
Bukan sekadar festival muzik, Ultra Kalcer Malaysia 2026 bakal menjadi medan pertemuan dua negara apabila barisan nama besar dari Malaysia dan Indonesia disatukan dalam satu pentas di KL Festival Park, Kuala Lumpur pada 7 dan 8 November ini.
Lebih menarik, festival yang dianjurkan Neptunes Presents itu tampil dengan barisan 19 penyanyi dan kumpulan yang membawa warna, karakter serta identiti muzik tersendiri. Daripada nama ikonik seperti Kris Dayanti hinggalah kepada barisan pemuzik generasi baharu, Ultra Kalcer Malaysia 2026 dilihat mempunyai ramuan tersendiri untuk menawarkan pengalaman muzik yang merentas sempadan.
Tidak ketinggalan bagi peminat muzik Indonesia, kehadiran nama seperti Pamungkas, Hindia, Sal Priadi, Danilla, Naykilla dan Lomba Sihir pastinya menjadi antara tarikan utama.
Dalam masa sama, peminat muzik tempatan turut berpeluang menyaksikan persembahan Okirama, Dukes, The Alif, Belia Benci Club, Citykops dan Rangkaian Fugo sebagai wakil tuan rumah.
Namun, ada satu perkara yang sengaja masih disimpan kemas oleh pihak penganjur. Senarai lagu yang bakal dipersembahkan setiap artis masih dirahsiakan sehingga hari festival.
Elemen tersebut secara tidak langsung menambahkan rasa ingin tahu dalam kalangan peminat kerana mereka bukan sahaja menantikan siapa yang bakal muncul di atas pentas, tetapi juga tertanya tanya apakah kejutan muzik yang bakal dibawakan sepanjang dua hari acara berkenaan.
Ultra Kalcer Malaysia 2026 Satukan 19 artis Malaysia & Indonesia Di Satu Pentas

Barisan artis yang diumumkan memperlihatkan usaha Ultra Kalcer Malaysia 2026 untuk menghubungkan dua landskap muzik yang sememangnya mempunyai hubungan rapat dengan peminat di rantau ini.
Bagi Indonesia, festival ini menampilkan Kris Dayanti, Naykilla, Barasuara, Biru Baru, Pamungkas, Sal Priadi, Danilla, Good Morning Everyone, Lomba Sihir, Rumah Sakit, Hindia, Romantic Echoes dan The Moonlight Knights.
Sementara itu, Malaysia pula diwakili Okirama, Dukes, The Alif, Belia Benci Club, Citykops dan Rangkaian Fugo.
Kepelbagaian nama tersebut menjadikan Ultra Kalcer bukan sekadar acara yang bergantung kepada satu genre atau satu kelompok peminat.
Malah, kehadiran penyanyi berpengalaman bersama kumpulan dan pemuzik daripada generasi berbeza memberikan festival ini ruang untuk menawarkan pengalaman yang lebih pelbagai kepada penonton.
Jurucakap penganjur daripada Neptunes Presents, Nabila Huda Suhaimi berkata, pihaknya berbangga dapat meraikan acara yang menghimpunkan barisan penyanyi terbaik dari Malaysia dan Indonesia.
“Pasukan kreatif produksi juga bertungkus lumus mendapatkan barisan penyanyi yang terdiri daripada nama hebat dalam industri muzik Indonesia dan Malaysia untuk menjayakan festival ini.
“Selain itu, lagu nyanyian artis ini juga menduduki carta muzik teratas dan mendapat tempat di hati peminat kedua negara,” katanya.
Menurut Nabila, setiap penyanyi juga sedang giat membuat persiapan bagi memastikan persembahan yang dipersembahkan kepada pengunjung nanti berada pada tahap terbaik.
Menariknya, peminat masih perlu menunggu sehingga hari festival untuk mengetahui senarai lagu yang akan dibawakan oleh setiap artis.
Setlist ‘Rahsia’ Ultra Kalcer Malaysia 2026 Tambah Debaran Peminat

