
Bukan sekadar hadir untuk menyaksikan persembahan, lebih 14,000 peminat memenuhi Educity Sports Complex, Johor Bahru dibawa melalui hampir tiga jam perjalanan muzik yang sarat dengan nostalgia, tenaga, gelak tawa, kejutan dan momen penuh makna bersama Wali Band.
Konsert Wali Band Live in JB yang dianjurkan oleh Nusantara Live Entertainment dan Infinity Love Creative Ventures itu membuktikan bahawa karya kumpulan dari Indonesia berkenaan masih mempunyai tempat yang cukup istimewa dalam hati peminat muzik Malaysia, khususnya di Johor dan Singapura.
Malah, lagu rancak yang membuatkan penonton bergoyang, segmen akustik yang lebih intim, selingan doa dan pesanan kehidupan, sehinggalah kemunculan mengejut Najwa Latif di pentas, setiap bahagian persembahan disusun dengan cukup baik.
Paling penting, penonton bukan sahaja menerima persembahan yang bertenaga daripada Wali Band, malah turut menikmati pengalaman konsert yang mantap.
Kualiti sistem bunyi yang jelas serta tata cahaya yang memberikan impak visual kepada persembahan menjadi antara perkara yang mendapat reaksi positif daripada penonton. Gabungan tersebut membantu setiap lagu disampaikan dengan lebih berkesan, terutama ketika Wali Band memasuki segmen persembahan rancak.
Kepuasan penonton jelas terpancar sepanjang malam apabila ribuan peminat tidak henti henti menyanyi, bergoyang, berdiri dan memberikan sorakan setiap kali lagu popular dimainkan.
Bagi Wali Band pula, malam tersebut bukan sekadar sebuah persembahan di Johor Bahru, sebaliknya menjadi ruang untuk kembali mendekati peminat yang selama ini membesar bersama karya mereka.
Najwa Latif Buka Tirai Wali Band Live in JB Dengan Nostalgia Lagu Popular

Sebelum pentas menjadi milik Wali Band, penyanyi kelahiran Batu Pahat, Johor, Najwa Latif terlebih dahulu membuka tirai persembahan menerusi tujuh lagu popularnya.
Walaupun kini tidak lagi seaktif dahulu dalam bidang nyanyian kerana lebih memberikan tumpuan kepada kerjaya sebagai pensyarah di sebuah universiti tempatan, kemampuan Najwa menguasai pentas ternyata masih belum hilang.
Suara lembut dan identitinya yang tersendiri masih menjadi daya tarikan, malah kemunculannya di hadapan ribuan penonton pada malam tersebut membuktikan karya lama masih mampu mencetuskan nostalgia dalam kalangan peminat.
Najwa memulakan persembahan menerusi AdaMu, sebuah lagu yang membawa mesej ketuhanan sebelum diteruskan dengan Carta Hati, yang menurutnya merupakan antara lagu terawal yang ditulis bersama kakaknya, Syafiqa Latif.
Persembahan diteruskan dengan Satu Hari Nanti, Kosong dan Sahabat, sebelum suasana berubah menjadi lebih intim menerusi Untuk Dia.
Menariknya, Najwa menyampaikan lagu tersebut tanpa iringan muzik, sambil menguji sejauh mana peminat masih mengingati karya yang pernah dipersembahkannya bersama kumpulan Sleeq dari Singapura.
Segmen Najwa kemudian ditutup dengan lagu yang cukup sinonim dengan namanya, Cinta Muka Buku.
Lagu yang pernah menjadi fenomena tersebut ternyata masih dekat di hati generasi yang membesar bersamanya. Peminat turut menyanyi bersama sepanjang persembahan sehingga membuatkan Najwa kelihatan tersentuh dengan sambutan yang diterima.
Walaupun tidak tampil dengan gitar yang selama ini menjadi antara identitinya, Najwa tetap berjaya menghidupkan pentas menerusi vokal dan persembahan yang bersahaja.
Sorakan peminat yang menginginkannya kembali mengadakan konsert solo turut menjadi antara reaksi menarik pada malam tersebut.
Sebagai anak kelahiran Batu Pahat, peluang membuat persembahan di negeri sendiri pastinya memberikan makna tersendiri buat Najwa.
Pertemuan Najwa bersama Wali Band juga dilihat cukup istimewa kerana kedua-duanya mempunyai kelompok peminat yang membesar dalam lingkungan era muzik yang hampir sama.
Wali Band mula mengukuhkan nama sekitar 2008, manakala Najwa Latif mula mencipta fenomena sekitar 2011. Justeru, kemunculan kedua-duanya pada satu pentas secara tidak langsung menghidupkan kembali nostalgia muzik generasi tersebut.
Wali Band Live in JB Hidupkan Educity Sports Complex Dengan Lagu Hit, Doa Dan Interaksi Bersama 14,000 Peminat

