
Hanya dalam tempoh sebulan, sebuah lagu tentang luka, kecewa dan keberanian untuk melepaskan hubungan retak yang tidak lagi membahagiakan kini Tersakiti nyanyian Emma Suhaimi mula menjadi sorotan pendengar. Tidak hanya kerana melodinya menyentuh perasaan, malah karya tersebut berjaya mengumpul lebih 200,000 tontonan di YouTube.
Lebih menarik, angka itu dicapai ketika single berkenaan masih dalam fasa awal perjalanannya. Sehari selepas dilancarkan, lagu tersebut sudah berjaya menembusi Top 30 carta ERA 40, sebelum terus melangkah ke kelompok 10 terbaik dan kini berada di tangga ke-9.
Bagi Emma Suhaimi, yang kembali dengan karya terbaharu selepas melalui pengalaman hidup yang penuh warna, “Tersakiti” membawa kisah yang tidak asing dalam kehidupan manusia. Tentang hubungan yang pada awalnya memberikan bahagia, tetapi perlahan-lahan berubah menjadi sesuatu yang memberkas luka.
Justeru, mungkin kerana terlalu dekat dengan masyarakat, kisah yang dibawa Emma menerusi “Tersakiti” bukans ahaja didengari, tetapi mula menemukan tempatnya dalam hati lebih ramai pendengar.
“Tersakiti” Emma Suhaimi Raih Lebih 200,000 Tontonan YouTube Sebuah Kisah Cinta Realiti

Dicipta sepenuhnya oleh komposer ternama dari Indonesia, Ilham Baso, “Tersakiti” mengangkat kisah tentang luka dan kekecewaan dalam hubungan, sebelum membawa pendengar kepada satu keputusan yang tidak mudah, iaitu keberanian untuk melepaskan sesuatu yang tidak lagi memberikan kebahagiaan.
Kekuatan lagu ini terletak pada pendekatannya yang cukup dekat dengan realiti kehidupan. Ia tidak sekadar bercerita tentang perpisahan, tetapi menyentuh keadaan apabila seseorang memilih untuk terus bertahan walaupun menyedari hubungan yang dilalui semakin melukakan diri sendiri.
Menurut Emma, mesej yang cuba disampaikan menerusi “Tersakiti” adalah tentang kepentingan mencintai diri sendiri dan mempunyai keberanian untuk keluar daripada hubungan yang toksik.

“Kalau kita sudah tahu berada dalam hubungan yang toksik, segeralah tinggalkan hubungan itu sebelum kita menjadi lebih ‘Tersakiti’. Kadang kadang kita terlalu lama bertahan kerana berharap keadaan akan berubah, sedangkan akhirnya hanya diri sendiri yang semakin terluka,” katanya.
Jelas Emma, kisah tersebut bukan sesuatu yang asing dalam kehidupan masyarakat hari ini kerana masih ramai memilih untuk memendam perasaan dan bertahan dalam hubungan yang sudah tidak lagi memberikan kebahagiaan.
Atas sebab itu, “Tersakiti” tidak hanya dibina sebagai sebuah lagu balada tentang kehilangan cinta. Ia turut membawa mesej tentang proses mengenali batas diri dan menerima hakikat bahawa melepaskan sesuatu yang menyakitkan kadangkala merupakan sebahagian daripada usaha untuk menyelamatkan diri sendiri.
Emma Suhaimi Dedah Cabaran Rakam “Tersakiti” Bukan Sekadar Soal Vokal Tetapi Cara Menyampaikan Emosi

