
Bayangkan satu ruang yang mempertemukan sneakers dengan muzik indie, streetwear dengan makanan, permainan dengan sukan, serta barangan koleksi dengan komuniti kreatif yang selama ini bergerak dalam dunia masing-masing.
Malah, pengunjung bukan sekadar datang untuk membeli atau menonton persembahan, tetapi diberi peluang untuk menyelami budaya yang membentuk cara generasi hari ini berkarya, berpakaian, bermain dan berhibur.
Selepas penampilan sulung pada 2025, LahLahLand 2026 kembali lagi tahun ini dengan skala yang lebih besar! Lebih menarik apabila festival gaya hidup tempatan itu sekali lagi mengambil alih MINES International Exhibition & Convention Centre (MIECC) pada 10 dan 11 Oktober 2026.
Edisi kali ini memperlihatkan LahLahLand telah keluar daripada bayangan SneakerLAH untuk berdiri sebagai sebuah festival yang mempunyai identiti tersendiri.
Meski sneakers masih menjadi antara teras utama, namun pengalaman yang ditawarkan kini jauh lebih luas, merangkumi muzik, fesyen jalanan, makanan, permainan, sukan, jam tangan, barangan koleksi dan pelbagai bentuk budaya kontemporari.
LahLahLand 2026 Tampilkan Muzik, Streetwear & Komuniti Kreatif Malaysia

Salah satu tarikan terbesar LahLahLand 2026 ialah ConcertLAH yang membawa gabungan nama berpengaruh serta bakat baharu daripada pelbagai cabang muzik.
Barisan persembahan merangkumi ikon rock indie Malaysia, Hujan, selain nama rap MidLyfe, Dannqrack dan Eemrun bersama artis jemputan istimewa. Turut mengisi pentas ialah Sweetass yang cukup sinonim dengan bunyi alt dan grunge Kuala Lumpur, serta Kidd Santhe & Friends yang membawa identiti rap dan produksi mereka sendiri.
Segmen muzik turut diperluaskan dengan persembahan DJ dan kolaborasi yang menampilkan S4D Habits menerusi set B2B antara s4d.kl dan Bad Habits, selain kolaborasi Lil Asian Thiccie bersama I SKY.
Jemput Dengar pula bakal tampil dengan identiti DJ Malaysiana tersendiri, manakala Rudeen membawa suara rap generasi baharu. Belia Benci Club dan ZÜ turut melengkapkan barisan persembahan yang merentasi rock indie, hip hop, alternatif dan muzik elektronik.
Kepelbagaian genre ini memberi gambaran jelas tentang hala tuju LahLahLand. Festival ini tidak cuba meletakkan budaya kontemporari dalam satu kotak, sebaliknya membiarkan pelbagai komuniti berkongsi pentas dan ruang yang sama.

Pengasas SneakerLAH dan LahLahLand, Bryan Chin, melihat perkembangan tersebut sebagai sesuatu yang lebih besar daripada sekadar pertambahan saiz acara.
“Tahun lepas sebenarnya tentang memperkenalkan orang ramai kepada apa yang LahLahLand mampu jadi, jadi melihat ia berkembang dan mula mempunyai jiwanya sendiri tahun ini adalah sesuatu yang amat saya banggakan,” katanya.
Menurut Bryan, SneakerLAH kekal sebagai teras penting kepada perjalanan tersebut, namun LahLahLand membuka ruang untuk lebih banyak komuniti berkumpul dalam satu ekosistem.
“SneakerLAH akan sentiasa menjadi teras kepada apa yang kami lakukan, tetapi LahLahLand telah membolehkan kami menghimpunkan begitu banyak komuniti yang berbeza, sama ada anda meminati sneakers, muzik, makanan, permainan, larian, papan selaju, jam tangan, kad atau sekadar ingin menemui sesuatu yang baharu,” ujarnya.
Marketplace LahLahLand 2026 Bawa Jenama Tempatan Ke Hadapan