Kemunculan Wali Band yang dianggotai Faank selaku vokalis, Apoy pada gitar, Tomi di posisi dram dan Ovie pada papan kekunci sememangnya menjadi detik yang paling dinanti nantikan.
Sebaik sahaja mereka muncul di pentas, Educity Sports Complex bergema dengan sorakan ribuan penonton.
Wali Band membuka persembahan menerusi Cari Berkah, sebelum meneruskan momentum dengan Si Udin Bertanya, Kekasih Halal dan Neneku Pahlawanku.
Empat lagu pembuka tersebut cukup untuk membuatkan penonton bergoyang dan menyanyi bersama sebelum Wali Band mengambil sedikit ruang untuk berinteraksi dengan peminat.
Faank turut meluahkan rasa gembira dapat kembali bertemu peminat di Johor Bahru. Mereka juga berkongsi pengalaman menikmati beberapa makanan tempatan sepanjang berada di negeri Harimau Selatan itu, termasuk Nasi Lemak Lobster yang turut mendapat perhatian peminat dari Singapura dan Indonesia.
Persembahan kemudian diteruskan dengan lagu Emang Dasar, Abatasa dan Ada Gajah Di Balik Batu.
Tenaga Wali Band jelas tidak kendur walaupun persembahan berlangsung dalam tempoh yang panjang. Sebaliknya, setiap lagu terus mengundang reaksi daripada penonton yang seolah olah sudah menghafal setiap bait lirik.
Namun, Wali Band tidak hanya menawarkan hiburan melalui lagu rancak.
Elemen religi yang cukup sinonim dengan karya mereka turut diberikan ruang apabila kumpulan tersebut mengajak penonton untuk sama sama menitipkan doa dan harapan yang baik.
Beberapa potongan ayat suci Al-Quran termasuk surah Al-Fatihah turut diselitkan dalam segmen berkenaan, memberikan suasana yang lebih tenang di tengah kemeriahan konsert.
Bermula dari golongan pelajar, pekerja, usahawan, mereka yang masih bujang, sedang bercinta atau sudah berumah tangga, Wali Band menitipkan doa agar semua yang hadir sentiasa diberikan rezeki, kesihatan, keberkatan hidup serta keampunan.
Momen tersebut turut diselang selikan dengan gurauan ringan daripada Faank yang membuatkan penonton ketawa.
Selepas segmen tersebut, Wali Band membawa penonton menikmati persembahan akustik menerusi Doa Untukmu Sayang.

Pada penghujung lagu, Faank secara spontan bertanya kepada para peminat Wali Band Live in JB.
“Do you love Wali?”
Sorakan gemuruh penonton menjadi jawapan.
Baik Baik Sayang kemudian menyusul dan muzik dihentikan seketika pada bahagian korus bagi memberikan ruang kepada 14,000 peminat menyanyi bersama.
Ketika Harga Diriku pula, petikan gitar Apoy menjadi latar kepada pesanan Faank yang cukup dekat dengan peminat.
“Kalian adalah harga diri Wali.”
Apabila Faank bertanya sama ada penonton sudah penat, sorakan yang kedengaran jelas menunjukkan sebaliknya.
“Capek sudah ya? Belum? Lanjut? Okay!”
Jawapan penonton cukup jelas. Mereka masih mahu meneruskan perjalanan muzik bersama Wali Band.
Momentum kembali memuncak menerusi lagu lagu rancak, termasuk Tobat Maksiat yang membawa mesej lebih mendalam tentang muhasabah diri, taubat dan mengingati kematian.
Dari sudut produksi, persembahan tersebut turut mendapat nilai tambah menerusi sistem bunyi yang jelas dan pencahayaan pentas yang diselaraskan mengikut rentak lagu.
Segmen Tobat Maksiat khususnya menjadi antara bahagian yang mencuri perhatian apabila permainan dram diselaraskan dengan pencahayaan pentas mengikut setiap hentakan dan rentak.
Gabungan bunyi serta cahaya tersebut menjadikan persembahan lebih bertenaga dan memberikan pengalaman visual yang lebih menarik kepada penonton.
Kejutan Najwa Latif Dan 14,000 Suara Mengiringi Cari Jodoh Sebagai Kemuncak Konsert Wali Band Live in JB