Dalam festival muzik, setlist sering menjadi antara perkara yang paling dinantikan peminat kerana susunan lagu mampu menentukan emosi sesebuah persembahan.
Namun, Ultra Kalcer memilih untuk merahsiakan senarai lagu yang bakal dipersembahkan.
Keputusan tersebut membuka ruang kepada pelbagai kemungkinan. Peminat mungkin hadir dengan jangkaan untuk mendengar lagu kegemaran masing masing, tetapi pada masa sama perlu bersedia dengan kejutan yang hanya akan diketahui apabila artis muncul di pentas.
Menariknya, festival yang menggabungkan artis dari dua negara, pendekatan tersebut juga berpotensi menjadikan setiap persembahan lebih sukar dijangka.
Nabila berkata, setiap artis kini sedang membuat persiapan bagi memastikan pengunjung mendapat pengalaman persembahan yang terbaik.
“Setiap penyanyi juga sedang giat membuat persiapan untuk memastikan persembahan paling hebat untuk menghiburkan pengunjung pada festival nanti.
“Bagaimanapun, senarai lagu disampaikan barisan penyanyi masih dirahsiakan sehingga hari persembahan,” katanya.
Sidang media Ultra Kalcer Malaysia 2026 berlangsung di The Volume, Kuala Lumpur dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Neptunes Presents, Mohd Izwan Johar, Ketua Pegawai Operasi Neptunes, Fizzany Adnan serta Pengarah Projek, Shamil Yusof.
Nabila yang juga merupakan anak kepada rockers terkenal, Datuk Amy Search, berkata pemilihan KL Festival Park sebagai lokasi festival dibuat selepas mengambil kira aspek strategik dan keselesaan pengunjung.
KL Festival Park lokasi Ultra Kalcer Tampung Kapasiti Lebih 20,000 Penonton

KL Festival Park dipilih sebagai lokasi untuk penganjuran Ultra Kalcer Malaysia 2026 kerana kedudukannya yang strategik selain mampu menampung jumlah pengunjung yang besar.
Menurut Nabila, lokasi tersebut mampu memuatkan lebih 20,000 penonton dalam satu masa sekali gus memberikan ruang yang sesuai untuk festival berskala besar.
“Hasil perbincangan, pihak kami memilih KL Festival Park kerana ia lokasi yang strategik untuk penganjuran festival besar ini.
“Pada masa sama, lokasi ini juga dapat memberikan keselesaan kepada pengunjung kerana mampu memuatkan kapasiti lebih 20,000 penonton dalam satu masa,” katanya.
Jualan tiket Ultra Kalcer Malaysia 2026 pula telah dibuka sejak 4 September lalu dengan harga yang disasarkan mampu dimiliki oleh pelbagai lapisan peminat muzik.
Festival ini juga bukanlah percubaan pertama Neptunes Presents dalam membawa konsep persembahan muzik yang menggabungkan artis Malaysia dan Indonesia.
Sebelum ini, Neptunes Presents bersama rakan kongsi pernah menganjurkan Festival Muzik Nyalafest di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 30 November 2024.

Festival berkenaan menampilkan lapan artis dari kedua-dua negara, termasuk Feby Putri, Pamungkas, Bernadya, Diskoria, Romantic Echoes dan Bilal Indrajaya dari Indonesia, selain Noh Salleh X Restoe Iboe serta Fugo dari Malaysia.
Dengan pengalaman tersebut, Ultra Kalcer Malaysia 2026 hadir dalam skala yang lebih besar menerusi barisan 19 artis dan lokasi yang mampu menerima lebih 20,000 pengunjung pada satu masa.
Bagi Havoxians dan peminat muzik yang mahu merasai sendiri pertemuan dua warna muzik serantau dalam satu festival, Ultra Kalcer Malaysia 2026 bakal berlangsung pada 7 dan 8 November ini di KL Festival Park, Kuala Lumpur. Tiket ULTRA KALCER yang sudah mula dijual sejak 4 September boleh didapati menerusi laman web rasmi.