreografi perlumbaan, reka bentuk bunyi dan penggunaan props yang menepati latar masa cerita.
Penggambaran pula berlangsung di beberapa lokasi termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Perlis dan New Zealand. Perbezaan lokasi ini bukan sekadar memberikan variasi visual, malah membantu memperkukuhkan skala cerita yang bermula daripada pengalaman tempatan sebelum bergerak ke pentas lebih besar.
Menurut Penerbit Eksekutif TERBANG dan Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, filem tersebut sememangnya dibangunkan untuk menjadi sebuah kisah yang boleh dinikmati oleh penonton daripada pelbagai latar.
“Kami melihat TERBANG sebagai sebuah filem Malaysia untuk semua,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kekuatan filem itu terletak pada keseimbangan antara emosi, aksi dan penceritaan tanpa menjadikan mesej sebagai satu-satunya tumpuan.
Kisah Ajeet Dan Kitt Jadikan TERBANG Lebih Daripada Filem Perlumbaan

Malah, di antara dunia rali tersebut ialah Ajeet, seorang bekas pelumba yang memilih untuk meninggalkan dunia perlumbaan demi mencari ketenangan bersama isterinya, Lisa. Namun selepas lima tahun, keadaan memaksanya kembali ke trek.
Kepulangannya bukan mudah apabila dia perlu bergandingan dengan Kitt, seorang pemandu muda yang mempunyai sikap panas baran. Perbezaan karakter antara mereka membuka ruang kepada konflik yang bukan sahaja berlaku ketika perlumbaan, tetapi turut menguji kemampuan mereka untuk saling mempercayai.
Pada masa sama, Ajeet masih dihantui rasa bersalah daripada masa lalu. Kepulangan ke dunia rali akhirnya menjadi lebih daripada usaha untuk mengejar kemenangan kerana dia turut berdepan dengan dirinya sendiri.
Lisa menjadi antara individu yang memberikan sokongan kepada Ajeet, manakala Rahim memainkan peranan menerusi kepimpinannya. Imran dan pasukannya pula melengkapkan perjalanan mereka dengan kepakaran yang diperlukan untuk membawa pasukan tersebut menuju pentas dunia.
Barisan pelakon filem ini terdiri daripada Irfan Zaini, Zizan Razak, Jack Tan, Nam Ron, Shweta Sekhon, Michael Helfman, Diana Danielle, Luqman Hafidz, Qasrina Karim, Razib Salimin, Ruminah Sidek, Peggie Ng, Ng Meng Tuck dan Dato’ Ahmad Tamimi Siregar turut menghidupkan kepelbagaian karakter dalam kisah ini.
Itulah yang menjadikan TERBANG mempunyai ruang untuk bergerak melangkaui genre filem sukan. Perlumbaan mungkin menjadi tarikan visual, tetapi konflik manusia menjadi sebab penonton terus mengikuti perjalanan watak.
Semangat tersebut turut diterjemahkan menerusi kolaborasi strategik bersama STING yang membawa nilai keberanian, fokus dan ketekunan sebagai sebahagian daripada pengalaman filem.

Menurut Naib Presiden Pemasaran Etika, Amy Gan, kerjasama tersebut mempunyai keserasian semula jadi kerana TERBANG bukan sahaja menampilkan tenaga tinggi dan keberanian, tetapi turut membawa kisah tentang ketabahan untuk terus bergerak ke hadapan.
Filem ini turut dilengkapi lagu tema berjudul Menyala yang dinyanyikan oleh Amir Masdi, sekali gus menambahkan elemen emosi kepada perjalanan yang dibawa ke layar perak.
Diterbitkan oleh Astro Shaw bersama EJJ Films, Enotech Pictures dan Aventure Space, serta produksi WooHoo Pictures, TERBANG turut mendapat sokongan strategik dan penggunaan elemen jenama daripada beberapa organisasi termasuk UMobile, PROTON, PETRONAS, EON Berhad dan Malaysia Aviation Group.
Keseluruhan elemen tersebut memperlihatkan usaha produksi untuk membawa kembali semangat era perlumbaan berkenaan dalam bentuk sinematik yang lebih besar.
TERBANG kini ditayangkan di pawagam seluruh tanah air bermula 17 September 2026, bagi Havoxians yang mahu merasai sendiri gegaran dan intensiti perlumbaan, TERBANG turut ditayangkan dalam format 4DX dengan pengalaman tambahan seperti kerusi bergerak serta kesan persekitaran termasuk angin, air dan bau.