Kejutan paling menarik hadir ketika Wali Band membawakan Yank apabila Najwa Latif kembali ke pentas untuk bergabung bersama kumpulan berkenaan.
Difahamkan, kemunculan tersebut dilakukan secara spontan tanpa latihan terlebih dahulu.
Namun, keputusan spontan itu menghasilkan antara momen paling manis pada malam tersebut apabila vokal Najwa yang lunak dan lembut ternyata serasi dengan vokal Faank.
Persembahan tersebut bukan sahaja mencetuskan kejutan kepada penonton, malah menjadi satu lagi titik pertemuan antara dua nama yang mempunyai sejarah tersendiri dalam perjalanan muzik generasi mereka.
Kemeriahan kemudian kembali memuncak menerusi Aku Bukan Bang Toyib.
Penonton mula bangun dari tempat duduk, menari, bergoyang dan menyanyi bersama. Sorakan serta tepukan bergema memenuhi ruang Educity Sports Complex sehingga wajah wajah penonton yang hadir jelas menunjukkan mereka benar benar menikmati persembahan tersebut.
Namun, perjalanan konsert belum lengkap tanpa lagu yang cukup sinonim dengan Wali Band, Cari Jodoh.
Sebaik sahaja lagu tersebut dimainkan, suasana kembali berubah menjadi lautan manusia yang menyanyi bersama.
Ribuan peminat berdiri, bergoyang dan mengikut setiap bait lagu seolah olah mereka sudah menantikan detik tersebut sejak awal konsert.
Pemilihan Cari Jodoh sebagai lagu penutup ternyata tepat kerana karya tersebut bukan sahaja mempunyai nilai nostalgia, malah menjadi antara lagu Wali Band yang paling mudah menyatukan penonton daripada pelbagai latar belakang.
Lebih 14,000 suara bergabung menyanyikan lagu tersebut sehingga Educity Sports Complex bergema dengan sorakan, tepukan dan nyanyian peminat.

Momen itu akhirnya menjadi penutup yang cukup kuat untuk sebuah malam yang dipenuhi nostalgia, hiburan dan kenangan.
Bagi peminat, Wali Band Live in JB bukan sekadar tentang melihat kumpulan kesayangan mereka beraksi di atas pentas.
Persembahan hampir tiga jam, produksi yang kemas, interaksi rapat bersama peminat, kemunculan istimewa Najwa Latif serta penutup penuh tenaga menerusi Cari Jodoh, tidak hairanlah lebih 14,000 penonton meninggalkan Educity Sports Complex dengan wajah puas.
Malam Wali Band Live in JB membuktikan bahawa lagu yang pernah menjadi sebahagian daripada kenangan hidup tidak semestinya tinggal sebagai nostalgia.
Apabila dimainkan semula secara langsung pada konsert Wali Band Live in JB, di hadapan ribuan manusia yang sama sama menghafal liriknya, lagu tersebut boleh kembali hidup dan mencipta kenangan baharu.
Wali Band mungkin sudah melalui perjalanan muzik yang panjang, tetapi sambutan di Johor Bahru membuktikan hubungan mereka dengan peminat masih kuat.
Bagi Havoxians, selepas hampir tiga jam bersama Wali, 14,000 peminat akhirnya pulang bukan sekadar membawa pulang kenangan, tetapi juga kepuasan menyaksikan sebuah malam muzik yang dinantikan.