Selain muzik, elemen membeli belah dan penemuan jenama menjadi sebahagian penting dalam pengalaman LahLahLand tahun ini menerusi LahLahLand Marketplace.
Untuk edisi 2026, Marketplace tampil dengan wajah baharu melalui kolaborasi bersama SantaiMaa, salah satu pasar gaya hidup tempatan yang menghimpunkan pelbagai jenama bebas, pakaian vintaj, aksesori serta barangan koleksi.
Pengunjung turut berpeluang meneroka kehadiran pelbagai jenama tempatan dan antarabangsa termasuk ASICS, Montigo, Kahf, 2TimesToo, Aegis, Against Lab, TNTCO, All Love, Futuremade Studio dan Gote.
Lebih menarik, pengalaman di LahLahLand tidak berhenti pada aktiviti membeli-belah. Pelbagai kolaborasi eksklusif dan pelancaran produk turut berlangsung sepanjang hujung minggu, termasuk kolaborasi edisi terhad antara Grab dan Aegis.
Pengunjung juga boleh kembali ke Influencer Pre Loved Market yang sebelum ini mendapat perhatian ramai, selain cabutan bertuah, sesi podcast secara langsung dan pelbagai aktiviti lain yang tersebar di sekitar ruang MIECC.
Satu lagi aktiviti yang mencuri perhatian ialah Let Me Cook yang dibawakan oleh Penaja Rasmi Seri Murni menerusi kolaborasi bersama AGAINST LAB. Sesi tersebut menggabungkan makanan, muzik, sukan dan budaya dalam satu pengalaman yang lebih interaktif.
Menerusi AGAINST Kitchen, pengunjung boleh menyertai RM30 Bottle Lab Experience untuk memperibadikan botol Seri Murni sendiri, selain mendapatkan barangan kolaborasi eksklusif yang hanya tersedia menerusi aktivasi berkenaan.
Gabungan tersebut menunjukkan bagaimana LahLahLand cuba bergerak sebagai sebuah festival pengalaman, bukannya hanya festival jualan. Jenama yang hadir tidak sekadar meletakkan produk di ruang pameran, tetapi diberi peluang untuk membina pengalaman yang lebih dekat dengan komuniti.
Tiket VIP LahLahLand 2026 Tawar Eksklusiviti Barangan Edisi Terhad

Pengalaman LahLahLand turut diperluaskan kepada pemegang tiket VIP dengan beberapa barangan eksklusif yang disediakan khas untuk edisi tahun ini.
Setiap tiket VIP disertakan botol air edisi terhad LahLahLand x Montigo, sepasang stoking edisi terhad LahLahLand x Xocks serta beg tote LahLahLand.
Stoking kolaborasi LahLahLand x Xocks itu pula hanya tersedia sebanyak 300 pasang, menjadikannya antara barangan edisi terhad yang berpotensi menjadi koleksi menarik buat pengunjung.
Bagi pengunjung yang memang datang dengan misi membeli belah, PayLater by Grab sebagai Rakan Pembayaran Rasmi LahLahLand turut memberikan pilihan pembayaran secara ansuran kepada pengguna yang layak.
Tenaga festival pula bakal dipacu oleh Raj Mahal sebagai pengacara rasmi LahLahLand 2026. Dikenali menerusi kepetahan bercakap, tenaga yang tinggi dan keupayaan berinteraksi dengan penonton, Raj dijangka menjadi antara individu penting yang menghubungkan pengunjung dengan pelbagai program sepanjang dua hari.
Dalam masa sama, struktur LahLahLand tahun ini turut memperlihatkan bagaimana budaya yang sebelum ini bergerak secara berasingan kini semakin mudah bertemu dalam satu ruang.
Seperti yang dijelaskan Bryan, kekuatan LahLahLand terletak pada pertemuan pelbagai komuniti tersebut.
“Melihat semua budaya dan komuniti yang berbeza ini berkongsi ruang yang sama adalah tepat seperti yang kami harapkan untuk LahLahLand, dan kami teruja untuk terus membinanya,” jelasnya.
Bagi Havoxians yang berminat menjadi sebahagian dari festival ini yang menjanjikan dua hari penuh muzik, streetwear, makanan, sukan, permainan, koleksi dan budaya kontemporari boleh hadir untuk melihat sendiri bagaimana komuniti kreatif Malaysia berkumpul dalam satu ruang.