Di sebalik melodi yang menyentuh perasaan, cabaran terbesar buat Emma ketika merakamkan “Tersakiti” bukan terletak pada aspek teknikal vokal, sebaliknya bagaimana emosi dalam lagu tersebut dapat disampaikan dengan jujur kepada pendengar.
Emma mengakui lagu berkenaan memerlukan penghayatan yang lebih mendalam kerana ia membawa perasaan individu yang pernah mengalami kekecewaan dalam hubungan.
“Lagu ini memerlukan saya menyampaikan emosi mereka yang pernah ‘Tersakiti’. Saya bimbang jika emosi itu tidak dapat disampaikan dengan baik kerana bagi saya, lagu seperti ini bukan sekadar perlu dinyanyikan, tetapi perlu dirasai,” ujarnya.
Pengalaman hidup yang dilalui Emma sendiri turut membantu dirinya memahami setiap bait yang terkandung dalam lagu tersebut.
Menurutnya, pengalaman kekecewaan yang dilalui selama hampir 16 tahun memberikan perspektif tersendiri ketika dia menghayati kisah yang cuba disampaikan menerusi karya berkenaan.
“Saya tidak mahu menipu. Saya sendiri pernah melalui pengalaman yang menyakitkan dan mungkin itu juga antara sebab saya memilih lagu ini. Kekecewaan yang saya lalui membuatkan saya lebih memahami setiap bait lirik yang dinyanyikan,” dedahnya.
Namun, Emma tidak melihat kesedihan sebagai sesuatu yang semestinya perlu diterjemahkan melalui tangisan. Sebaliknya, dia percaya ketenangan juga mampu memberikan kesan emosi yang lebih mendalam ketika menyampaikan sebuah lagu.
Antara bait lirik yang paling dekat dengan dirinya ialah “Kamu buat aku nyaman tapi tak bisa aku genggam”, yang menurut Emma mempunyai makna besar tentang realiti kehidupan.
“Tidak semua yang membuat kita bahagia akhirnya akan menjadi milik kita. Ada masanya kita perlu belajar melepaskan sebelum rasa sakit itu menjadi lebih dalam.”
Pemilihan Ilham Baso sebagai komposer turut menjadi antara faktor yang membantu Emma memberikan jiwa kepada lagu tersebut. Menurutnya, keserasian sepanjang proses pembikinan lebih penting daripada sekadar reputasi seseorang dalam industri muzik.
Emma menyifatkan Ilham sebagai seorang komposer yang fleksibel serta memberikan ruang kepada penyanyi untuk terlibat dalam proses menghasilkan rakaman yang lebih bersifat peribadi.
“Ilham seorang komposer yang sangat fleksibel. Dia bukan sahaja menghasilkan lagu, tetapi memberi ruang kepada penyanyi untuk turut berkarya ketika proses rakaman. Dia memahami karakter suara saya dan memberi kebebasan untuk saya menyampaikan emosi mengikut cara saya sendiri.”
Comeback Emma Suhaimi Dengan “Tersakiti” Beri Suara Kepada Mereka Yang Sedang Melalui Hubungan Toksik

Selepas melalui proses pembikinan yang disifatkan Emma sebagai lancar dan profesional, “Tersakiti” kini hadir sebagai karya yang mempunyai nilai peribadi buat dirinya.
Lebih daripada sekadar mengejar pencapaian carta dan jumlah tontonan, Emma berharap lagu tersebut dapat menjadi teman kepada pendengar yang sedang berdepan fasa sukar dalam kehidupan, khususnya mereka yang memilih untuk menyimpan luka seorang diri.
“Saya percaya lagu ini membawa kisah hidup ramai orang. Mungkin selama ini mereka tidak pernah bercerita tentang apa yang mereka lalui, jadi saya harap ‘Tersakiti’ boleh menjadi suara kepada mereka,” katanya lagi.
Bagi Emma, penerimaan pendengar terhadap lagu tersebut bukan hanya diukur melalui angka. Sekiranya karya berkenaan mampu memberikan sedikit kekuatan kepada seseorang yang sedang berdepan kesakitan, perkara itu sudah cukup bermakna buat dirinya.
Pada masa sama, perkembangan “Tersakiti” di carta ERA 40 memberikan satu lagi perkembangan positif buat comeback Emma. Bermula dengan kemasukan ke Top 30 hanya sehari selepas dilancarkan, lagu tersebut kini berada di tangga ke sembilan, memperlihatkan momentum yang terus berkembang selepas sebulan berada di pasaran.
Paling penting, lagu ini hadir bukan untuk mengajak pendengar terus terperangkap dalam kesedihan, tetapi mengingatkan bahawa ada ketika seseorang perlu mempunyai keberanian untuk memilih dirinya sendiri.
Khusus buat peminat Emma Suhaimi dan pencinta lagu balada, “Tersakiti” kini boleh distrim Havoxians di semua platform penstriman muzik utama sejak dilancarkan pada 14 Ogos 2026. Muzik video rasmi lagu tersebut juga boleh ditonton menerusi saluran YouTube Nova Music Videos.